Rencana
Filem-filem bola sepak terbaik


Tarikh disiarkan: 18 April 2016


Filem manakah yang paling anda suka?

Bola sepak merupakan antara salah satu sukan paling diminati di seluruh dunia tidak mengira usia, jantina mahupun bangsa.

Malah, sukan bola sepak ini juga dikatakan mampu menyatupadukan orang ramai, terutamanya di kalangan peminat-peminat bola sepak.

Memandangkan bola sepak merupakan sebuah sukan yang cukup besar dan popular, maka terdapat penerbit-penerbit filem yang mengambil peluang untuk menghasilkan filem yang berorientasikan sukan bola sepak ini.

Terdapat banyak filem-filem sukan bola sepak yang mana ada yang diangkat dari kisah sebenar atau diinspirasikan dari kisah benar, semua demi memenuhi cita rasa penonton.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin membawa pembaca mengimbas kembali filem-filem bola sepak yang menarik dan terbaik yang pernah ditayangkan!

"Victory"

Filem ini adalah inspirasi dari filem "Ketfelido a Pokolban" dari Hungary yang mana ia mengisahkan tentang sekumpulan tentera tahanan pihak perikatan yang ditawan oleh tentera Jerman semasa perang dunia ke-2 bermain bola sepak persahabatan dengan pasukan Jerman. Tujuan perlawanan bola sepak tersebut adalah untuk menyebarkan propaganda pihak Jerman.

Menariknya, filem arahan John Huston ini dibintangi lagenda bola sepak Pele dan pelakon terkenal Sylvester Stallone, Michael Caine dan ramai lagi.

"Goal" (I,II & III)

Filem "Goal" boleh dikatakan antara salah sebuah filem yang mampu memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang baru berjinak-jinak dalam sukan bola sepak. Ini kerana ia mengisahkan tentang kesusahan hidup Santiago Munez yang bekerja keras untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Usahanya berhasil apabila dia dikesan oleh seorang pencari bakat dari Newcastle United. Selain itu, filem ini juga memaparkan tentang kehidupan seorang pemain bola sepak profesional yang dipenuhi dengan gosip, paparazi, perbalahan dalam satu pasukan dan babak percintaan.

Berikutan sambutan yang memberangsakan, filem sekuel "Goal 2: Living The Dream" telah dihasilkan yang mana Santiago bertukar ke sebuah kelab gergasi di Sepanyol. Dalam filem kedua ini, penonton menyaksikan penampilan cameo dari pemain bola sepak terkenal termasuk Zinedine Zidane, David Beckham, Cristiano Ronaldo, Ronaldinho dan ramai lagi.

Dalam filem ketiga "Goal III" pula, ia memaparkan Santiago sekali lagi yang perlu bekerja keras untuk dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan untuk ke perlawanan Piala Dunia.

"Shaolin Soccer"

Siapa yang tidak pernah tonton "Shaolin Soccer"? Rasanya semua pernah tonton, malah ada yang berulang kali tonton filem ini tanpa rasa bosan. Ia merupakan sebuah filem komedi seni mempertahankan diri yang ditulis, diarah dan dibintangi sendiri oleh Stephen Chow. Filem ini mengisahkan tentang seorang sami Shaolin yang kembali bertemu dengan lima adik beradiknya, selepas kematian tok guru mereka.

Mereka kemudian mengaplikasikan sentuhan kung fu Shaolin dalam permainan bola sepak untuk meraih kemenangan. Dengan jalan cerita yang padat dengan aksi kung fu dan komedi, ternyata ia akan membuat sesiapa sahaja menonton filem ini terhibur.

"Ola Bola"

Filem ini adalah filem kebangaan rakyat Malaysia sejak ia ditayangkan pada 28 Januari lalu di mana ia mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton tidak kira bangsa. Ia adalah sebuah filem yang mengambil inspirasi daripada zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan yang berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980an.

Pengarah yang bertanggungjawab di atas filem ini adalah Chiu Keng Guan yang mana ini merupakan kejayaan kedua terbesarnya selepas filem "The Journey". Chiu Keng Guan berani mempertaruhkan barisan pelakon-pelakon baru sebagai peneraju dan percaturannya nyata berbaloi. Walaupun terdapat sedikit kontroversi apabila bekas pemain kebangsaan menyelar kerana mengubah beberapa fakta sejarah, namun ia tidak menjejaskan kredibiliti filem yang dilihat mampu memberi aspirasi kepada anak muda.

"United"

Kepada peminat pasukan bola sepak Manchester United (MU), filem "United" ini adalah filem wajib tonton untuk anda. Ini kerana filem yang diarahkan oleh James Strong ini diinspirasikan daripada kisah sebenar mengenai Busby Babes, gelaran kepada pemain MU yang terkorban dalam Munich Air Disaster 1958 dan rentetan peristiwa yang berlaku selepasnya.

Selain itu, ia juga memaparkan tentang peranan watak pembantu pengurus MU ketika itu, Jimmy Murphy dan lagenda MU, Bobby Charlton.

Nota: Senarai filem ini adalah dipilih oleh penulis berdasarkan pandangan peribadi.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide