Rencana
Suku ketiga 2016, industri perfileman tempatan masih 'lemah' ?


Tarikh disiarkan: 16 Ogos 2016


Adakah kutipan filem tempatan untuk suku keempat akan meningkat atau terus menjunam?

Awal tahun 2016 menyaksikan industri perfileman tempatan seperti mendapat sinar harapan baru apabila filem terbitan Astro Shaw, "Ola Bola", mencipta kejutan dengan kutipan lebih RM15.85 juta dan "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit" berjaya mengutip lebih RM4.39 juta pada Januari lalu.

Kecemerlangan filem tempatan kemudian diteruskan lagi dengan filem "Munafik" arahan Syamsul Yusof pada bulan Februari apabila ia berjaya mencetuskan fenomena dan ia diterjermahkan menerusi kutipan lebih RM17 juta.

Selepas kejayaan besar pada dua bulan pertama, kita dikejutkan lagi dengan kecermerlangan filem animasi, "Boboiboy The Movie" terbitan Animonsta Studio yang turut mendapat kutipan pecah panggung RM15.73 juta pada bulan Mac, dan menyaksikan suku pertama tahun 2016 industri perfileman tempatan tampak memberangsangkan.

Malah kutipan filem pada suku ketiga tahun 2016 (tarikh akhir dikemaskini di laman FINAS 3 Ogos) berjumlah lebih RM58.63 juta (24 buah filem) berbanding sekitar RM52.8 juta (80 buah filem) pada tahun 2015.

Jika dilihat angka kutipan keseluruhannya sememangnya ada peningkatan mendadak, tetapi sekiranya jika hendak mengatakan bahawa industri perfileman tempatan sudah berada pada zon selesa atau selamat, anda salah!

Pasti anda tertanya-tanya mengapa salah? Bukankah kita sudah mengutip lebih RM58.63 juta dan jumlah tersebut akan terus meningkat?

Peningkatan jumlah kutipan meningkat pada tahun ini hanya kerana beberapa buah filem yang berjaya mendapat kutipan belasan juta dan ini tidak mencerminkan keadaan sebenar keseluruhan kutipan filem pada tahun ini.

Mengikut pemerhatian Cinema Online, kutipan filem sehingga suku ketiga tahun ini secara puratanya dilihat semakin teruk dan membimbangkan. Perkara ini juga diakui oleh beberapa penerbit filem besar tempatan.

Secara matematiknya, jika kutipan empat buah filem pecah panggung ditolak dengan jumlah keseluruhan pada suku ketiga ini, jumlah kutipan 20 buah filem lain hanyalah sekitar RM5.6 juta bermakna secara purata ia sangat rendah dan membimbangkan.

Oleh itu, di sini kami ingin senaraikan lima kutipan filem tertinggi dan lima kutipan filem terendah pada suku ketiga 2016.

5 Filem dengan kutipan tertinggi:

1. Munafik – RM17,042,291.38
2. Ola Bola – RM15,853,600.87
3. Boboiboy The Movie – RM15,739,768.98
4. Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit – RM4,392,141.80
5. Langit Cinta – RM567,149.30

5 Filem dengan kutipan terendah:

1. Cendol: Kepada Allah Aku Berserah – RM1,937.38
2. It's The Moment Yang Arif – RM4,678.36
3. Judi-Judi King Boss – RM6,316.80
4. Ais Kosong – RM13,103.21
5. Kastil Tua – RM35,523.43

Berdasarkan 10 buah filem di atas ini, dapat dirumuskan bahawa keadaan industri perfileman tempatan sebenarnya masih lagi merosot secara umumnya, dan ini kerana penonton pada masa kini sudah bijak menilai sesebuah karya tersebut samada bagus atau tidak.

Ditambah dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi membuatkan penonton lebih berhati-hati untuk memilih dan menonton filem di pawagam.

Malah, dengan statistik terbaru ini juga, adalah peringatan kepada penerbit-penerbit filem supaya terus mempertingkatkan kualiti filem dan bukannya kuantiti, dan percayalah sekiranya kita mampu menghasilkan filem-filem berkualiti pastinya ia akan mendapat sambutan di dalam dan juga di luar negara.

Secara tidak langsung ia akan memantapkan industri perfileman tempatan dan membuka mata dunia luar terhadap karya-karya terbitan tempatan.

Akhir kata dari kami di Cinema Online, majulah filem demi negara!

Penulis: Ashraf Nasser








Ticket Pricing Guide