Rencana
Filem seram wajib tonton November ini


Tarikh disiarkan: 14 November 2015


Berikut adalah beberapa filem seram menarik November ini.

Siapa kata bulan Halloween sahaja menyajikan filem seram? Bulan November kali ini turut akan menyaksikan beberapa filem seram menarik bakal menemui penonton.

Dari filem seram Melayu, hantu kapal Thai, sehinggalah hantu Cina, bulan ini mempunyai semuanya.

Sebanyak enam buah filem seram untuk ditonton, peminat filem seram pastinya mempunyai banyak pilihan. Bagi mereka yang gemar dengan filem seram Thai, "Ghost Ship" adalah pilihan yang tepat.

Bagi peminat filem seram tempatan pula, anda pasti akan takut dan ketawa pada masa sama dengan filem "Ada Apa Dekat Bus Stop" atau membuatkan anda tidak senang duduk dengan filem "Banglo Berkunci".

Oleh itu, Cinema Online akan menyenaraikan beberapa filem seram untuk bulan November ini:

"The Bride" (Mandarin)

Apabila satu-satunya benda merah mengenai pengantin perempuan adalah bajunya, atau bibir berdarah, ia bukanlah perkahwinan yang mengembirakan. Diarahkan oleh Lingo Hsieh, ia mengisahkan tentang seorang penerbit filem bernama Liew dan tunangnya, Tan yang mengambil keputusan untuk berkahwin. Liew dengan secara tidak sengaja telah membawa hantu pengantin perempuan kejam ke dalam hidup mereka apabila dia terambil sampul pelik berwarna merah di jalan dan membawanya pulang ke rumah. Sejak dari itu hidup mereka mula menjadi kucar-kacir. Filem "The Bride" dibintangi oleh Nikki Hsieh, Chris Wu, Chie Tanaka dan Vera Yen.

Tarikh tayangan: 12 November 2015

"Ghost Ship" (Thai)

Filem arahan Phontharis Chotkijsadarsopon ini mengisahkan tentang kapten bot dan rakannya menemui mayat isteri kepada pemilik bot, Mia apabila mereka sedang bersiap untuk berlayar. Mereka kemudian mengambil keputusan untuk membuang mayat tersebut di tengah laut, oleh itu mereka telah menyembunyikan mayat di bahagian enjin bot. Bagaimanapun, perkara tidak diingini berlaku apabila mayat tersebut hilang dan hantu Mia mula mengganas dalam bot itu. Sekarang mereka perlu merungkai siapakah pembunuh Mia, selain perlu mengelak dari dibunuh oleh Mia. "Ghost Ship" dibintangi Sean Jindachote, Bhuvadol Vejvongsa, Dharmthai Plangsilp, Pongsatorn Sripinta dan Nutcha Jeka.

Tarikh tayangan: 12 November 2015

"Ada Apa Dekat Bus Stop" (Melayu)

Perhentian bas adalah tempat misteri terutamanya pada waktu malam. Diarahkan oleh Ikhzal Azfarel Ideris, ia mengisahkan tentang tiga pemuda yang mahu menyiasat kejadian misteri yang berlaku di perhentian bas di kampung mereka. "Ada Apa Dekat Bus Stop" dibintangi oleh Abam, Erwan Razak, Myo Oh Chentaku, Tauke Jambu dan Airis Yasmin.

Tarikh tayangan: 19 November 2015

"The Hallow"

Sentiasa mendengar amaran daripada penduduk tempatan. Sebuah keluarga terpaksa berdepan situasi sukar apabila berpindah ke sebuah rumah baru dengan pelbagai kejadian pelik berlaku. Filem arahan Corin Hardy mengisahkan tentang sebuah keluarga British berdepan makhluk syaitan dari hutan Irish. "The Hallow" dibintangi oleh Joseph Mawle, Bojana Novakovic dan Michael McElhatton.

Tarikh tayangan: 19 November 2015

"Keeper Of Darkness" (Kantonis)

Nick Cheung kembali mengarah dan membintangi filem terbarunya. Kali ini Cheung membawa watak pengusir hantu hebat yang menjadi sensasi apabila upacara mengusir hantu yang dilakukannya menjadi viral di Internet. Malangnya popularitinya bukan sahaja menarik perhatian media, tetapi juga makhluk dari alam lain. "Keeper of Darkness" juga dibintangi oleh Amber Kuo, Sisley Choi, Xing Yu dan Louis Cheung.

Tarikh tayangan: 26 November 2015

"Banglo Berkunci" (Melayu)

Filem arahan Dharma Aizat ini mengisahkan tentang tiga sahabat baik, Danny, Boy dan Adam yang gemar melakukan aktiviti paranormal di tempat-tempat yang dikatakan keras. Tujuan mereka adalah untuk mengesahkan kewujudan hantu. Apabila ketiga-tiga mereka pergi ke sebuah banglo kosong yang mempunyai sejarah hitam, pengembaraan sebenar mereka baru bermula. Filem ini mempunyai persamaan seperti "Paranormal Activity" dan "Blair Witch Project". "Banglo Berkunci" dibintangi oleh Intan Ladyana, Fadlan Hazim, Adiba Yunus dan Fahmy Reza.

Tarikh tayangan: 26 November 2015


Adakah anda berani untuk menonton filem-filem seram ini di pawagam November ini?

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
Read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
The Bride (Mandarin) (12 November 2015)
Ghost Ship (Thailand) (12 November 2015)
Ada Apa Dekat Bus Stop (Melayu) (19 November 2015)
The Hallow (19 November 2015)
Keeper Of Darkness (Kantonis) (26 November 2015)
Banglo Berkunci (Melayu) (26 November 2015)