Rencana
Empire Film Solution terus maju ke hadapan


Tarikh disiarkan: 28 Jun 2016


Zubir punya perancangan untuk menerbitkan filem pula selepas ini.

Syarikat Empire Film Solution Sdn Bhd telah ditubuhkan oleh tiga rakan kongsi pada tahun 2013 yang mana syarikat mereka melakukan perkhidmatan mengedar dan pemasaran untuk filem-filem tempatan yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan.

Walaupun usia syarikat ini baru mencecah tiga tahun, namun nama Empire Film Solution kini boleh dikatakan antara salah sebuah nama yang besar dalam industri perfileman tempatan.

Baru-baru ini Cinema Online telah berpeluang untuk menemui salah seorang tulang belakang Empire Film Solution iaitu Muhamad Zubir Bin Badar Shair atau lebih dikenali dengan panggilan Zubir di kalangan rakan wartawan dan juga orang industri di pejabatnya di Kota Damansara.

Menceritakan tentang bagaimana boleh tertubuhnya syarikat ini, Zubir berkata dia sebenarnya bukanlah dari latar belakang industri filem kerana dia adalah graduan Kejuruteraan Audio.

Namun dia mula menceburi dunia industri ini selepas bekerja dengan beberapa syarikat produksi besar negara seperti Metrowealth (MIG), KRU Studios dan Grand Brilliance sebagai Pegawai Perhubungan Awam.

Setelah sekian lama salah seorang dari rakan kongsinya telah mencadangkan agar mereka membuka sebuah syarikat yang mana masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri iaitu Zubir pakar dalam bidang pemasaran manakala rakan kongsinya pula pakar dalam bidang pengedaran filem.

Tertubuhnya Empire Film Solution Sdn Bhd

Zubir mengakui pada mula-mula syarikatnya ditubuhkan mereka tidak mampu menyewa ruang pejabat dan kebanyakkan soal berkaitan kerja atau bertemu pelanggan di restoran-restoran mamak sahaja.

Usaha mereka akhirnya membuahkan apabila Empire Film Solution telah diberi tanggungjawab oleh penerbit Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam untuk melakukan promosi filem "KL Gangster" arahan Syamsul Yusof yang mana telah menjadi filem pecah panggung ketika itu.


"Mat Moto" arahan bersama Pekin Ibrahim &
Syafiq Yusof tampil sisi berbeza dalam mengetengahkan isu mat moto.

Sejak dari itu, penerbit-penerbit filem lain mula membuka mata dan yakin dengan kemampuan Empire Film Solution untuk mempromosikan filem mereka.

Selepas kejayaan promosi filem "KL Gangster", mereka selangkah ke hadapan apabila mula menjadi pengedar filem pada tahun 2014 dan filem pertama edaran mereka adalah "Laga" arahan Ismail Yaacob yang dibintangi pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Marsha Milan dan Syazwan Zulkifli.

Tambah Zubir lagi, tahun kemudiannya iaitu 2015 pula menjadi tahun paling sibuk untuk syarikatnya apabila perlu mengendalikan sebanyak sembilan buah filem yang mana kesemua filem ini diedar dan promosi oleh Empire Film Solution.

Kejayaan & cabaran yang perlu dihadapai

Segala kejayaan yang dikecapi sekarang bukanlah seperti 'bulan jatuh ke riba' kerana pelbagai cabaran yang terpaksa mereka lalui antaranya seperti ditipu pelanggan, tidak mendapat bayaran, perlu melayan karenah pelanggan yang kadang kalanya tidak munasabah. Tetapi mereka tetap teguh dan tidak berputus asa kerana mereka berpendirian untuk memberikan yang terbaik untuk setiap pelanggan mereka.

Oleh itu kedudukan mereka kini lebih selesa berikutan pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan mereka selalunya akan kembali menggunakan perkhidmatan mereka semula atau mencadangkan mereka kepada pelanggan baru.


Antara filem yang diedar dan dipromosikan oleh Empire Film Solution.

Malah untuk tahun 2016 ini boleh dikatakan tahun paling sibuk bagi Empire Film Solution apabila mereka sudah/bakal mengedar sebanyak tujuh buah filem; "Usin UFO", "Warna Cinta Impian", "Redha", "Juvana 3", "Kanang Anak Langkau" dan beberapa lagi.

Selain itu, mereka juga telah diberi tanggungjawab untuk mempromosikan dua buah filem iaitu "Mat Moto" dan "Munafik" yang mana kedua-dua buah filem ini mendapat kutipan pecah panggung dan cukup membanggakan.

Kejayaan tersebut sekaligus memberikan persepsi yang cukup baik terhadap keupayaan syarikat dalam menjadikan sesebuah filem itu berjaya.

Perancangan masa hadapan Empire Film Solution

Siapa yang tidak mahu berkembang atau melebarkan sayap sekirannya mempunyai peluang, dan Empire Film Solution juga sama apabila mereka mempunyai sasaran atau perancangan masa hadapan syarikat iaitu dengan mahu mengembangkan pengedaran filem bukan dari tempatan sahaja tetapi juga filem-filem antarabangsa seperti filem dari Indonesia dan Hollywood.

Selain itu, mereka juga mahu melangkah setapak kehadapan apabila turut mempunyai perancangan untuk menerbitkan filem keluaran mereka sendiri tidak lama lagi.

Zubir mendedahkan filem yang bakal diterbitkan kelak akan bergenre campuran iaitu aksi, romantik dan komedi, namun enggan mendedahkan dengan lebih lanjut kerana setakat ini ia masih lagi dalam peringkat perbincangan dan segalanya masih belum diputuskan.

Pandangan peribadi terhadap industri tempatan

Ditanya mengenai pandangan peribadinya terhadap industri tempatan, Zubir tanpa berselindung menyuarakan kekesalan dan kecewanya terhadap industri kini yang dilihat masih di tampok lama dan semakin hari semakin tenat.

Zubir berkata orang-orang kuat persatuan-persatuan seni tempatan masih mengekalkan orang lama yang berfikiran kolot dan enggan memberi peluang kepada orang-orang baru untuk mengemudi persatuan yang mana dapat mengetengahkan idea-idea yang segar untuk memantapkan industri tempatan yang semakin berkembang.

Tambahnya lagi, sikap berpuak atau (politik dalaman) dalam setiap persatuan yang sudah lama diamalkan ini bukan menguntungkan tetapi merugikan kerana banyak orang-orang muda yang berkelayakkan tidak diberi peluang.

Situasi sama ini juga berlaku di stesen-stesen televisyen tempatan yang mana mereka hanya memberikan kontrak kepada syarikat produksi besar atau yang sama sejak sekian lama untuk menghasilkan drama mahupun telefilem tanpa memberi peluang kepada syarikat kecil untuk mempamerkan karya mereka.

Berikutan itu penonton kini asyik disajikan dengan drama-drama yang judulnya berlainan tetapi jalan ceritanya hampir sama.

Oleh itu, Zubir berharap situasi ini akan dibuang satu hari nanti agar lebih ramai penggiat seni baru dengan karya yang lebih hebat dapat diketengahkan justeru dapat menaikkan industri tempatan ke satu tahap yang lebih baik.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide