Namron hampir bersara dari dunia lakonan? | News & Features | Cinema Online
Showtimes
 
Article

Namron hampir bersara dari dunia lakonan?

Writer: Nisa Irina

Namron inginkan penjelasan mengapa kadar bayaran tawaran projek semakin rendah.
Namron inginkan penjelasan mengapa kadar bayaran tawaran projek semakin rendah.

16 Jul – Pengarah dan pelakon Namron meluahkan kekecewaannya berhubung beberapa pihak produksi mengambil kesempatan terhadap para pelakon susulan industri perfileman dan televisyen kembali aktif dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan mendedahkan, baru-baru ini dia telah menolak tawaran yang diterima daripada beberapa syarikat produksi dengan menawarkan projek dengan bayaran rendah.

"Ada tiga buah produksi yang menghubungi dan menawarkan projek kepada saya, tetapi ketiga-tiganya saya tolak kerana bayarannya sangat rendah, jauh beza sebelum tempoh PKP. "Andaian saya, mungkin kerana dalam tempoh tiga bulan PKP dilaksanakan, memang tiada produksi yang menjalankan penggambaran kerana tidak dibenarkan. Jadi kebanyakan pelakon tidak bekerja.

"Selepas tempoh PKP, syarikat-syarikat produksi tahu yang kebanyakan pelakon sudah lama tidak bekerja dan terdesak, jadi di situlah bermula permainan-permainan harga itu," katanya dalam video yang dimuat naik menerusi saluran YouTube miliknya, Channel Tok Ayah.

Pengarah filem "Crossroads: One, Two, Jaga" itu mempersoalkan mengapa bayaran yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat produksi rendah sedangkan kadar kos pembikinan yang disediakan oleh stesen televisyen masih sama.

"Saya rasa sangat kecewa hinggakan saya terfikir untuk bersara dari bidang lakonan. Saya harap akan ada penjelasan mengapa perkara ini berlaku. Saya memang harapkan jawapannya," tambahnya lagi. Beralih ke perkembangan lain, Namron akan kembali ke layar perak dengan tiga filem terbaru iaitu "Mat Kilau", "Masterpicisan" dan "Pasal Kau".

Selain itu, dua filem lakonannya iaitu "Roh" dan "Mencari Rahmat" juga akan ditayangkan semula di layar perak pada tahun ini.

(Sumber foto: Channel Tok Ayah YouTube)

Cinema Online, 16 July 2020

Related Movies:
Roh (Malay) (06 Aug 2020) [Showtimes] [Trailers]
Wira (Malay) (21 Nov 2019)
Geran (Malay) (10 Oct 2019)


Showtimes