Rencana
Filem-filem terhebat arahan Syamsul Yusof


Tarikh disiarkan: 2 Februari 2016


Filem Syamsul Yusof yang manakah menjadi pilihan anda?

Nama Syamsul Yusof bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air terutamanya dalam industri perfileman. Anak kepada penerbit dan pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam ini tidak mengambil jalan pintas untuk berjaya, tetapi beliau bermula dari bawah sehinggalah dirinya kini menjadi salah seorang individu berpengaruh dalam industri seni tempatan.

Selain menjadi pelakon berjaya, Syamsul atau Mohd Syamsul Bin Mohd Yusof ini aktif dalam bidang pengarahan filem dan ternyata beliau mempunyai bakat mengarah seperti bapanya.

Pengarah dan pelakon berusia 31 tahun ini pernah mencipta rekod sebagai pengarah termuda memenangi anugerah di Festival Filem Malaysia ke-23 iaitu ketika beliau berusia 26 tahun.

Tambahan, Syamsul terus cemerlang dengan beberapa filem arahannya yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung, malah beliau berjaya mengutip sebanyak RM37.36 juta menerusi lapan buah filem arahannya.


Filem paling seram pernah dihasilkan Syamsul Yusof.

Jadi bersempena dengan Syamsul bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "Munafik" pada 25 Februari ini, Cinema Online ingin memberi pembaca mengimbas kembali beberapa buah filem yang berjaya melonjakkan nama anak muda ini.

Evolusi KL Drift (1 & 2)

Ketika Syamsul Yusof mula mahu berjinak dalam dunia pengarahan, beliau tidak terus diberi peluang oleh bapanya walaupun lahir dari keluarga yang mempunyai syarikat perfileman gergasi di Malaysia. Malah Syamsul perlu membuktikan terlebih dahulu kepada bapanya mengarah drama "Gerak Khas" sebelum diberi peluang untuk mengarah filem pertamanya berjudul "Evolusi KL Drift". Walaupun Syamsul dapat mengarah filem, namun dia tetap dipantau oleh bapanya sehingga mereka pernah tidak sependapat sehingga beliau pernah rasa serik untuk mengarah filem lagi.

"Evolusi KL Drift" mengisahkan tentang Zack dan Sham yang bukan sahaja rakan baik, malah berkongsi hobi yang sama iaitu dalam bidang perlumbaan kereta 'drift'. Pada masa sama Zack mempunyai teman wanita bernama Fasha yang turut terlibat dalam perlumbaan kereta ini. Hubungan mereka bagaimanapun bergolak apabila Zack bersikap protektif terhadap pergaulan Fasha berikutan rentetan daripada sejarah kehidupan Fasha sebelum ini. Sementara itu, Joe dan Karl pula berasa tercabar apabila kegiatan mereka yang mahu menjerumuskan pemuda-pemuda ke alam mengkhayalkan dihalang oleh Zack dan rakan-rakan. Jadi bagi menyelesaikan masalah yang berlaku antara Zack dan Joe, mereka telah membuat keputusan untuk berlumba kereta.

Selepas kejayaan filem pertama, Syamsul kemudian muncul pula dengan sekuel iaitu "Evolusi KL Drift 2" yang ditayangkan pada tahun 2010 yang mana memaparkan dendam Joe terhadap Zack selepas terlibat dengan kemalangan pada filem pertama membuatkan Zack dan rakan-rakannya kini menjadi buruan Joe.

Bohsia (1 & 2)

Selepas berjaya memahat namanya sebagai salah seorang pengarah berbakat besar, Syamsul Yusof tampil dengan karya yang lebih berani yang mengetengahkan kehidupan minah rempit berjudul "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam". Disebalik kontroversi yang menghimpit filem ini, namun ia mendapat sambutan daripada penonton.

Ia mengisahkan tentang dua remaja bernama Amy dan Tasya yang tidak mempunyai pendidikan dan dan latar belakang keluarga yang kekurangan telah memilih untuk terjebak dalam dunia rempit selepas terpengaruh dengan teman lelaki.

Jika filem pertama mengisahkan bagaimana kehidupan Amy terjebat dalam dunia rempit dan maksiat, untuk filem kedua Syamsul berjudul "Jalan Kembali: Bohsia 2" pula lebih terarah kepada Amy bekas bohsia yang sudah bertaubat apabila masuk ke pusat pemulihan akhlak, manakala rakannya Tasya pula semakin hanyut bergelumang dengan gejala haram. Dalam filem "Bohsia" kedua Syamsul ini, beliau mula menerapkan elemen-elemen agama dan nilai-nilai baik agar boleh dijadikan pengajaran buat penonton.

Khurafat

Jika sebelum ini Syamsul Yusof mengarah filem yang berkisarkan tentang kehidupan remaja, namun untuk kali ini pengarah tampil dengan filem seram pertamnya berjudul "Khurafat". Dalam filem itu, Syamsul mengangkat kisah perjanjian terlarang dan penyelewengan dalam akidah Islam di antara manusia dan syaitan.

Ia mengisahkan tentang seorang lelaki, Johan yang sudah berkahwin dengan isterinya Aishah. Pada mulanya hidup mereka aman, namun lama-kelamaan rumah tangga mereka goyah gara-gara sering diganggu oleh lembaga aneh. Pelbagai usaha dilakukan, namun ganguan tetap berterusan. Pada masa sama bekas kekasih Johan, Anna yang tiba-tiba muncul dengan sikap pelik dan menakutkan menambahkan lagi episod trauma pasangan ini. Semuanya mula terungkai apabila Anna ditemui mati bunuh diri.

Walaupun "Khurafat" merupakan filem seram pertama arahannya Syamsul, namun kemampuan Syamsul untuk menghasilkan sebuah naskah yang berkualiti tidak dapat disangkal lagi. Filem ini bukan sahaja mendapat pujian daripada penonton, malah turut mendapat kutipan lebih RM8 juta.

KL Gangster (1 & 2)

Selepas kejayaan pada awal tahun menerusi filem "Khurafat", Syamsul Yusof sekali lagi tampil dengan filem terbaru arahannya, namun kali ini bergenre aksi pula "KL Gangster". Filem tersebut mengisahkan tentang kehidupan dua adik-beradik yang terjebat di dalam dunia gangster, si abang Malek dan Jai. Malek baru sahaja keluar dari penjara selepas dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Malek ingin mengubah hidupnya dan menjauhkan diri dari kegiatan hitam. Bagaimanapun akibat ramai musuh yang masih berdendam dengannya Malek sering berdepan masalah sehingga King tampil membantu dan sekaligus Malek sekali lagi terjerumus dalam dunia kongsi gelap.

Ketika tayangan filem ini ditayangkan di seluruh Malaysia, ia telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila ia berjaya mendapat kutipan pecah panggung, malah berjaya menjadi filem dengan kutipan tertinggi pada ketika itu dengan RM11.74 juta.

Dua tahun kemudian Syamsul muncul pula dengan filem kedua "KL Gangster 2" yang merupakan prequel kepada "KL Gangster". Untuk filem kedua ini Syamsul telah menjadi filem paling dinanti-nantikan oleh seluruh penonton di seluruh negara kerana ia menampilkan watak antagonis baru yang dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor yang memegang watak Tailong.

Ketika orang ramai tidak sabar menunggu tayangan filem "KL Gangster 2", telah berlaku satu insiden yang nyata membuatkan Syamsul terduduk apabila filemnya yang masih dalam proses suntingan akhir telah dicetak rompak oleh pihak tidak bertanggungjawab. Insiden ini telah mendapat liputan meluas daripada pihak media sehingga pada satu masa Syamsul meluahkan hasratnya untuk berhenti mengarah filem. Ternyata ia telah menjejaskan kutipan filem itu apabila hanya berjaya mendapat kutipan sebanyak RM4.96 juta iaitu angka yang lebih jauh dari kutipan filem pertama.

Luka Syamsul bagaimanapun sedikit terubat apabila filemnya itu berjaya memenangi dua dari tujuh pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-26.

Penulis: Ashraf Nasser








Ticket Pricing Guide