Rencana
Filem menarik sempena cuti Tahun Baru Cina


Tarikh disiarkan: 19 Januari 2016


Filem manakah menjadi pilihan anda?


Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan kaum, dan perbezaan budaya dan adat resam ini menjadikan negara ini salah sebuah negara paling unik di dunia.

Menariknya, apabila tiba musim perayaan tidak kiralah perayaan bangsa mana, pasti seluruh rakyat akan menyambutnya bersama-sama keluarga tersayang, saudara-mara dan sahabat andai.

Pada 8 dan 9 Februari ini adalah perayaan Tahun Baru Cina yang mana seluruh Malaysia akan bercuti sekaligus memberi peluang kepada orang ramai untuk menyambutnya, atau jika bagi yang tidak menyambut perayaan ini, pastinya cuti akan digunakan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Memandangkan perayaan Tahun Baru Cina tahun ini akan disambut pada hari Isnin dan Selasa, maka rakyat Malaysia akan bercuti selama empat hari termasuk Sabtu dan Ahad. Oleh itu, bagi anda yang tidak menyambut tetapi tidak tahu apa yang mahu dilakukan semasa cuti ini, apa kata anda bawa keluarga atau rakan ke pawagam untuk menonton filem-filem menarik.

Jika anda tidak tahu mahu menonton filem apa, jangan risau Cinema Online akan menyenaraikan filem-filem menarik sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Special Force

 


Mulakan perayaan Tahun Baru dengan filem yang akan mencuit hati anda. Filem "Special Force" arahan Michael Chuah ini adalah filem aksi-komedi yang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk setempat yang telah menubuhkan pasukan rukun tetangga untuk menjaga pekan kecil mereka selepas kadar jenayah semakin meningkat.

Pasukan ini dianggotai pesara dan juga peminat filem aksi yang sering berimaginasi mereka beraksi sebagai wira seperti idola mereka. Nampaknya impian mereka menjadi kenyataan apabila seorang gadis misteri muncul meminta bantuan mereka. Filem yang dibintangi oleh Frankie Lee, KK Wong, Michael Chuah, Brendan Yuen dan ramai lagi pastinya akan membuatkan anda tidak kering gusi.

The Monkey King 2

 


Baru-baru ini, filem ini menjadi viral di Malaysia apabila papan iklan yang memaparkan poster filem ini telah membuang salah satu karakter khinzir dalam filem telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen. Filem sekuel kepada "The Monkey King" pada tahun 2014 arahan Soi Cheang kali ini adalah adaptasi daripada beberapa bab dalam novel klasik nukilan Wu Cheng berjudul "Journey to the West".

Untuk filem kedua ini, menyaksikan Aaron Kwok yang akan menggantikan Donnie Yen sebagai watak utama Sun Wukong dan turut dibintangi oleh Gong Li, Feng Shaofeng, Xiao Shenyang, Chung Him Law dan Kelly Chen. Peminat-peminat Sun Wukong pastinya tidak sabar menanti tayangan filem kedua ini yang akan akan menyaksikan Sun Wukong bertarung dengan syaitan bernama Baigujing.

From Vegas To Macau 3

 


Filem ketiga "From Vegas To Macau 3" arahan Wong Jing kali ini mengambil tempat ketika majlis perkahwinan anak perempuan Ken di sebuah hotel di Macau. Rakan baik Ken, Vic dan Mark turut hadir pada majlis itu. Bagaimanapun ketika majlis berlangsung, Mark menerima panggilan telefon daripada rakannya Michael Chan yang memberi amaran supaya berjaga-jaga kerana seorang individu misteri telah mengupah pembunuh upahan untuk membunuh Ken dan Mark. Berikutan itu, mereka terpaksa melakukan misi untuk memburu dalang yang melibatkan mereka dalam rancangan jahatnya itu.

Bagi peminat setia filem aksi-komedi ini pastinya tidak sabar untuk menyaksikan Chow Yun-Fat, Andy Lau, Nick Cheung, Jack Cheung dan Carina Lau kembali beraksi. Selain padat dengan aksi, filem ini pastinya akan membuat anda tidak kering gusi dengan komedi yang dipaparkan sama seperti dua filem terdahulu.

Let's Eat

 


Apabila musim perayaan antara perkara yang paling menjadi tumpuan pastinya adalah makanan. Jadi meriahkan suasana musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini dengan menonton filem "Let's Eat" arahan Chapman To ini. Filem komedi ini mengisahkan tentang ketua cef Ah Yong Café yang tidak bersependapat dengan anak perempuan pemilik kafe berkenaan Rosemary. Apabila masalah mula timbul di tempat kerja mereka, Dai Hung dan Rosemary terpaksa mengenepikan perbezaan mereka untuk menyelamatkan kafe. Dibarisi pelakon hebat seperti Chapman To, Aimee Chan, C-Kwan dan Lo Hoi-pang, filem ini pasti akan membuatkan anda tidak kering gusi.

The Mermaid

 


Jika anda seorang peminat tegar karya Stephen Chow, filem "The Mermaid" adalah filem untuk anda. Stephen Chow tampil dengan filem komedi-fantasi yang mana ia mengisahkan tentang seorang profesor yang diselamatkan oleh ikan duyung yang telah jatuh cinta pada ikan duyung itu. Apa kesudahannya? Sama-sama kita saksikan nanti.

Ia dibintangi oleh Deng Chao, Show Luo, Kitty Zhang dan Lin Yun. Berdasarkan treler yang diriliskan baru-baru ini, nampaknya karya terbaru Stephen Chow ini pastinya akan membuatkan penonton tertarik.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Special Forces (Mandarin) (4 Februari 2016)
Special Forces (23 Februari 2012)
The Monkey King 2 (Kantonis) (5 Februari 2016)
From Vegas To Macau 3 (Kantonis) (5 Februari 2016)
Let's Eat (Kantonis) (4 Februari 2016)
The Mermaid (Kantonis) (8 Februari 2016)





Ticket Pricing Guide