Rencana
Kisah penjenayah terkenal yang diangkat ke layar perak!


Tarikh disiarkan: 14 Mei 2016


Pernahkah anda menonton filem-filem ini?

Filem boleh dikatakan tidak mempunyai batasan kerana ia mempunyai banyak genre seperti aksi, romantik, suspen, seram dan banyak lagi, malah dahulu lagi industri perfileman dilihat banyak me nghasilkan filem-filem yang diadaptasi samada dari novel, buku sehinggalah sejarah ke layar perak.

Walaupun terdapat banyak filem-filem berdasarkan kisah sebenar mengenai tokoh atau wira, namun ada juga segelintir pembikin filem yang lebih berminat untuk menghasilkan filem yang berkisarkan kehidupan penjenayah terkenal.

Percaya atau tidak filem-filem yang mengangkat kisah penjenayah ini lebih menarik dan mendapat sambutan daripada penonton yang rata-rata mempunyai perasaan ingin tahu bagaimana mereka ini menjalani kehidupan seharian mereka sebagai penjenayah.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan 10 buah filem yang diangkat daripada kisah sebenar penjenayah terkenal sepanjang zaman.

The Wolf of The Wall Street (2013)

Filem pecah panggung yang dibintangi Leonardo DiCaprio ini memaparkan tentang kehidupan seorang broker saham bernama Jordan Belfort yang hidup dalam kemewahan, suka berparti dan melakukan pelbagai jenayah kolar putih seperti penipuan saham, penggubahan wang haram, merasuah dan banyak lagi. Bagaimana seperti pepatah 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga' dan itulah yang berlaku kepada Jordan apabila dia ditangkap dan dipenjara selama 22 bulan.

Monster (2003)

Filem biopik ini mengisahkan tentang Aileen Wuornos yang dilakonkan oleh Charlize Theron ini membawa watak sebagai seorang pelacur. Dia melakukan jenayah rompak dan membunuh setiap lelaki yang melanggannya dengan mendakwa setiap daripada mereka cuba merogolnya. Selepas membunuh setiap lelaki, Aileen akan berbelanja mewah menggunakan wang yang dirompak. Nasib Aileen kemudian berubah apabila dia ditangkap oleh polis ketika berada di sebuah bar. Ketika dalam tahanan, dia mengakui melakukan pembunuhan dan telah dijatuhkan hukuman mati. Pada 9 Oktober 2002, Aileen telah menjalani hukuman mati dengan suntikan maut.

American Gangster (2007)

Filem yang dibintangi pelakon hebat Denzel Washington sebagai ketua sindiket dadah heroin terbesar di Amerika Syarikat. Dalam filem ini memaparkan bagaimana Frank Lucas yang pada mula hanya orang kanan seorang gangster membina empayarnya sendiri dengan menyeludup dadah daripada Vietnam ke Amerika Syarikat dalam keranda mayat askar-askar AS yang maut di medan perang Vietnam ketika itu dengan merasuah pegawai-pegawai askar AS. Frank bagaimanapun telah ditangkap dan telah dijatuhi hukuman penjara selama 71 tahun, namun hanya menjalani hukuman selama 15 tahun selepas dia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa mendedahkan identiti pegawai-pegawai penguatkuasa dan kerajaan yang menerima rasuah.

Goodfellas (1990)

Kisah klasik ini memaparkan tentang kehidupan Henry Hill, tetapi gangster New York (dilakonkan oleh Ray Liotta) sebenarnya berada dalam keluarga jenayah Lucchese. Ia menceritakan bagaimana Henry terbabit dengan dengan rompakan Air France dan pembunuhan Billy Bats. Dia kemudian telah mengambil keputusan untuk keluar dari keluarga jenayah dengan memasuki Program Perlindungan Saksi dengan keluarganya, namun malangnya ia hanya bertahan untuk beberapa tahun sahaja apabila dia dikeluarkan dari program tersebut selepas melakukan jenayah. Henry meninggal dunia pada tahun 2012.

Catch Me If You Can (2002)

Sebuah lagi filem penjenayah yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio. Namun dalam filem dia membawa watak sebagai Frank Abagnale iaitu seorang penipu yang hidup mewah dengan memalsukan cek dengan menyamar sebagai seorang juruterbang, doktor dan penguam. Namun, dia telah berjaya diberkas oleh seorang anggota FBI. Bagaimanapun, dalam kehidupan sebenar Abagnale akhirnya dilantik untuk menjadi penasihat FBI bagi menghalang kegiatan jenayah seperti yang dilakukannya.

Blow (2001)

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama George Jung yang dilakonkan oleh Johnny Depp yang merupakan seorang pengedar dadah pada tahun 1970an. George yang pada mula mengedar dadah jenis marijuana telah beralih kepada penyeludupan dadah jenis kokain dari negara Latin. Dalam filem ini turut memaparkan kehidupan George dengan ketua-ketua mafia terkenal seperti Pablo Escobar, Lehder Rivas dan Medellin Cartel.

You Only Live Once (1937)

Siapa yang tidak mengenali pasangan penjenayah paling terkenal di Amerika Syarikat Bonnie dan Clyde sekitar 1931 hingga 1934. Kedua-dua mereka ini merupakan pasangan kekasih yang telah melakukan rompakan di lebih 15 bank, premis perniagaan dan bergerak bersama kumpulannya yang dikenali sebagai Barrow Gang yang dianggotai oleh Buck Barrow, Blanche Barrow, Raymond Hamilton, W D Jones, Joe Paler, Ralph Fults dan Henry Methvin.

Selain merompak, mereka juga dilaporkan telah membunuh 13 orang termasuk sembilan anggota polis. Bagaimanapun nasib pasangan kekasih ini tidak berpanjangan apabila mereka telah diserang hendap oleh pasukan polis apabila ditembak berpuluh-puluh das ketika sedang memandu di Louisiana.

Psycho (1960)

Filem arahan Alfred Hitchcock ini adalah sebuah naskhah seram-psikologi yang diangkat dari kisah sebenar pembunuhan di Wisconsin. Ia dibintang oleh Anthony Perkins, Vera Miles, John Gavin dan Janet Leigh. Ia memaparkan tentang seorang pembunuh bersiri wanita bernama Ed Gein. Selain membunuh, dia juga akan sering melawat ke tanah perkuburan dan akan menggali mayat yang menyerupai ibunya. 

Pain & Gain

Kesemua filem-filem dalam senarai ini kebanyakannya mempunyai satu motif yang sama iaitu untuk menjadi kaya dan mempunyai banyak wang. Dalam filem "Pain & Gain" mengisahkan tentang tiga sahabat yang merupakan ahli bina badan di Florida lakonan Mark Wahlberg, Dwayne Johnson dan Anthony Mackie yang ingin menjadi kaya dengan melakukan penculikan, peras ugut, mendera dan membunuh beberapa mangsa. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka berjaya ditangkap dan dua daripada mereka telah dijatuhi hukuman mati manakala seorang lagi dipenjara selama 15 tahun, namun hanya menjalani hukuman penjara selama 7 tahun selepas dia membuat pengakuan.

American Hustle (2013)

Filem jenayah arahan David O. Russell ini memaparkan kisah mengenai operasi Abscam yang dilakukan sekitar lewat 1970an ke awal 1980an yang mana pihak polis FBI telah menggunakan penipu profesional Mel Weinberg untuk membongkar ahli politik yang menerima rasuh, dengan menyamar mereka sebagai orang Arab dalam usaha menangkap mereka ketika menerima wang.

Ia menampilkan barisan pelakon hebat seperti Christian Bale, Amy Adams, Bradley Cooper, Jeremy Renner dan Jennifer Lawrence.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
The Wolf Of Wall Street (Not Showing)
American Hustle (27 Februari 2014)
Pain & Gain (Not Showing)





Ticket Pricing Guide