Rencana
Filem tempatan wajib tonton September ini


Tarikh disiarkan: 2 September 2015


September menyaksikan banyak filem tempatan menarik ditayangkan.
Jadi mana satu pilihan anda?

Walaupun keadaan ekonomi negara kini dilihat semakin goyah yang mana ia mungkin memberi kesan kepada industri perfileman tempatan, namun industri perfileman tempatan terus rancak dengan filem-filem terbaru yang ditayangkan sepanjang tahun ini.

Berikutan berada di musim kemerdekaan ini terdapat beberapa filem tempatan yang mempunyai elemen-elemen kenegeraan dan semangat patriotik. Selain itu, terdapat juga filem romantik, komedi dan seram juga untuk tontonan semua lapisan masyarakat.

Oleh itu, jom tengok senarai filem-filem tempatan anda wajib tonton sepanjang bulan September ini.

Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium

Kita semua sudah maklum dengan karya pengarah popular Mamat Khalid yang boleh dikatakan lain dari lain. Jika sebelum ini pengarah ini popular dengan filem "Zombi Kampung Pisang", "Hantu Kak Limah" dan "Rock Ooo". Kini Mamat muncul lagi dengan filem terbaru "Usop Wilcha: Menghojang Makhluk Muzium". Jika dilihat dari treler filem ini, ia hampir sama dengan filem Hollywood "Night At Museum" tetapi disuntik dengan elemen-elemen sejarah tanah air. Selain menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Namron, Nasir Bilal Khan, Usop Wilcha dan Farahdhiya, pengarah turut menampilkan penyanyi popular Elizabeth Tan sebagai peneraju.

Ia mengisahkan tentang satu penganjuran pameran hantu dunia untuk menarik orang ramai kembali ke muzium. Bagaimanapun tanpa disedari ada pihak yang cuba untuk menghidupkan Count Dracula. Namun rancangan itu disedari oleh patung-patung tokoh lama seperti Perak Man, Sultan Melaka, Bendahara Tun Perpatih Putih, Datuk Maharaja Lela bersama si Putum mahu menggagalkan rancangan tersebut dengan bantuan orang luar.

Tarikh tayangan: 3 September

Bravo 5

Nampaknya bulan kemerdekaan masih diteruskan dalam filem aksi/patriotik "Bravo 5". Filem arahan M.Hitler Zami ini akhirnya bakal menemui penonton di layar perak selepas beberapa tahun ditangguh akibat beberapa masalah. Bagaimanapun pihak penerbit dan produksi akhirnya berjaya menyiapkan filem yang boleh dikatakan dinanti-nantikan oleh ramai kerana ia menampilkan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Remy Ishak, Shashi Tharan dan ramai lagi.

Filem yang mengisahkan tentang anggota Komando Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) ini berlatarkan pada tahun 1989 yang mana lima anggota telah ditugaskan untuk mengesan gerila komunis. Malangnya set komunikasi mereka rosak dan tanpa bantuan pasukan tentera lain mereka terpaksa bertempur dengan hampir 200 anggota gerila komunis.

Tarikh tayangan: 10 September

Kapsul

Filem arahan Allahyarham Martias Ali ini adalah satu-satunya filem paling dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Mengapa? Ini kerana dalam filem "Kapsul" akan menampilkan Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed (Tun M) dalam lima babak berdialog bersama pelakon utama Faizal Hussein. Menurut penerbit filem ini, Amru Najmi Osman, pada mulanya Tun M menolak untuk muncul dalam filem ini, namun selepas draf filem ini diperiksa oleh pegawai khas Tun M, Tun M bersetuju untuk tampil dalam filem "Kapsul". Amru turut berkata dengan penampilan Tun M mampu memberi impak besar pada filem itu. Sama-sama kita nantikan tayangan filem untuk mengetahui impaknya.

Selain Tun M dan Faizal Hussein, "Kapsul" turut dibintangi oleh Elly Mazlein dan Datuk Rahim Razali. Ia mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Zohri yang terperangkap dalam kapsul masa di empat zaman berbeza. Sebuah kapsul masa wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun M telah dicuri dan telah membawa Zohri kembali ke zaman silam. Ketika di zaman pergolakan bangsa Melayu untuk mencapai kemerdekaan, Zohri melihat dan merasai sendiri erti sebuah perjuangan bangsanya yang tidak pernah dia bayangkan selama ini.

Tarikh tayangan:
17 September

Polis Evo

Jika anda seorang peminat filem aksi atau pun komedi, maka filem "Polis Evo" pastinya akan memenuhi cita rasa anda. Ini kerana filem yang mengangkat tema polis ini dibintangi oleh pelakon dan pelawak popular Zizan Razak dan pelakon terkenal Shaheizy Sam. Gabungan dua nama ini sudah cukup untuk membuatkan anda mahu menonton filem ini, di samping pengarahnya Ghaz Abu Bakar yang sememangnya dikenali sebagai pengarah berkaliber. Selain itu, filem ini turut dibintangi oleh Nora Danish, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

"Polis Evo" mengisahkan tentang dua orang anggota polis, Khai dan Sani. Mereka ini mempunyai personaliti yang sangat berbeza. Namun mereka terpaksa bekerjasama apabila mereka ditugaskan untuk menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah.

Tarikh tayangan: 17 September

Girlfriend Kontrak

Jika dilihat pada judul filem ini, pastinya ramai yang akan menjangkakan bahawa ia adalah sebuah filem romantik tipikal atau klise Malaysia. Tetapi jika dilihat pula pada barisan pelakonnya seperti Keith Foo, Bront Palarae, Nur Risteena dan Farah Fauzana pastinya akan membuatkan ramai tertanya mengapa pelakon hebat seperti Bront mahu membintangi filem ini bukan? Hah, nak tahu kenapa? Sebenarnya filem arahan Virginia Kennedy ini adalah inspirasi dari novel kontroversi Hollywood "Fifty Shades Of Grey". Tapi penulis ingin beritahu awal-awal lah yang tiada babak seperti dalam kontroversi dipaparkan dalam filem "Girlfriend Kontrak". Kalau ada sudah semestinya filem ini akan diharamkan di Malaysia.

Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis kampung yang dalam misi untuk menyelamatkan kelip-kelip yang cukup disayanginya daripada dimusnahkan oleh projek pembangunan milik seorang jutawan buaya darat, namun Aliza akhirnya diupah untuk menjadi teman wanita kontrak jutawan tersebut.

Tarikh tayangan: 24 September

Jwanita

Filem sci-fi, patriotik, aksi, komedi dan romantik sudah pun tersenarai, jadi untuk penutup filem tempatan bulan September ini adalah filem bergenre ngeri/psiko "Jwanita". Filem arahan Osman Ali ini sebenarnya sudah lama siap penggambaran iaitu beberapa tahun yang lalu, namun baru sekarang ia akan ditayangkan. Kenapa lama sangat? Ini kerana menurut pengarahnya ia mengambil masa lama untuk proses suntingan kerana mahu hasil akhir filem ini memuaskan. Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Bront Palarae, Maya Karin, Cristina Suzanne, Marsha Milan dan Umie Aida.

Ia mengisahkan tentang seorang perempuan bernama Jwanita mengalami masalah mental serius akibat didera secara mental dan fizikal oleh ibu bapa angkatnya yang juga merupakan pengamal ilmu hitam. Dia kemudiannya menemui sinar harapan apabila bertemu dengan Farhan iaitu seorang doktor yang merawatnya selepas dia membunuh kedua ibu bapa angkatnya itu. Namun segalanya musnah apabila Jwanita mendapat tahu bahawa Farhan merupakan tunang kepada adik kandungnya, Julaika. Selepas lama menghilangkan diri. Jwanita muncul semula bersama dendam yang lama tersimpan.

Tarikh tayangan: 24 September

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Usop Wilcha : Menghonjang Makhluk Muzium (Melayu) (3 September 2015)
Bravo 5 (Melayu) (10 September 2015)
Kapsul (Melayu) (17 September 2015)
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)
Girlfriend Kontrak (Melayu) (24 September 2015)
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)