Rencana
Animasi "Doraemon" masih utuh selepas 42 tahun


Tarikh disiarkan: 10 Julai 2015


Doraemon dan rakan-rakannya.

Siapa yang tidak tahu dengan kartun "Doraemon", iaitu siri kartun yang mengisahkan tentang seekor kucing robot bernama Doraemon yang mengembara masa dari abad ke-22 untuk menolong seorang budak lelaki bernama Nobita.

"Doraemon" adalah siri manga popular yang diterbitkan pada Disember 1969 sebelum ia menjadi popular dan diangkat menjadi kartun pada 1 April 1973.

Sejak dari itu, kartun "Doraemon" semakin popular, bukan sahaja di Asia malah di seluruh dunia termasuklah negara Barat.

Selain manga dan kartun, "Doraemon" turut mempunyai episod istimewa dalam bentuk filem dan sehingga kini francais "Doraemon" sudah pun mempunyai 36 buah filem termasuk pada tahun 2015, yang akan menyaksikan filem "Doraemon The Movie: Nobita And The Space Heroes" yang bakal ditayangkan pada 16 Julai depan.

Jadi bersempena dengan tayangan filem baru "Doraemon", kami menyenaraikan beberapa filem-filem "Doraemon" yang pernah (dan bakal) ditayangkan di pawagam.

DORAEMON: NOBITA AND THE ROBOT KINGDOM (2004)

Nobita, Doraemon dan rakan-rakannya telah mengembara ke masa hadapan untuk menghantar robot kecil yang mempunyai bentuk rupa manusia kerana mengalami masalah. Di dunia tersebut, robot dan manusia hidup bersama aman dan damai. Tetapi apabila mereka mendapat tahu yang Permaisuri negara tersebut mahu menawan robot untuk dijadikan hamba, mereka mengambil keputusan untuk menghalang rancangan jahat Permaisuri itu.

DORAEMON: NOBITA AND WIND WIZARD (2005)

Ketika Nobita sedang menikmati aiskrim, dia telah bertemu dengan angin taufan kecil yang mana Nobita kemudiannya menamakannya Fuuko (Anak Angin). Nobita dan Doraemon telah pergi ke suatu tempat lapang dengan menggunakan Pintu Suka Hati untuk bermain bersama Fuuko. Namun kemudian mereka menyedari bahawa mereka berada di Perkampungan Angin yang mana ia merupakan tempat asal Fuuko. Dalam pada itu, ketua puak Ran, Uranda telah dilarang menggunakan kuasa anginya telah membuat satu rancangan jahat. Berikutan itu, Fuuko, Nobita dan Doraemon telah bersatu untuk mengagalkan rancangan jahat Uranda.

DORAEMON: NOBITA IN THE WAN-NYAN SPACE-TIME ODYSSEY (2006)

Ketika Nobita sedang bermain di tepi sungai, dia telah menemui seekor anak anjing sedang lemas dan telah menyelamatkan anjing tersebut dan menamakannya Ichi. Nobita kemudiannya sekali lagi menyelamatkan sekumpulan anjing terbiar. Nobita kemudian meminta bantuan Doraemon untuk ke masa lampau bersama anjing-anjing tersebut serta mengajar mereka bagaimana untuk mencari sumber makanan. Bagaimanapun, ketika Nobita mahu bertemu semula dengan Ichi, mereka dengan secara tidak sengaja tercampak ke ruang masa berbeza.

DORAEMON: NOBITA'S DINOSAUR (2007)

Pada satu hari Nobita telah terjumpa sebiji fosil telur ketika menggali bukit. Dia kemudiannya telah meminta pertolongan Doraemon untuk menetaskan telur tersebut. Apabila dinosaur tersebut telah menetas Nobita dan Doraemon telah menjaganya sehinggalah ia besar dan tidak mampu menjaganya lagi. Doraemon dan Nobita kemudiannya telah menghantar dinosaur tersebut ke zamannya. Ketika mereka di zaman dinosaur, mereka berdepan masalah apabila terdapat pemburu dinosaur. Oleh kerana bimbang akan keselamatan dinosaur tersebut, Nobita dan rakan-rakannya telah kembali ke zaman lampau untuk menghentikan pemburu-pemburu dinosaur tersebut.

DORAEMON: THE NEW NOBITA'S GREAT ADVENTURE INTO THE UNDERWORLD (2008)

Apabila Nobita ingin menjadi ahli sihir, dia telah meminta bantuan Doraemon untuk menunaikan hajatnya itu untuk mencipta dunia sihir menggunakan Pondok Telefon Yang Tunaikan Hajat. Namun masalah mula timbul apabila Nobita mahu kembali kepada asal di mana Pondok Telefon Yang Tunaikan Hajat telah dibuang oleh ibunya.

DORAEMON: NOBITA AND THE GIANT LEGEND OF GREEN PLANET (2009)

Pada satu hari Nobita telah menyelamatkan sebatang anak pokok yang mati di tempat pembuangan sampah dengan menggunakan alat Doraemon. Dalam pada itu, terdapat makhluk asing dari Planet Hijau yang ingin memusnahkan penduduk Bumi berikutan sikap manusia yang suka mencemarkan alam sekitar serta tumbuh-tumbuhan. Nobita dan Doraemon yang mendapat tahu rancangan makhluk Planet Hijau perlu bertindak menghalang dan menyelamatkan penduduk Bumi.

DORAEMON MOVIE: NOBITA'S MERMAID LEGEND (2010)

Nobita sentiasa mempunyai sesuatu untuk dibuat, dan salah satunya adalah mahu menyelam. Doraemon kemudian menunaikan permintaan Nobita dengan menggunakan alatnya untuk membuatkan bandar Tokyo seperti dalam lautan. Walaupun gembira, namun mereka perlu berhati-hati kerana terdapat bahaya menanti mereka antaranya ikan jerung. Ketika mereka berenang, Nobita telah bertemu dengan seekor ikan duyung bernama Sophia.

DORAEMON MOVIE: THE NEW STEEL TROOPS (2012)

Apabila Suneo menunjuk-nunjuk permainan robot barunya kepada Nobita, Nobita cemburu dan mahu mempunyai robot juga, namun Doraemon menolak permintaan Nobita. Ketika Nobita mencari Doraemon yang ke kutub utara, dia telah menemui bahagian-bahagian robot yang jatuh dari langit. Nobita kemudian memujuk Doraemon dan mereka kemudian telah mencantumkan bahagian-bahagian robot tersebut dan memberi nama Zanda Claus. Lambat laun mereka mendapat tahu yang robot tersebut bukanlah robot biasa tetapi robot yang dihantar untuk memusnahkan Bumi dan menjadikan manusia sebagai hamba. Apabila mereka mendapat tahu Tentera Robot akan menyerang Bumi, Nobita, Doraemon dan rakan-rakannya bersatu untuk menentang pencerobohan oleh Tentera Robot.

STAND BY ME DORAEMON (2014)

Dalam filem "Stand By Me Doraemon" ini memaparkan apabila Nobita sudah meningkat dewasa yang mana Nobita akan berkahwin dengan Shizuka. Selain itu, Nobita juga mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat karibnya Doraemon.

DORAEMON THE MOVIE: NOBITA AND THE SPACE HEROES (2015)

Filem untuk tahun 2015 akan menyaksikan pengembaraan Nobita, Doraemon dan rakan-rakannya mengembara ke angkasa lepas dengan masing-masing mempunyai kuasa untuk menentang raksasa di angkasa lepas. Kesemua mereka mempunyai kuasa berlainan iaitu Doraemon mempunyai kuasa penumbuk, Nobita boleh berlari dengan pantas, Shizuka boleh mengawal air, Gian pula gagah dan Suneo mempunyai tangan yang boleh menggerudi.


Lima sebab menonton "Doraemon The Movie: Nobita And The Space Heroes".

Penulis: Ashraf Nasser








Ticket Pricing Guide