Rencana
MDEC memacu industri animasi tempatan


Tarikh disiarkan: 16 Julai 2016


En Hasnul Samsudin juga merupakan seorang peminat dan pengumpul 'action figures'.

Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd atau MDEC (pernah dikenali sebagai Multimedia Development Corporation Sdn Bhd) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mana telah dipertanggungjawabkan untuk membangun, mengatur dan mempromosikan ekonomi digital, informasi dan industri teknologi komunikasi (ICT) di Malaysia.

Dalam MDEC, terdapat cabang yang memberi tumpuan khas kepada pembikinan animasi iaitu Pusat Kandungan Kreatif Animasi Malaysia (MAC3) yang ditubuhkan di bawah inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC).

Agensi ini ditubuhkan bagi menggalakkan lagi pembangunan kandungan kreatif di Malaysia. Bagi menyokong dan memangkinkan pertumbuhan industri kreatif Malaysia, MAC3 telah merancang pelbagai program khusus dalam bidang ini.

Baru-baru ini, Cinema Online berpeluang untuk menemui Pengarah Kreatif MDEC, En Hasnul Hadi Samsudin untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai MDEC dan bagaimana mereka membantu bakat-bakat baru animasi untuk bertapak.

Hasnul berkata pihaknya bertanggungjawab dalam membimbing syarikat-syarikat berstatus MSC untuk terlibat dalam kandungan kreatif termasuk animasi, permainan video, media baru, dan syarikat teknologi berkaitan dengan industri kreatif.

Selain itu, MDEC juga membantu perniagaan tempatan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan mencari pelabur dari luar negara, pembangunan, mencungkil bakat-bakat baru dan banyak lagi.

Pelbagai insentif dan kemudahan disediakan oleh MDEC

Menurut Hasnul, pihak kerajaan sememangnya memberi sokongan penuh terhadap pembangunan industri kreatif animasi dan ia diterjemahkan dengan peruntukan dana sebanyak RM100 juta sejak lima tahun lalu (iaitu RM20 juta setahun) yang mana peruntukan dana itu digunakan untuk membantu bakat baru dalam animasi tempatan untuk bertapak.

Katanya, MDEC kini turut berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) yang mana ia turut termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Oleh itu, kini pemberian telah diperbaiki yang mana mereka yang ingin memohon dana untuk memulakan syarikat animasi ini perlu membuat perbentangan di Content Pitching Centre, Platinum Sentral di mana ia akan dinilai oleh komuniti di bawah KKM sebelum diberi dana.


Antara animasi-animasi tempatan yang mencipta kejayaan hasil bantuan dari MDEC.

Kerajaan juga telah menyediakan dana pembangunan atau pun dana IPCC (Intellectual Creator Challenge) untuk menggalakan studio-studio animasi tempatan menghasilkan IP (Intellectual Properties) sendiri dengan suntikan dana sekitar RM50,000 – RM60,000.

Selain dana IPCC, studio-studio animasi tempatan ini juga mendapat bantuan dari segi subsidi, ruang pejabat, kemudahan 'rendering' yang terletak di Cyberjaya yang mana sehingga kini lebih 70 buah studio animasi telah mendapat bantuan daripada MDEC.

Antara studio-studio animasi yang mendapat bantuan daripada MDEC termasuk Les' Copaque, Animonsta Studio, Giggle Garage, Lil Critter Workshop, Wau Animation dan banyak lagi.

Kemudahan ini disediakan bagi menyokong penerbitan kandungan berdefinisi tinggi, berkualiti tinggi dan stereoskopik.

Pada masa sama, MDEC turut menganjur atau menggalakkan studio-studio animasi tempatan mengambil bahagian dalam program anjuran MDEC sendiri atau program luar negara. Malah, MDEC juga memberi subsidi yuran penyertaan bagi program anjuran luar negara.

MDEC perkenal langkah baru yang lebih telus

Sebelum ini, sebanyak 90 peratus dana diberikan kepada studio-studio animasi untuk menghasilkan produk mereka sendiri. Bagaimanapun kemudahan ini telah disalah gunakan oleh segelintir pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan dengan melakukan kerja separuh jalan dan hasilnya sangat tidak memuaskan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merugikan wang kerajaan, malah ia merosakkan imej industri animasi tempatan.

Oleh itu MDEC telah mengambil langkah baru iaitu dengan mengurangkan pemberian dana dari 90 peratus kepada 40 peratus sahaja kepada studio animasi yang memohon dana.

Dengan langkah baru ini, ia dapat menjamin pemohon betul-betul serius dalam menghasilkan karya mereka kerana mereka perlu mencari baki dana daripada pelabur-pelabur lain, sekaligus menjamin karya-karya yang dihasilkan dapat ditayangkan dan berkualiti.

Bagaimanapun, Hasnul berkata pihak MDEC tidak lepas tangan begitu sahaja, tetapi pihaknya bertindak sebagai mentor kepada studio-studio animasi yang memerlukan bantuan untuk membimbing dalam menyiapkan karya mereka dan juga bantuan di bahagian 'client development'.

Tambah Hasnul lagi, pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu studio-studio animasi tempatan ini untuk membawa mereka ke hadapan.

Berikutan itu, MDEC kini mula menjalin kerjasama atau kolaborasi dengan pihak-pihak penyiar tempatan yang mana studio-studio animasi ini berpeluang untuk membentangkan idea masing-masing di hadapan orang industri (wakil pihak penyiar).

Sekiranya orang industri ini menunjukkan minat terhadap idea yang dibentangkan, mereka boleh berkolaborasi di mana orang industri ini akan bertindak sebagai pemberi dana.

Dengan langkah ini, studio animasi tidak perlu memikirkan soal mencari modal untuk menghasilkan karya terlebih dahulu sebelum menjualnya. Malah dengan langkah ini ia juga dapat mengurangkan risiko sesebuah studio animasi untuk gagal.

Pandangan terhadap masa depan industri animasi tempatan


Ditanya mengenai pandangannya terhadap industri animasi tempatan pada masa hadapan, Hasnul tidak berselindung apabila menyuarakan kebimbangannya berikutan kekurangan tenaga kreatif dalam industri animasi yang semakin pesat membangun.

Menurut Hasnul, dahulu masalah kekurangan tenaga kreatif ini berpunca daripada kekurangan institusi yang menawarkan jurusan dalam bidang animasi ini, tetapi sekarang ini mereka berdepan cabaran baru pula iaitu kekurangan kesedaran masyarakat terhadap industri animasi.

Walaupun kini semakin banyak kolej dan universiti menawarkan jurusan tersebut, namun jumlah pelajar baru yang mengambil jurusan tersebut menjadi semakin kurang.

Sekiranya masalah ini tidak dapat diatasi dengan segera, industri animasi tempatan bakal berdepan masalah besar berikutan permintaan terhadap animasi semakin meningkat tetapi tenaga kreatif semakin berkurangan.

Oleh itu, Hasnul berharap pihak luar terutamanya pihak media dapat mewar-warkan mengenai perkara ini termasuk menyeru ibu bapa di luar sana agar menggalakkan anak mereka menceburi bidang animasi ini yang menjanjikan peluang pekerjaan serta gaji yang stabil.

Justeru bukan sahaja ia dapat mengukuhkan industri animasi tempatan, malah dapat memperluaskan industri ke peringkat antarabangsa.

Penulis: Ashraf Nasser