Rencana
"Desolasi" undang keterujaan penonton


Tarikh disiarkan: 27 November 2016


Adakah anda salah seorang peminat filem arahan Syafiq Yusof?

Hujung tahun 2016 ini menyaksikan beberapa buah filem hebat tempatan bakal ditayangkan, termasuklah filem terbaru arahan pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof berjudul "Desolasi".

Filem terbitan Skop Production ini semakin menjadi bualan ramai, terutamanya kira-kira sebulan lalu apabila mereka memuat naik treler filem berkenaan yang mendapat perhatian ramai apabila memaparkan watak utama berlari di tengah ibu kota Kuala Lumpur tanpa seorang pun manusia mahupun kenderaan.

"Desolasi" mengisahkan tentang Aiman, iaitu seorang pelukis remaja yang mencari jawapan dalam persoalan kehidupan selepas melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam kehidupan sehariannya sehingga membuatkan dirinya hilang arah.

Masalah demi masalah yang dihadapinya telah membuatkannya bertengkar dengan ayahnya. Bagaimanapun, pada suatu pagi, Aiman mendapati dirinya keseorangan di dalam dunia tanpa manusia lain.

Pasti ramai yang teruja untuk menonton filem ini di pawagam apabila ia mula ditayangkan pada 8 Disember ini.

Namun bagi mereka yang masih kurang yakin atau was-was untuk tonton filem ini, jangan risau Cinema Online akan menyenaraikan beberapa sebab untuk anda tonton filem ini.

Diarahkan oleh Syafiq Yusof

Walaupun masih lagi muda, namun Syafiq Yusof sudah mula memperlihatkan sisi matangnya dalam menggarap filem. Mengikut jejak langkah bapanya yang merupakan pengarah dan penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam dan abangnya Syamsul Yusof, Syafiq mula mengarah filem pertamanya ketika berusia 18 tahun menerusi filem "SAM: Saya Amat Mencintaimu" yang mendapat pujian daripada penonton.

Selepas itu, Syafiq tampil lagi dengan beberapa buah filem pecah panggung seperti "Abang Long Fadil" dan "Villa Nabila". Pemenang trofi Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-25 ini terus mengorak langkah dengan terus berkarya. Selepas "Desolasi", dia mempunyai dua lagi filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu "Abang Long Fadil 2" dan "KL Special Force". Jadi rasanya kredibiliti pengarah muda ini tidak dapat disangkal lagi.

Plot cerita yang segar dan berbeza

Seperti abangnya Syamsul Yusof, Syafiq juga mempunyai persamaan iaitu sentiasa tampil dengan idea-idea segar untuk membuatkan karya mereka lebih menarik untuk ditonton berikutan penonton kini sudah bijak menilai sesebuah filem itu berkualiti atau tidak. Seperti 'intro' di atas tadi, terdapat babak di mana Syamsul sebagai watak utama berlari seorang diri di tengah ibu kota Kuala Lumpur tanpa sebarang kenderaan mahu pun manusia. Bagaimanakah Syafiq lakukannya? Sama-sama kita tonton nanti.

"Desolasi" adalah sebuah naskhah psiko thriller tetapi ia penuh dengan perisian yang lebih berteknologi tinggi dalam penggunaan kesan khas visual. Pasti ramai yang tidak sabar nak tengok hasil akhir bukan?

Dibarisi pelakon berkaliber

Seperti filem-filem Syafiq terdahulu, dia sangat mementingkan pemilihan pelakon, kerana seperti ramai sedia maklum, pelakon memainkan peranan penting dalam menjayakan sesebuah watak dalam filem kerana ia mampu memberi kesan dan impak kepada penonton yang menontonnya. Jika tidak, sehebat mana pun skrip yang dihasilkan sudah pasti akan 'rosak' sekiranya penghayatan pelakon tidak sampai. Pelakon yang membintangi filem ini adalah Syamsul Yusof, Bella Daly, Pekin Ibrahim, Datuk Jalauddin Hassan, Aida Khalida dan beberapa lagi.

Dijangka mampu menjadi salah sebuah filem terbaik tahun 2016!

Ya, jika dilihat dari rekod pengarah muda ini, filem ini dijangka mampu menjadi salah sebuah filem pecah panggung dan terbaik untuk tahun 2016. Namun diharap filem ini mampu mencapai kedua-duanya sekali kerana penonton adalah pihak terpenting dalam memastikan industri perfileman tempatan terus maju dan berkembang, sekaligus memberi ruang dan peluang untuk terus menghasilkan filem-filem hebat pada masa akan datang.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Desolasi (Melayu) (8 Disember 2016)





Ticket Pricing Guide