Sebab anda perlu tonton "OlaBola" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Sebab anda perlu tonton "OlaBola"

Penulis: Ashraf Nasser


"OlaBola" pamer semangat berpasukan tinggi disebalik perbezaan budaya.

Filem yang mengangkat tema sukan atau lebih tepat sekali mengenai bola sepak ini jarang sekali dibawa ke layar perak. Mungkin kerana kesukaran untuk merakam babak-babak menarik atau kurang mendapat sambutan daripada penonton.

Perkara itu terbukti apabila filem "Jejak Warriors" pada tahun lalu gagal mendapat sambutan daripada penonton. Di mana silapnya? Ia berkemungkinan daripada jalan cerita yang menampilkan tentang pasukan bola sepak The Red Warriors sekaligus membuatkan filem tersebut hanya menarik perhatian penyokong bola sepak Kelantan sahaja.

Cuba membuktikan filem sukan relevan dan mampu menarik penonton untuk menonton, pengarah filem Chiu Keng Guan bakal tampil dengan filem terbarunya berjudul "OlaBola".

"OlaBola" mengambil inspirasi daripada zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin memberi sebab mengapa anda perlu tonton filem ini.

Diarahkan oleh Chiu Keng Guan

Nama pengarah Chiu Keng Guan sebelum ini tidak dikenali dikalangan penonton filem Melayu terutamanya. Namun selepas kejayaan filem "The Journey" arahannya mencipta fenomena apabila mendapat kutipan lebih RM17 juta, Chiu telah menjadi salah seorang pengarah yang dikenali. Bagaimanapun, Chiu enggan mendabik dada dengan pencapaian terdahulu kerana untuk filem terbarunya "OlaBola" dia enggan memikirkan soal kutipan filem kerana apa yang penting baginya adalah menghasilkan sebuah karya yang bermutu.

Dapat tunjuk ajar daripada lagenda bola sepak kebangsaan

Untuk menghasilkan filem yang diinspirasikan daripada kisah sebenar, pengarah Chiu Keng Guan telah mendapatkan nasihat dan pandangan daripada lagenda bola sepak tempatan seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, James Wong dan Hassan Sani yang mana kesemua mereka ini mempunyai satu persamaan yang sama iaitu disiplin yang sangat tinggi. Elemen itu merupakan salah satu faktor penting dalam sesebuah pasukan bola sepak jika mahu menjadi pasukan terbaik.

Menampilkan hampir 90 peratus pelakon baru

 

Untuk menjadikan sesebuah filem tersebut mendapat sambutan, selalunya pengarah akan menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat agar dapat menarik perhatian penonton, namun berbeza dengan filem "OlaBola" apabila ia menampilkan hampir keseluruhan pelakon baru seperti JC Chee, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen sebagai pelakon utama yang membawa watak sebagai pemain bola sepak. Manakala hanya menampilkan seorang pelakon popular iaitu Bront Palarae sebagai pengulas sukan. Selain itu, pengarah turut menampilkan pelakon "The Journey" Frankie Lee sebagai kemunculan istimewa.

Kajian teliti dibuat sebelum penggambaran dimulakan

Mungkin ramai tertanya-tanya kajian apa yang pengarah hendak buat untuk filem ini. Apa yang Chiu lakukan adalah memastikan mereka membuat kajian mengenai era bola sepak pada era 80an seperti mengadakan temu bual, melihat foto asal dan juga menyediakan pakaian yang sesuai untuk era berkenaan. Pendek kata, untuk menonjolkan era ketika zaman itu. Selain itu setiap pelakon yang dipilih juga mestilah seseorang yang mahir bermain bola sepak kerana dia tidak mahu aksi mereka kelihat seperti dibuat-buat. Oleh sebab itu, pengarah tidak terburu-buru dalam menyiapkan filem ini kerana mahu memberikan yang terbaik.

Jadi, kepada pembaca-pembaca Cinema Online yang ingin menonton filem "OlaBola" ini jangan lupa untuk menyaksikan di pawagam seluruh negara pada 28 Januari 2016.

Cinema Online, 18 Jan 2016

Filem Berkaitan:
Ola Bola (English / Malay / Mandarin / Tamil) (28 Jan 2016)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan