Rencana
Filem tempatan harumkan nama Malaysia di persada antarabangsa


Tarikh disiarkan: 8 Februari 2016


Filem manakah kegemaran anda?

Industri perfileman tempatan tidaklah besar mana pun jika hendak dibandingkan dengan negara-negara seperti Thailand, Indonesia, China, Hong Kong, India mahu pun Hollywood. Namun ia bukan alasan untuk pembikin-pembikin filem tempatan untuk tidak cuba menembusi pasaran luar.

Kita dapat menyaksikan sejak beberapa tahun lalu kualiti filem tempatan semakin meningkat dan tidak kurangnya juga yang tidak berkualiti.

Namun bukan filem yang tidak berkualiti yang menjadi tumpuan dalam artikel ini, tetapi filem yang berkualiti.

Terbaru filem "OlaBola" arahan Chiu Keng Guan yang mengambil inspirasi dari kisah sebenar zaman kegemilangan pasukan bola sepak Malaysia dalam usaha menyertai Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 telah mencetus fenomenanya tersendiri.

Ia bukan sahaja berjaya mendapat kutipan sebanyak RM2.5 juta selepas empat hari tayangannya, malah kegembiraan pihak produksi filem itu berganda apabila filem itu juga telah dijemput untuk ditayangkan di Festival Filem Taipei Golden Horse Fantastic (FFTGHT) Taiwan pada 8 hingga 17 April depan.

Ini bukan kali pertama filem tempatan ditayangkan di luar negara, malah ada juga filem tempatan yang berjaya memenangi anugerah atau pengiktirafan di atas uniknya karya mereka.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem tempatan yang telah berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Hikayat Merong Mahawangsa

Filem "Hikayat Merong Mahawangsa" (HMM) arahan Yusry Abdul Halim ini adalah sebuah filem bersejarah Melayu yang diterbitkan oleh KRU Studios untuk pasaran antarabangsa dengan tujuan untuk memperkenalkan sejarah dan kebudayaan Melayu. Filem epik ini meriwayatkan sejarah terawal kerajaan Kedah. Ia dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, Datin Umie Aida, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Ketika HMM dihasilkan ia merupakan filem tempatan kedua termahal dalam sejarah perfileman sewaktu dikeluarkan iaitu RM8 juta, di belakang filem "Puteri Gunung Ledang" yang menelan belanja RM16.6 juta. Hasil daripada itu, filem HMM telah berjaya merangkul lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-24 termasuk kategori Filem Terbaik.

Bunohan

Filem arahan Dain Said ini merupakan sebuah filem genre drama aksi yang menampilkan barisan pelakon-pelakon lelaki sebagai peneraju iaitu Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Nam Ron. Ia mengisahkan tentang tiga adik beradik yang terasing – Adil, Bakar dan Ilham serta bapa mereka yang sakit. Selepas melarikan diri daripada pertarungan maut, Adil 'Bunga Lalang' seorang peninju tomoi terpaksa melarikan diri daripada pembunuh upahan bernama Ilham. Kejar mengejar telah membawa mereka ke kampung bernama Bunohan. Di situ ketiga-tiga mereka bertembung dan ini telah membangkitkan kisah silam Pok Eng sebagai ayah kepada mereka. Masing-masing bergelut dengan ketenangan yang tidak tercapai.

Walaupun tidak mendapat sambutan ketika tayangannya di Malaysia, namun filem "Bunohan" ini menarik minat banyak pihak dari luar negara apabila ia sering mendapat jemputan tayangan di festiva-festival filem antarabangsa antaranya Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011 dan dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia ke anugerah Oscar (Anugerah Akademi) 2012, namun tidak berjaya tercalon.

Walaubagaimanapun, filem ini berjaya berjaya tercalon dalam anugerah luar negara iaitu Anugerah Skrin Asia Pasifik 2012 serta merangkul banyak anugerah termasuk lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-25 termasuk Filem Terbaik untuk tahun itu.

The Journey

Filem romantik drama arahan Chiu Keng Guan ini telah mencetuskan fenomena tersendiri apabila ia ditayangkan pada 30 Januari 2014. Malah ia mencipta sejarah apabila menjadi filem bukan Bahasa Melayu pertama mendominasi jumlah kutipan filem sebanyak RM17.16 juta sebelum ia dipintas oleh filem "Polis Evo". Filem yang dibintangi oleh Ben Andrew Pfeifer, Frankie Lee Sai Peng dan Joanne Yew Hong Im ini mengisahkan tentang seorang bapa yang membenarkan anak perempuannya untuk mengahwini seorang pemuda Inggeris dengan satu syarat, iaitu pemuda tersebut harus mengikutinya mengelilingi seluruh negara untuk menyerahkan jemputan perkahwinan mereka.

Kejayaan filem "The Journey" ini telah melayakkan filem itu tercalon di Festival Filem Udine Far East ke-16, Festival Filem Antarabangsa Beijing 2014 dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015. Walau bagaimanapun filem ini berjaya merangkul banyak anugerah tempatan termasuk empat anugerah di Festival Filem Malaysia ke-27 termasuk anugerah Filem Bukan Dalam Bahasa Melayu Terbaik.

Lelaki Harapan Dunia (Man Who Save The World)

Filem "Lelaki Harapan Dunia" (LHD) atau judulnya dalam Bahasa Inggeris "Man Who Save The World" ini merupakan filem pertama Malaysia yang berkolaborasi dengan banyak pihak seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Torino Film Lab (Itali), Hubert Bals Fund (Belanda), Netherlands Film Fund, World Cinema Fund (Jerman), Visions Sud Est (Switzerland), Fondation Groupama Gan pour le Cinema – Cinefondantion (Perancis), Prince Feature Film Program dan the Doris Duke Foundation (AS).

Bagaimanapun ketika tayangannya dia Malaysia, filem LHD menjadi kontroversi apabila ada pihak yang mendakwa filem arahan Liew Seng Tat ini seperti menyindir orang Melayu sekaligus mecacatkan kutipan filem itu apabila hanya berjaya mengutip RM149 ribu sahaja. Filem drama komedi ini berkisah tentang sebuah kampung yang mana berlaku kekacauan akibat salah faham penduduk kampung yang menyangka sebuah rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dihuni oleh 'hantu' sedangkan terdapat seorang pendatang asing Arfika yang menghuni secara sembunyi.

Disebalik kontroversi yang melanda filem LHD ini, tetapi ia tidak menghalangnya untuk melakar sejarah apabila telah berjaya tercalon dalam banyak festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Toronton 2014, Festival Filem Antarabangsa Vancouver ke-33, Festival Filem Antarabangsa Busan ke-19, Festival Filem Antarabangsa Locarno 2014, Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-25, Festival Filem Antarabangsa Nara ke-7, Festival Filem Taipei Golden Horse 2014, Festival Filem Antarabangsa Kolkata ke-20, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2015 dan Festival Filem Antarabangsa Goteborg 2015.

Selain itu, LHD juga cemerlang dalam anugerah tempatan apabila berjaya mengungguli Festival Filem Malaysia ke-27 dengan merangkul lima anugerah dari dua belas pencalonan termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Terbaik Dari Langit

Filem arahan pengarah muda berbakat besar Nik Amir Mustapha ini telah berjaya melonjakkan namanya di dalam industri perfileman tempatan. Filem sci-fi/fantasi dan komedi-drama yang dibintangi oleh Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Shahrizal, Nadiya Nisaa, Sharifah Amani dan Siti Saleha ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang merancang sebuah pengembaraan bersama empat rakannya untuk mencari kebenaran mengenai kisah UFO.

Ternyata sentuhan pengarah muda ini telah membuka mata dunia tentang filem dari Malaysia ini sehingga "Terbaik Dari Langit" berjaya tercalon dan memenangi anugerah di luar negara iaitu di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 apabila berjaya dinobat sebagai Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik daripada tujuh pencalonan, dan Sinematografi Terbaik di Festival Filem Hainan 2015.

Selain itu, filem arahan Nik Amir ini juga berjaya merangkul anugerah tiga anugerah dari tiga belas pencalonan di Festival Filem Malaysia ke- 27 termasuk Anugerah Khas Juri, Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide