Rencana
Sebab perlu tonton filem seram "Apartment"


Tarikh disiarkan: 21 Disember 2015


Peminat-peminat Pierre Andre pasti tak sabar menunggu tayangan filem terbaru arahannya.

Salah sebuah filem yang akan menutup tirai tahun 2015 adalah filem seram "Apartment" yang merupakan filem tempatan terakhir yang akan ditayangkan di pawagam iaitu pada 31 Disember ini.

Pasti pembaca tertanya-tanya mengapa filem "Apartment" menjadi pilihan, bukan? Untuk pengetahuan pembaca, filem seram ini diarahkan oleh pengarah hebat iaitu Pierre Andre. Pierre boleh dikategorikan sebagai salah seorang pengarah tersohor tempatan.

Walaupun sudah lama tidak melihat kelibat Pierre di layar perak mahu pun di kaca televisyen, ia tidak bermakna dia sudah berundur diri dari dunia seni, cuma dia memperlahankan sahaja mungkin kerana keadaan industri perfileman tempatan yang dilihat semakin tenat.

Jika tahun lalu Pierre tampil dengan filem seram "Cerita Hantu Malaysia" yang ditayangkan pada penghujung tahun 2014, tahun ini juga Pierre berbuat perkara sama dengan filem seram terbarunya berjudul "Apartment". Nampaknya pengarah seperti mahu hadkan arah filem setahun sekali sahaja.

Ia mengisahkan tentang seorang penulis novel yang baru berpindah ke sebuah pangsapuri baru. Dia kemudian telah mengalami pengalaman menakutkan, termasuk terlihat hantu tanpa kepala.

Jadi kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa sebab untuk anda tonton filem seram ini walaupun demam "Star Wars: The Force Awakens" masih belum reda.

Diarahkan oleh Pierre Andre

Nama Pierre Andre adalah nama besar dalam industri hiburan. Pierre bukan sahaja seorang pengarah yang berbakat besar, malah juga merupakan antara pelakon hebat tanah air. Ini terbukti apabila dia berjaya merangkul anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 dan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20. Sehingga kini, Pierre sudah membintangi sebanyak 26 buah filem.

Mengenai kerjaya sebagai pengarah pula, filem "Apartment" ini adalah filem ke sembilan dan merupakan filem seram ke enamnya. Antara filem seramnya yang mendapat pujian dan sambutan daripada penonton seperti "Al-Hijab", "Highland Tower", "Jangan Pandang Belakang", "Jin" dan "Cerita Hantu Malaysia". Oleh itu penulis yakin Pierre tidak akan mengecewakan penonton menerusi filem terbarunya nanti.

Gabungan pelakon lama dan baru

Jika dilihat barisan pelakon yang ditampil kali ini, boleh dikatakan sedikit apabila hanya tiga pelakon utama iaitu Kamal Adli, Naqia Nasution dan Bil Azali. Penulis tidak terkejut apabila Kamal Adli sekali lagi bekerja di bawah arahan Pierre dalam filem "Apartment" kerana tahun lalu Kamal turut berlakon dalam filem "Cerita Hantu Malaysia". Oleh itu gabungan pelakon lama dan baru ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Mempunyai jalan cerita yang kuat

Sejujurnya penulis hanya menggangap filem ini akan mempunyai jalan cerita kuat berdasarkan filem-filem seram Pierre terdahulu yang tidak pernah mengecewakan. Apa yang ingin penulis puji mengenai pengarah adalah idea-idea kreatif yang ada pada Pierre. Sebagai contoh, filem "Cerita Hantu Malaysia" adalah sebuah filem bajet yang sangat kecil, namun kekurangan itu tidak dijadikan sebagai alasan untuk tidak menghasilkan sebuah karya berkualiti.


Antara salah satu babak dalam "Apartment".

Menerusi treler filem "Apartment" yang ditonton, penulis merasakan filem seram terbaru ini adalah filem bajet kecil, tetapi apa yang membuatkan penulis tertarik adalah mahu melihat bagaimana pengarah akan menggarap filem ini dan pastinya ramai penonton terutamanya peminat Pierre juga mempunyai perasaan sama.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Apartment (Melayu) (31 Disember 2015)
Cerita Hantu Malaysia (Melayu) (25 Disember 2014)
Highland Tower (Melayu) (31 Oktober 2013)





Ticket Pricing Guide