Rencana
Filem tempatan yang dihantar bertanding di Anugerah Akademi


Tarikh disiarkan: 16 Februari 2016


Adakah anda sudah menonton ketiga-tiga filem hebat ini?

Rakyat di Malaysia boleh dikatakan bertuah kerana kita mempunyai banyak pilihan filem-filem tempatan yang disajikan.

Pada satu ketika, industri perfileman tempatan menjadi 'meletup' apabila banyak filem-filem tempatan berjaya mendapat kutipan berjuta-juta.

Ini merupakan satu perkembangan positif buat industri perfileman tempatan yang mana sebelum itu dilihat kurang menyerlah. Mengambil kesempatan daripada itu, banyak penerbit-penerbit filem berlumba-lumba menghasilkan filem.

Malangnya, berikutan sikap mahu berlumba-lumba menghasilkan filem, mereka telah lupa tentang satu perkara mengenai karya filem iaitu 'kualiti'.

Perkara ini telah menyebabkan industri perfileman jatuh merudum dengan mendadak sekali sejak dua tiga tahun ini apabila terlampau banyak filem tempatan ditayangkan setiap bulan.

Ini membuatkan penonton lebih bersikap selektif terhadap pemilihan filem yang ingin ditonton berikutan ada filem-filem tempatan boleh diibaratkan seperti 'sampah', atau penerbit seperti 'syok sendiri' dalam menghasilkan filem.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak filem tempatan, terdapat beberapa buah filem yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa sekaligus mengharumkan nama negara.

Malah ada juga filem tempatan yang dihantar untuk menyertai anugerah berprestij dunia, iaitu Anugerah Akademi atau Oscars.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa filem tempatan yang dihantar bagaimanapun gagal untuk menempatkan diri ke lima filem terakhir yang dinominasikan untuk kategori Best Foreign Film.

Puteri Gunung Ledang (2004)

Filem arahan Saw Teong Hin ini merupakan filem yang dibintangi pelakon hebat seperti M. Nasir dan Tiara Jacquelina sebagai peneraju merupakan filem yang menelan bajet tertinggi dalam sejarah pengeluaran filem Malaysia ketika itu. Ia mengisahkan tentang Empayar Majapahit dilanda gawat setelah diserang oleh Putera Demak dari Jawa. Mahu mengelak dari kejadian menjadi teruk, Raja Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningrat menawarkan Demak berkahwin dengan adiknya, Gustri Putri Retno Adjeng Dumilah. Tanpa pengetahuannya, Gusti Putri telah melarikan diri dengan berlayar ke Gunung Ledang untuk bersama cinta hatinya Hang Tuah.

Ketika filem ini ditayangkan, ia telah berjaya membuka mata banyak pihak sehingga filem tersebut menyertai banyak festival filem termasuk Festival Filem Antarabangsa Bangkok 2005, Festival Filem Antarabangsa Venice ke-61 2004, Festival Filem Antarabangsa San Francisco ke-48 2005. Selain cemerlang di luar negara filem, "Puteri Gunung Ledang" turut cemerlang di negara sendiri apabila berjaya merangkul beberapa anugerah besar di Festival Filem Malaysia ke-18 dengan Pengarah Terbaik (Saw Teong Hin), Lakon Layar Terbaik (Mamat Khalid & Saw Teong Hin), Skor Muzik Terbaik (M. Nasir & Tan Yan Wei), Penataan Seni Terbaik dan Anugerah Khas Juri bagi 'Filem inovatif & berinspirasi'.

Pada masa sama, pelakon Tiara Jacquelina turut berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-50 pada tahun 2005.

Malah filem ini juga telah berjaya mencapai kedudukan ke-49 dalam senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik di Anugerah Akademi Oscar pada tahun 2004.

Bunohan (2012)

Filem "Bunohan" arahan Dain Said ini adalah sebuah filem genre aksi drama yang menampilkan kelainan dari filem-filem aksi tempatan lain, sekaligus menjadikannya ia sebuah filem tempatan yang sangat menarik sehingga mendapat perhatian orang luar negara. Filem yang menampilkan barisan pelakon mantap seperti Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Zahiril Adzim, Wan Hanafi Su dan ramai lagi ini mengisahkan tentang tiga adik beradik yang terasing – Adil, Bakar dan Ilham, serta bapa mereka yang sakit. Selepas melarikan diri daripada pertarungan maut, Adil 'Bunga Lalang' seorang peninju tomoi terpaksa melarikan diri daripada pembunuh upahan bernama Ilham. Kejar mengejar telah membawa mereka ke kampung bernama Bunohan. Di situ, ketiga-tiga mereka bertembung dan ini telah membangkitkan kisah silam Pok Eng sebagai ayah kepada mereka. Masing-masing bergelut dengan ketenangan yang tidak tercapai.

Biarpun tidak mendapat sambutan di negara sendiri, filem "Bunohan" ini mencipta sejarahnya tersendiri apabila tercalon dalam anugerah luar negara iaitu Anugerah Skrin Asia Pasifik 2012 dan termasuk lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-25. Namun, kejayaan utamanya adalah dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia ke Anugerah Akademi Oscar 2012 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik walaupun gagal melepasi lima terakhir.

Lelaki Harapan Dunia (2014)

Filem "Lelaki Harapan Dunia" atau judulnya dalam bahasa Inggeris "Men Who Save The World" arahan Liew Seng Tat ini merupakan filem paling kontroversi di antara ketiga-tiga filem dan merupakan filem Malaysia yang pertama yang berkolaborasi dengan banyak pihak seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Torino Film Lab (Itali), Hubert Bals Fund (Belanda), Netherlands Film Fund, World Cinema Fund (Jerman), Visions Sud Est (Switzerland), Fondation Groupama Gan pour le Cinema – Cinefondantion (Perancis), Prince Feature Film Program dan the Doris Duke Foundation (AS).

Sejak tayangan perdananya di Malaysia, ia telah mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mendakwa filem arahan Liew Seng Tat seolah-olah menyindir orang Melayu dengan memaparkan kebodohan penduduk di sebuah perkampungan Melayu. Benar atau tidak, ia telah menyebabkan kutipan filem tersebut terbantut apabila berjaya mengutip tidak sampai RM150 ribu. Filem drama komedi ini berkisah tentang sebuah kampong, yang mana berlaku kekacauan akibat salah faham penduduk kampung yang menyangka sebuah rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dihuni oleh 'hantu', sedangkan terdapat seorang pendatang asing Arfika yang menghuni secara sembunyi.

Walaupun dikritik oleh segelintir masyarakat tempatan, namun ia tidak menghalang "Lelaki Harapan Dunia" untuk mencipta kejayaan apabila ia berjaya tercalon dalam festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem Antarabangsa Toronto 2014, Festival Filem Antarabangsa Vancouver ke-33, Festival Filem Antarabangsa Busan ke-19, Festival Filem Antarabangsa Locarno 2014, Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-25, Festival Filem Antarabangsa Nara ke-7, Festival Filem Taipei Golden Horse 2014, Festival Filem Antarabangsa Kolkata ke-20, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2015 dan Festival Filem Antarabangsa Goteborg 2015. Selain itu, "Lelaki Harapan Dunia" juga cemerlang dalam anugerah tempatan apabila berjaya mengungguli Festival Filem Malaysia ke-27 dengan merangkul lima anugerah dari dua belas pencalonan termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Kejayaan yang dicipta oleh filem ini telah melayakkan mereka mewakili Malaysia untuk bertanding untuk Anugerah Akademi selepas "Puteri Gunung Ledang" dan "Bunohan", tetapi sekali lagi tidak berjaya melepasi nominasi lima terakhir.

Diharap selepas ini, pembikin-pembikin filem tempatan akan terus berusaha menghasilkan sebuah karya berkualiti di mata dunia sekaligus mampu bersaing dengan filem antarabangsa dan tidak mustahil untuk berjaya layak ke top 5 Anugerah Akademi pada masa akan datang. Sama-sama kita berdoa agar ia menjadi kenyataan!

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Bunohan (Melayu) (8 Mac 2012)
Lelaki Harapan Dunia (Melayu) (27 November 2014)