Rencana
"Pekak" sebuah naskhah bersifat realiti!


Tarikh disiarkan: 28 Ogos 2016


"Pekak" boleh dikatakan antara salah sebuah filem terbaik tahun ini.

Tidak dapat dinafikan industri perfileman tempatan dilihat tidak berubah dan masih tidak menunjukkan peningkatan drastik walaupun terdapat beberapa buah filem yang berjaya mendapat kutipan belasan juta.

Ini kerana ia hanya mewakili kurang dari sepuluh peratus dari keseluruhan industri dan ini tidak sihat untuk perkembangan industri perfileman tempatan. Tetapi dari segi lain pula, industri dilihat mula melahirkan pengkarya-pengkarya hebat yang berani tampil dengan naskhah yang berbeza dan baru.

Terbaru, penonton bakal disajikan dengan sebuah filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures berjudul, "Pekak", yang mana ia telah mencipta sejarah tersendiri apabila filem ini telah mengadakan tayangan perdana di luar negara sebelum ia ditayangkan di sini.

"Pekak" mula mendapat perhatian dunia apabila ia ditayangkan di World Premieres Film Festival Philippines dan Marche du Film 2016.

Ia sebuah filem yang mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Uda yang cacat pendengaran terpaksa menjadi pengedar dadah demi menampung kos pembedahan telinganya. Dia kemudian telah bertemu dengan Dara yang merupakan seorang pelajar sekolah bermasalah dan dari situ telah berputik cinta di antara mereka.

Jika dari ringkasan sinopsis ini, mungkin anda akan mengatakan 'ia sebuah filem klise' tetapi anda salah! Ya, memang elemen romantik wujud dalam filem ini tetapi terdapat banyak isu-isu yang dikupas di dalam filem ini.

Sekiranya anda tidak yakin atau was-was lagi samada untuk tonton filem "Pekak" ini lagi, jom baca sebab-sebab anda perlu tonton filem ini!

Bukan sebuah naskhah 'klise'

Ya, sekiranya anda menyangka "Pekak" adalah sebuah lagi cerita romantik yang pernah ditayangkan sebelum ini anda sebenarnya salah. Elemen cinta disuntik dalam filem ini hanya sekadar 'kulit' sahaja kerana isinya adalah mesej-mesej yang ingin disampaikan menerusi filem. Banyak isu-isu yang dikupas di dalam filem ini jarang diangkat ke layar perak tetapi yang berlaku di sekeliling kita sebenarnya realiti dan bukannya rekaan semata-mata.

Sebuah karya yang berani!

Apa yang beraninya? Berani yang dimaksudkan dalam filem ini adalah tindakan pengarah Mohd Khairul Azri yang berani menampilkan babak-babak 'panas' yang dijangka akan menjadi perhatian penonton. Ini kerana dalam filem ini, penonton akan melihat sendiri bagaimana rupa dadah sebenarnya dan macam mana ia disalah gunakan oleh salah seorang watak dalam filem ini. Selain itu, penonton juga akan disajikan dengan babak rogol yang agak 'menyeramkan' serta beberapa lagi babak yang akan membuatkan anda tidak senang duduk.

Mohd Khairul Azri tampil dengan filem debutnya

Naskhah "Pekak" ini merupakan filem sulung arahan Mohd Khairul Azri dan walaupun ini kali pertamanya, namun beliau bukanlah orang baru dalam industri ini kerana sebelum ini Khairul terkenal dengan menghasilkan muzik video untuk beberapa penyanyi terkenal tempatan. Oleh itu, penonton tidak boleh menilai menerusi portfolionya dalam pembikinan filem sebaliknya memberi peluang dan menonton dahulu filemnya sebelum memberi sebarang maklum balas.

Dibarisi pelakon-pelakon hebat

Sama seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, sebuah naskhah yang baik tidak mampu menarik perhatian penonton atau menjadikan filem itu hebat sekiranya cara penyampaiannya tidak menepati seperti dalam skrip. Oleh itu, pengarah mahukan pelakon yang dirasakan mampu sahaja membintangi filem ini. Menampilkan Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi dan Iedil Putra, penonton pastinya tidak akan kecewa dengan lakonan mereka.

Filem "Pekak" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 1 September ini!

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (1 September 2016)





Ticket Pricing Guide