5 Perkara FFM boleh dan perlu perbaiki di masa depan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

5 Perkara FFM boleh dan perlu perbaiki di masa depan

Penulis: Erny Suzira


Nabil Raja Lawak dan Sherry Alhadad hos pada malam kemuncak FFM 28.

Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) telah pun melabuhkan tirainya dengan filem "Jagat" dinobat sebagai Filem Terbaik manakala "Munafik" pula diangkat sebagai Filem Nasional Terbaik untuk tahun 2016.

Bagaimanapun, sebelum FFM 28 berlangsung lagi, sudah banyak kontroversi yang tercetus berhubung pengasingan bahasa dalam kategori utama Filem Terbaik dan Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Selepas berdepan kecaman hebat dan tindakan boikot, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengambil langkah proaktif dengan membuat beberapa perubahan pada kategori termasuk memperkenalkan kategori Filem Nasional Terbaik, dan memasukkan filem Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia ke dalam kategori utama.

Acara kemuncak mungkin sudah berakhir, tampaknya semua kelihatan seperti berakhir dengan baik sekali. Tetapi adakah ia benar?

Berikut adalah beberapa aspek permasalahan yang kami kenal pasti ketika FFM 28 berlangsung yang dirasakan perlu diambil perhatian pada masa hadapan untuk menganjurkan majlis berprestij ini dengan lancar.

Beberapa bintang utama tidak hadir


Pengarah "Ola Bola" Chiu Keng Guan tidak hadir pada malam
kemuncak FFM 28 biarpun filem arahannya mendominasi jumlah pencalonan.

FFM tahun ini menyaksikan beberapa selebriti penting tidak hadir. Antara yang Cinema Online kenal pasti adalah pengarah "Ola Bola" dan pelakon utama JC Chee, pelakon utama "Polis Evo" Zizan Razak, pelakon "Love Supermoon" Nadiya Nisaa dan pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin, pelakon "Rembat" Aniu dan pelakon utama "Suamiku Encik Perfect 10!" Aaron Aziz dan beberapa lagi.

Nama-nama yang disebut ini kami tidak pasti mengapa mereka tidak dapat hadir ke majlis anugerah berprestij tahunan ini, dan menerusi pemerhatian kami tahun ini banyak tetamu 'VIP-VIP' hadir berbanding selebriti. Adakah ia berpunca dari mereka memboikot atau jadual mereka bercanggah dengan tarikh malam kemuncak FFM? Apa-apa pun, ia tidaklah tampak ketara sangat dengan ketidak hadiran beberapa bintang ini. Ini adalah festival filem dan apa gunanya sekiranya festival tanpa bintang-bintang pelakon?

Prosedur teratur untuk acara karpet merah


Maya Karin diminta untuk 'pose' di laluan masuk ke dewan.

Ketika acara karpet merah FFM 28 berlangsung, sebuah 'backdrop FFM 28' besar telah ditempatkan di hadapan laluan masuk untuk jurugambar dan stesen TV mengambil gambar atau menemuramah selebriti yang hadir ke malam kemuncak. Bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila hanya segelintir sahaja selebriti yang muncul di 'backdrop' untuk sesi bergambar dan temubual, manakala selebihnya diarahkan dengan segera masuk ke dewan.

Berikutan itu, rata-rata jurugambar menyuarakan rasa tidak berpuas hati kerana mereka terpaksa meminta selebriti-selebriti berhenti seketika di laluan masuk untuk mengambil gambar mereka dan ini telah menimbulkan kesesakan pada laluan masuk ke dewan.

Tahun lalu isu ini tidak timbul kerana selebriti-selebriti diarahkan oleh petugas untuk berjalan ke 'backdrop' untuk sesi bergambar sebelum masuk ke dewan. Dengan ini, jurugambar dapat mengambil gambar dengan 'elok' tanpa gambar orang ramai sebagai berpusu-pusu hendak masuk ke dewan. (p/s: Untuk apa mempunyai 'backdrop' cantik dan besar tetapi tidak digunakan)

Ruang belakang pentas untuk sesi bergambar pemenang bersama trofi


Syamsul Yusof bergambar ketika di belakang pentas selepas menerima anugerah.

Selepas menerima anugerah di pentas, kesemua pemenang perlu berjalan ke belakang pentas untuk sesi bergambar dan sesi temubual sebelum masuk semula ke dewan. Namun apa yang ingin disentuh di sini adalah ruang untuk jurugambar untuk mengambil gambar pemenang dengan trofi tidak sesuai dan kecil. Jurugambar diletakkan di ruang laluan belakang pentas yang sibuk dan terpaksa bergilir-gilir mengambil gambar dengan hanya berlatarkan dinding kosong.

Tahun-tahun sebelum ini, para pemenang akan dibawa ke 'backdrop FFM' di hadapan untuk sesi bergambar bersama trofi masing-masing sebelum ditemubual wartawan.

Tumpuan sepatutnya diberikan kepada kateogri Filem Terbaik, sebaliknya diberikan kepada Filem Nasional Terbaik


"Munafik" diangkat sebagai Filem Nasional Terbaik.

Setiap tahun, saat yang paling dinanti-nantikan sudah pastinya kepada kategori Filem Terbaik FFM, tetapi kini FINAS telah memperkenalkan kategori baru Filem Nasional Terbaik, dan tumpuan telah beralih kepada kategori baru berbanding Filem Terbaik FFM. Ia agak janggal dan menjadi persoalan mengapa ia menjadi tumpuan berbanding kategori Filem Terbaik. Mungkinkah kategori Filem Terbaik diturunkan di bawah kategori baru?

Walaupun FINAS cuba menyelesaikan isu pengasingan dengan membenarkan kedua-dua filem Berbahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia untuk bertanding dalam beberapa kategori utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik, tetapi tumpuan diberikan kepada Filem Nasional Terbaik yang mana ia hanya membenarkan filem Berbahasa Malaysia sahaja dalam kategori tersebut, dan ini dilihat seperti masalah sebenar masih lagi tidak diselesaikan.

Ini bermaksud sekiranya ada filem lebih berkualiti dalam kategori Filem Terbaik seperti "The Revenant" (sekadar contoh) berbanding dari semua filem dalam kategori Filem Nasional Terbaik, ia tidak bermakna langsung kerana ia masih jatuh di tangan kategori Filem Nasional Terbaik berikutan kategori Filem Terbaik sudah jatuh di tangga kedua.

Undian awam perlu diperkenalkan


Tetamu yang hadir di FFM 28. (Sumber foto: FINAS Malaysia Facebook)

Selama 28 tahun, kesemua pemenang FFM telah dipilih oleh barisan juri yang merupakan penggiat seni tempatan dan industri perfileman yang dipilih oleh FINAS. Walaupun tidak tahu bagaimana juri membuat keputusan dalam memilih pemenang, setiap juri dipercayai mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam menilai kriteria pemenang.

Untuk mengelak kritikan dan komen negatif dari orang yang turut berkata ahli juri sendiri tidak boleh bertanding untuk anugerah (kronism), ia lebih baik untuk membenarkan orang awam menyumbang 40 peratus dari undian dalam memilih pemenang. Dengan ini, kedua-dua pihak akan berpuas hati dengan keputusan akhir yang dirasakan lebih adil.

Cinema Online, 06 Sept 2016


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan