Rencana
Sebab anda perlu tonton filem "Munafik"


Tarikh disiarkan: 15 Februari 2016


Poster "Munafik" yang turut memaparkan amaran.

Baru-baru ini Cinema Online telah menyiarkan artikel mengenai Filem Seram Menarik Sepanjang Februari ini, tetapi kali ini kami ingin memberi tumpuan kepada sebuah filem seram tempatan "Munafik" yang akan ditayangkan pada 25 Februari ini.

"Munafik" mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama Adam yang tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia. Dia bersetuju untuk mengubati seorang wanita bernama Maria yang diganggu syaitan, tetapi dia kemudian melalui pelbagai pengalaman pelik.

Rata-rata peminat filem seram tempatan tidak sabar menunggu tayangan filem ini dan bagi yang tidak tahu mengapa "Munafik" menjadi filem seram tempatan tumpuan bulan ini?

Jika hendak tahu, Cinema Online akan menyenaraikan beberapa sebab untuk menyakinkan lagi pembaca untuk ke pawagam menonton filem seram ini.

Diarahkan oleh Syamsul Yusof

Setelah hampir empat tahun menyepikan diri dari dunia pengarahan filem, pengarah dan pelakon berbakat besar tanah air ini kembali duduk di bangku pengarah tampil dengan karya terbarunya berjudul "Munafik". Rasanya bagi peminat-peminat tegar filem seram tempatan sudah pastinya tidak sabar menanti tayangan filem tersebut selepas kejayaan filem seram terdahulu Syamsul "Khurafat" yang mendapat kutipan pecah panggung.

Filem paling seram pernah dihasilkan Syamsul Yusof

Bunyi macam klise bukan? Filem seram mana yang tidak mempunyai elemen takut kan? Pengarah Syamsul berkata naskhah terbarunya ini berbeza dengan terdahulu iaitu "Khurafat" yang mana menurut Syamsul, filem terbarunya ini adalah filem paling ekstrim pernah dihasilkannya. Tujuan Syamsul berbuat demikian adalah kerana mahu karyanya diingiati dalam industri filem tanah air; "Jujur saya katakan, "Munafik" memiliki babak seram yang ekstrim apabila ia banyak memaparkan aksi mengejutkan ditambah pula dengan sistem bunyi berkualiti," ujar Syamsul.

Berikutan filem itu terlampau seram, di poster filem itu telah meletakkan amaran yang meminta agar penonton yang mempunyai masalah jantung atau wanita hamil tidak menonton filem tersebut kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Bukan filem seram untuk tujuan hiburan semata-mata

Menurut Syamsul Yusof, dia menghasilkan filem "Munafik" ini bukan untuk dijadikan sebagai hiburan semata-mata sahaja, tetapi dia mahu berdakwah melalui filem arahannya dengan mengajar orang tentang apa itu munafik sepenuhnya. Untuk itu, dia sendiri telah mendalami ilmu agama tafsir Al-Quran dan hadis untuk dijadikan sebagai panduan. Selain itu, Syamsul juga mendapatkan pandangan daripada alim ulama.

Dibarisi pelakon mantap

Jika mempunyai naskhah yang berkualiti tetapi pelakon pula tidak berjaya menjiwai watak pastinya akan menjejaskan sesebuah filem itu. Oleh itu demi memberikan kepuasan maksimum kepada penonton yang menonton filem "Munafik" ini, pengarah telah memilih barisan pelakon hebat untuk menjayakan setiap watak yang terdapat dapat filem ini supaya setiap lakonan dapat memberikan impak besar kepada penonton. Antara pelakon yang membintangi adalah Syamsul sendiri, Nabila Huda, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim dan Fizz Fairuz.

Diharapkan dengan beberapa sebab ini dapat menyakinkan para pembaca semua yang merancang untuk menonton filem dalam bulan ini, dan yang paling utama jangan lupa untuk terus menyokong filem tempatan agar indsutri perfileman tempatan terus berkembang pesat.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)