Rencana
5 Filem muzik tempatan terbaik!


Tarikh disiarkan: 17 November 2015


Yang manakah filem muzikal kegemaran anda?

Filem bergenre muzikal mungkin kedengaran agak janggal dalam filem tempatan kerana kurang filem bergenre sedemikian.

Bagaimanapun ia tidak bermakna tidak ada langsung atau ia tidak popular kerana filem tempatan juga mempunyai filem-filem muzikal yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Terbaru, pengarah terkenal Osman Ali bakal muncul dengan filem muzikal "Sinaran" yang bakal ditayangkan pada 26 November ini (Baca: Sebab anda perlu tonton "Sinaran"), yang mana menampilkan kolaborasi tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.


Poster filem "Sinaran".

Menampilkan pelakon terkenal Lisa Surihani, Izara Aishah, Evan Sanders, Syarif, Nadiah M Din dan penampilan istimewa oleh ratu jazz negara Datuk Sheila Majid, penonton pastinya tidak sabar untuk menonton filem "Sinaran" ini kelak.

Jadi, bersempena dengan itu, Cinema Online ingin membawa pembaca imbas kembali beberapa filem muzikal tempatan yang pernah popular sebelum ini.

Puteri Gunung Ledang The Musical

Selepas mencipta pelbagai kejayaan di dalam dan di luar negara, filem "Puteri Gunung Ledang" (2004), pengarah Saw Teong Hin membawa pula naskhahnya ke Istana Budaya dengan "Puteri Gunung Ledang The Musical" dan di Singapura pada tahun 2006 untuk musim pertama dan kedua sebelum kembali ke Istana Budaya pada tahun 2009 untuk musim ketiga di mana ia mendapat sambutan yang cukup luar biasa. Filem ini dibintangi Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman-Hughes sebagai Gusti Putri dan Hang Tuah.

Hoore! Hoore!

Pengarah Saw Teong Hin kemudian kembali lagi dengan sebuah filem muzikal "Hoore! Hoore!" pada tahun 2012 yang mana ia berkisarkan tentang pelajar sekolah menengah berbeza dengan filem terdahulunya yang lebih kepada filem epik. Ia diterajui oleh pelakon baru Farah Nazirah yang mana turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Allahyarham Harun Salim Bachik, Fauziah Nawi, Adibah Noor, Kilafairy, Datuk Aznil Hj Nawawi dan penyanyi Akim Ahmad.

Magika

"Magika" adalah sebuah filem muzikal fantasi arahan Edry Abdul Halim yang mana mengisahkan tentang dua adik-beradik yang menemui sebuah alam fantasi yang berasaskan pelbagai kisah dongeng, mitos dan lagenda Melayu ternama. Filem yang mendapat pujian ramai ini dibintangi pelakon dan penyanyi terkenal seperti Diana Danielle, Saiful Apek, Senario, Fimie Don, Mawi, Ziana Zain, M. Nasir dan Ning Baizura.

Rock

Jika filem-filem diatas mengenai sejarah, zaman persekolahan atau fantasi, namun filem muzikal arahan Mamat Khalid "Rock" ini pula mengetengahkan jalan cerita berbeza iaitu pengembaraan sekumpulan anak remaja kumpulan rock Rimba Bara yang memperjuangkan muzik rock. Ia dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Que Haidar, Khir Rahman, Nabila Huda dan Siti Elizad. Berikutan sambutan yang cukup memberangsakan, pengarah Mamat Khalid kembali dengan sekuel "Rock Oo" pada tahun 2013 yang mana turut mendapat sambutan hangat.

Leftwings

Jika filem "Rock" arahan Mamat Khalid berlatar belakangkan pada zaman rock 70an dan 80an, filem arahan Faisal Chal Ahmad "Leftwings" pula berlatar belakangkan pada zaman moden. Ia mengisahkan tentang empat pemuda yang memuja kumpulan WINGS mempunyai impian untuk memperjuangkan muzik rock dengan menubuhkan kumpulan Leftwings sebagai 'sayap kiri' kepada WINGS. Menampilkan pelakon baru seperti penyanyi Aweera, Zouladeq, Wan Zaimie dan ramai lagi, filem ini kurang menyengat jika hendak dibandingkan dengan karya "Rock", namun ia masih mendapat sambutan daripada penonton.


Filem muzikal manakah yang pernah menjadi kegemaran anda?
Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click here.

Filem Berkaitan:
Sinaran (Melayu) (26 November 2015)
Magika (Melayu) (23 September 2010)
Hoore! Hoore! (Melayu) (24 Mei 2012)
Leftwings (Melayu) (30 Ogos 2012)
Rock Oo! Rimba Bara Kembali (Melayu) (28 Februari 2013)





Ticket Pricing Guide