Rencana
Filem-filem zombi menarik yang pernah ditayangkan!


Tarikh disiarkan: 23 Januari 2016


Yang mana satu filem zombi kegemaran anda?


Penonton pada masa kini boleh dikatakan bertuah kerana kita ditawarkan dengan pelbagai jenis filem-filem menarik dari genre berbeza seperti sains fiksyen, aksi, romantik, komedi, seram, drama dan banyak lagi.

Malah penonton juga kadang-kala disajikan dengan filem-filem di luar jangkaan atau pun bukan fiksyen yang mana memaparkan apa yang mungkin akan terjadi dalam dunia realiti, dan filem-filem seperti ini nyata menjadi sambutan.

Filem yang sering menjadi sasaran penerbit-penerbit filem adalah filem zombi. Ya, menariknya walaupun banyak filem mengangkat tema zombi ini, namun setiap filem mempunyai kelebihan masing-masing dari segi jalan cerita.

Ternyata filem zombi masih lagi relevan pada tahun 2016 apabila filem "Pride And Prejudice And Zombies" arahan Burr Steers bakal menemui penonton pada 18 Februari ini.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin membawa pembaca mengimbas kembali beberapa buah filem zombi yang boleh dikatakan terbaik dan menarik! (Nota: Senarai filem-filem ini dipilih berdasarkan pandangan peribadi penulis sendiri)

Francais "Resident Evil"

 


Rasanya pasti ramai yang akan bersetuju dengan pilihan filem zombi pertama ini. "Resident Evil" adalah filem bersiri yang diangkat dari permainan video popular dengan judul sama. Filem aksi-seram ini mula ditayangkan sejak tahun 2002. Selepas kejayaan filem pertama, empat lagi filem kesinambungan telah dihasilkan yang mana filem kelima "Resident Evil: Retribution" ditayangkan pada 2012.

Ia mengisahkan tentang sebuah syarikat Umbrella Corporation yang membuat penyelidikan genetik rahsia di pusat fasiliti The Hive terletak di bawah Raccoon City. Apabila virus yang digelar sebagai T-Virus tersebar, ia menukar manusia menjadi zombi. Alice (Mila Jovovich) yang merupakan bekas ketua keselamatan untuk Umbrella Corporation, kini dalam misi memusnahkan Umbrella Corporation selepas mereka menyebabkan dunia seperti kiamat dengan penyebaran virus itu.

Tahun hadapan iaitu 2017 akan menyaksikan filem terakhir "Resident Evil: The Final Chapter" yang akan ditayangkan sekaligus menamatkan penantian penonton mengenai pengakhiran filem ini yang sudah berlanjutan hampir 15 tahun.

Zombieland

 


Filem zombi tidak semestinya hanya tertumpu pada aksi-seram sahaja, dan ini diterjemahkan dalam filem zombi komedi "Zombieland" yang ditayangkan pada tahun 2013. Filem arahan Rube Fleischer yang menampilkan Jesse Eisenberg, Woody Harrelson, Emma Stone dan Abigail Breslin ini mengisahkan tentang sekumpulan manusia yang terselamat dari malapetaka zombi.

Ia memaparkan seorang pelajar kolej 'nerd' bernama Columbus yang terpaksa berdepan dengan pelbagai situasi dalam menjalani kehidupan selepas malapetaka zombi berlaku. Sepanjang perjalanan itu, dia telah bertemu dengan beberapa manusia yang terselamat iaitu Tallahassee, Wichita dan Little Rock di mana mereka kemudian bersama dalam misi mencari tempat selamat bebas dari zombi.

Warm Bodies

 


Filem zombi "Warm Bodies" arahan Jonathan Levine ini bukan filem zombi tipikal yang sering dipaparkan. Dalam filem yang dibintangi Nicholas Hoult, Teresa Palmer, John Malkovich dan ramai lagi, "Warm Bodies" adalah sebuah filem drama-romantik yang mana manusia bercinta dengan zombi, dan yang mana jika mereka mendapat kasih sayang atau cinta, zombi-zombi ini lama-kelamaan akan bertukar menjadi manusia semula.

Ia mengisahkan tentang seorang zombi bernama R. R tinggal di dalam kapal terbang Boeing 747 lama di kawasan lapangan terbang. R mempunyai perwatakan berbeza dari zombi-zombi lain. Pada satu hari R telah menyelamatkan seorang gadis bernama Julie Grigio dari dibunuh zombi lain. Selepas daripada insiden itu, R mula jatuh cinta pada Julie.

World War Z

 



Filem ini adalah adaptasi dari sebuah novel dengan judul sama "World War Z" nukilan Max Brooks dan ia dibintangi oleh Brad Pitt, Mireille Enos, James Badge Dale, Lucy Aharish dan ramai lagi. Ia mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Gerry Lane yang merupakan wakil United Nations yang berdepan dengan situasi di mana dunia diserang wabak yang menukar manusia menjadi zombi apabila digigit oleh individu yang dijangkiti. Gerry kemudian telah ditugaskan untuk membantu pasukan penyelidikan untuk mencari punca bermula penyebaran wabak tersebut bagi menanganinya.

Apa yang menarik tentang filem ini adalah pengarah mempunyai pandangannya tersendiri dalam visualisasi zombi dimana zombi hanya akan menyerang manusia yang mempunyai tubuh badan yang sihat dan tidak menyerang jika seseorang itu mempunyai penyakit kronik seperti kanser atau penyakit lain yang boleh membawa maut.

Contracted

 


Filem "Contracted" arahan Eric England ini juga boleh dikatakan sebuah filem zombi yang menampilkan jalan cerita yang berbeza dengan filem-filem zombi lain. Dibintangi oleh Najarra Townsend, Caroline Williams, Alice Macdonald dan ramai lagi, "Contracted" memaparkan bagaimana seorang wanita dijangkiti virus zombi selepas melakukan persetubuhan dengan seorang lelaki tidak dikenali.

Ia bermula apabila Samantha pergi ke sebuah parti dan berkenalan dengan seorang lelaki sebelum mereka melakukan persetubuhan. Pada keesokan harinya dia merasakan dirinya mula menunjukkan simpton-simpton pelik sehingga menggangu tumpuannya ketika bekerja. Selepas mendapatkan rawatan perubatan dia dikatakan telah dijangkiti penyakit kelamin hasil persetubuhan dengan lelaki tidak dikenali itu. Namun lama-kelamaan perubahan ketara mula berlaku kepadanya apabila tubuhnya mula mereput seperti mayat.

"Contracted" bukanlah sebuah filem bajet besar, namun ia tidak menghalangnya untuk mencipta kejayaan apabila ia ditayangkan di tiga festival filem iaitu Festival Filem Antarabangsa Chicago, Festival Filem SITGES dan Festival Filem Seram New York City.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Resident Evil: Retribution (13 September 2012)
ZOMBIELAND (10 Disember 2009)
Warm Bodies (14 Mac 2013)
World War Z (20 Jun 2013)
Contracted (5 Jun 2014)





Ticket Pricing Guide