Rencana
Bergelak ketawa dengan filem komedi menarik sepanjang Julai ini!


Tarikh disiarkan: 2 Julai 2016


Filem manakah yang menjadi pilihan anda?

Nampaknya umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan akan menyaksikan keluarga yang tinggal berjauhan akan berkumpul di kampung halaman masing-masing bagi mengeratkan lagi silatulrahim.

Musim perayaan ini juga merupakan salah satu peluang untuk sesebuah keluarga meluangkan masa berkualiti bersama dek kesibukan dengan hal-hal lain ketika hari biasa.

Pelajar sekolah juga akan bercuti panjang dan peluang ini pastinya akan digunakan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak berjalan-jalan.

Antara aktiviti yang paling popular adalah menonton wayang bersama seluruh keluarga.

Untuk bulan perayaan ini, penonton akan disajikan dengan banyak pilihan filem-filem komedi yang sesuai untuk tonton sekeluarga.

Jadi sekiranya anda mempunyai perancangan untuk membawa anak-anak menonton filem di pawagam, anda boleh memilih beberapa buah filem komedi pilihan Cinema Online untuk bulan Julai ini.

Anak Mami Nasi Kandaq

Selepas sedekad tidak muncul dengan filem komedi dari francais "Anak Mami", pengarah Dato' Prof A Razak Mohaideen akhirnya muncul dengan filem terbaru berjudul "Anak Mami Nasi Kandaq" demi menunaikan permintaan peminat terhadap filem ini. Bagaimanapun untuk filem terbaru ini, Prof menggunakan semua pelakon berbeza kecuali Fasha Sandha, tetapi masih mengekalkan cerita tentang keluarga di Pulau Pinang.

Dibintangi oleh Chik Pak Man Telo, Sheila Mambo, Qi Razali, Nur Risteena Munim, Ezzaty Abdullah, Amylia Nastasha, Elisya Sandha dan ramai lagi, filem ini mengisahkan tentang seorang pengusaha restoran nasi kandar, Mamu Nizam, yang merupakan seorang duda dengan lima anak gadis yang berdepan masalah apabila perniagaannya semakin merosot kerana Mami Kalsom membuka gerai makan di hadapan restorannya. Berikutan itu, Mamu Nizam telah meminta nasihat daripada Mamu Hussin dan Tuan Akhlak Khan yang mencadangkan dia menggunakan kesemua anaknya untuk bekerja di restoran supaya dapat menarik pelanggan.

Tarikh tayangan: 6 Julai 2016.

Ice Age: Collision Course

Sekiranya anda mempunyai anak-anak kecil, filem "Ice Age: Collision Course" ini pastinya akan menjadi pilihan anda. Selepas kejayaan beberapa buah filem francais "Ice Age" sebelum ini, haiwan-haiwan pada zaman 'Ice Age' kembali dengan pengembaraan baru.

Diarahkan oleh Mike Thurmeier dan Galen T.Chu, watak-watak dalam filem animasi ini akan menyaksikan pelakon-pelakon terkenal yang menyumbang suara mereka, antaranya Ray Romano, Denis Leary, John Leguizamo, Jennifer Lopez, Keke Palmer, Simon Pegg, Jessie J dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 7 Julai 2016.

Bounty Hunters

Bagi anda yang minat dengan filem aksi komedi Cina pula, jangan risau kerana "Bounty Hunters" pasti tidak akan mengecewakan anda. Ia mengisahkan tentang Lee Shan dan Ayo sebagai bekas ejen Interpol yang mana kini menjadi pemburu upahan menjejaki penjenayah untuk wang ganjaran. Apabila kedua-dua mereka diperangkap dan dituduh mengebom sebuah hotel, mereka bekerjasama dengan pemburu upahan lagenda bernama, Cat, bersama pasukannya untuk mencari dalang sebenar.

Diarahkan oleh Shin Tae-ra, filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat termasuk Lee Min-ho, Tang Yan, Wallace Chung, Karena Ng dan Fan Siu Wong.

Tarikh tayangan: 14 Julai 2016.

Ghostbusters

Peminat filem "Ghostbusters" dahulu pastinya tidak sabar untuk menyaksikan filem 'reboot' ini yang mana akan menampilkan barisan pengusir hantu wanita dan bukannya lelaki. Ia mengisahkan tentang Erin Gilbert dan Abby Yates yang menulis sebuah buku tentang kewujudan hantu-hantu. Beberapa tahun kemudian, Erin menjadi seorang pensyarah di Universiti Columbia tetapi apabila bukunya kembali ditimbulkan, dia menjadi bahan jenaka di universitinya.

Bagaimanapun, apabila hantu-hantu mula menakluk bandar Manhattan, membuktikan kepercayaannya adalah benar, Erin kembali berkerjasama dengan Abby dan juga seorang jurutera nuklear, Jillian Holtzmann, serta pekerja kereta api, Patty Tolan, untuk menyelamatkan dunia daripada syaitan berkuasa bernama Rowan.

Filem arahan Paul Feig ini dijangka akan menjadi .hit apabila ia ditayangkan nanti di mana ia dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Kristen Wiig, Melissa McCarthy, Kate McKinnon, Leslie Jones dan Chris Hemsworth.

Tarikh tayangan: 14 Julai 2016.

Zack Kapcai

Sekiranya anda peminat filem aksi komedi tempatan, maka filem "Zack Kapcai" arahan Rosli Mohd Taib adalah filem untuk anda. Ia mengisahkan tentang Zack yang merupakan seorang peminat motosikal kapcai yang dibesarkan tanpa ayah. Pada satu hari, ibunya telah menceritakan kisah sebenar yang mana bapa kandungnya masih lagi hidup dan merupakan Raja Kapcai. Terkejut dengan berita itu, Zack mengambil keputusan untuk mencari bapa kandungnya sehingga jumpa.

Apa yang pasti, anda tidak akan duduk diam dan kering gusi menonton filem ini kerana ia dibintangi pelawak-pelawak popular seperti Fad (Bocey), Rahim R2, Syuk SYJ, Julia Marin dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 14 Julai 2016.

Skiptrace

Rasanya sudah lama kita tidak menyaksikan filem aksi komedi dari Jackie Chan sejak beberapa tahun ini, dan "Skiptrace" hadir tepat pada waktunya apabila Jackie bakal membawa watak sebagai anggota polis detektif Bennie di Hong Kong yang dalam misi mengesan ketua penjenayah Victor Wong sejak lebih sedekad yang lalu.

Apabila anak saudaranya Samantha terbabit dengan sindiket jenayah Wong, Bennie meminta pertolongan daripada seorang kaki judi Amerika bernama Connor Watts. Kedua-dua mereka kemudian terlibat dalam satu pengembaraan berisiko tetapi menyeronokkan untuk menyelamatkan Samantha.

Selain Jackie, filem arahan Renny Harlin ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Fan Bingbing, Johnny Knoxville, Leo Ku, Eric Tsang, Michael Wong dan Eve Torres. Apa yang boleh dikatakan adalah anda pasti akan pecah perut menahan gelak apabila menonton filem ini kelak.

Tarikh tayangan: 21 Julai 2016.

Bad Moms

Bagi golongan wanita-wanita di luar sana, filem "Bad Moms" ini adalah filem wajib tonton bagi anda. Ia mengisahkan tentang seorang ibu yang boleh dikatakan seorang yang sempurna yang sudah bosan dengan semuanya. Bersama dua lagi ibu yang mempunyai masalah sama, mereka bertiga cuba meninggalkan kerisauan mereka dengan menyembunyikan identiti mereka dan mengejar kebebasan dan keseronokan. Perangai buruk ini telah menimbulkan rasa tidak senang Queen Bee di kalangan mereka dan telah menyebabkan perselisihan faham antara mereka.

Apa yang membuatkan filem ini dikategorikan sebagai 'wajib tonton' adalah kerana barisan pelakon yang membintangi filem ini iaitu Mila Kunis, Kristen Bell, Christina Applegate dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 28 Julai 2016.

Dukun Doktor Dani

Bulan Julai akan menyaksikan penonton mempunyai pilihan beberapa buah filem tempatan untuk ditonton dan filem "Dukun Doktor Dani" akan menjadi filem penutup tirai untuk bulan Julai ini. Menampilkan barisan pelakon mantap seperti Fasha Sandha, Amerul Affendi, Khatijah Tan dan Raysha Rizrose, ia juga akan menampilkan penyanyi terkenal dari Singapura iaitu Taufik Batisah.

Ia akan berkisarkan tentang Dani, seorang doktor muda yang baru bekerja, meletak jawatan apabila pembedahan pertamanya gagal dan pesakit meninggal dunia. Dia kemudian pulang ke kampung halamannya. Di sana, dia berpakat dengan Dukun Sudin yang mana Dani menjual barang-barang yang diperlukan pesakit yang datang ke rumah dukun itu. Dani sekali lagi berdepan masalah apabila Dukun Sudin meninggal dunia dan dia terpaksa mengambil alih kerja dukun. Dalam pada itu, ibunya, Mak Siti, pula perlu menjalani pembedahan dan mahu Dani melakukan pembedahan itu. Dani dalam dilema sama ada ingin melakukannya atau tidak.

Tarikh tayangan:
28 Julai 2016.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Anak Mami Nasi Kandaq (Melayu) (6 Julai 2016)
Ice Age: Collision Course (7 Julai 2016)
Ghostbusters (14 Julai 2016)
Skiptrace (21 Julai 2016)
Bounty Hunters (Kantonis) (14 Julai 2016)
Zack Kapcai (Melayu) (14 Julai 2016)
Bad Moms (28 Julai 2016)
Dukun Doktor Dani (Melayu) (28 Julai 2016)





Ticket Pricing Guide