Rencana
Sebab anda perlu tonton "BoBoiBoy: The Movie"


Tarikh disiarkan: 27 Februari 2016


BoBoiBoy dan rakan-rakan sekali lagi perlu menewaskan kejahatan.

Filem cereka animasi di Malaysia boleh dikatakan masih lagi kurang jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Barat, bagaimanapun ia tidak bermakna negara kita tidak mampu menghasilkan filem animasi yang baik.

Sebenarnya, Malaysia mempunyai banyak studio animasi yang mempunyai hasil animasi bertaraf antarabangsa, malah banyak yang telah mendapat anugerah. Mungkin kerana kurang mendapat sambutan daripada penonton tempatan ini menyebabkan filem animasi tempatan sunyi dalam industri perfileman tempatan?

Selepas kejayaan filem Upin & Ipin "Geng Pengembaraan Bermula", terdapat beberapa filem animasi tempatan yang ditayangkan di pawagam, namun tidak mendapat sambutan kerana jalan cerita yang dipaparkan dikatakan longgar dan bosan.

Jangan risau kerana tidak lama lagi sebuah filem animasi yang diangkat dari siri animasi televisyen popular, "BoBoiBoy" akan menemui penonton tempatan pada 3 Mac ini.

"BoBoiBoy: The Movie" mengisahkan tentang sekumpulan makluk asing jahat bernama Tengkotak yang tiba di bumi dan menculik Ochobot. Mereka mahu menggunakan Ochobot untuk mencari sebuah Sfera Kuasa yang tersembunyi di bumi. BoBoiBoy dan kawan-kawannya perlu menyelamatkan Ochobot dan membongkar rahsia di sebalik Sfera Kuasa tersebut. Jika anda merasa ragu-ragu berbaloi atau tidak untuk menonton filem ini kelak, jom baca sebab-sebab yang anda perlu tonton filem "BoBoiBoy: The Movie" oleh Cinema Online!

Sesuai untuk ditonton tidak mengira usia

Masyarakat sering mempunyai persepsi yang mana filem animasi hanya untuk kanak-kanak sahaja, tetapi hakikatnya, filem "BoBoiBoy: The Movie" sesuai untuk tontonan kanak-kanak, remaja, dewasa malah warga emas juga boleh tonton filem ini.

Mempunyai jalan cerita yang menarik!

Dalam filem ini jalan cerita yang ditampilkan berbeza dari siri animasi televisyen kerana jika sebelum ini BoBoiBoy dan rakan-rakannya melawan penjahat Adudu, kali ini watak jahat baru lebih ganas diperkenalkan iaitu Tengkotak. Selain jalan cerita yang menarik, filem animasi ini juga padat dengan aksi dan komedi yang pastinya akan membuatkan penonton tidak akan kering gusi sepanjang menonton filem ini.

Memperkenalkan watak-watak baru

Selain mengekalkan watak-watak asal dari siri animasi televisyen, "BoBoiBoy: The Movie" turut memperkenalkan lima watak baru iaitu KlamKabot, Bora Ra, Gaganaz, YoYoOo, Kiki Ta dan beberapa watak kecil lain.

Mempunyai nilai-nilai murni, nasihat & pengajaran

Selain memberi tumpuan kepada animasi dan jalan cerita, pengarah "BoBoiBoy The Movie" Nizam Razak turut memberi menyuntik elemen nilai-nilai murni, nasihat dan pengajaran yang boleh dijadikan sebagai contoh dan teladan. Salah satu elemen yang dipaparkan adalah nilai persahabatan, pengorbanan dan kasih sayang serta cinta.

Dihasilkan 100 peratus 'Made in Malaysia' (Malaysia Boleh!)

Apa yang membanggakan adalah filem animasi ini adalah hasil 100 peratus produk buatan Malaysia. Apa yang boleh dikatakan di sini adalah walaupun kos pembikinan tidak sampai satu peratus dari kos pembikinan filem animasi Hollywood, namun hasil yang dipaparkan memang 'world class' lah!

Jadi diharap dengan lima sebab ini, ia mampu membuatkan anda teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan filem animasi ini apabila ia ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 3 Mac ini!

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide