Rencana
Sebab perlu tonton "Temuan Takdir"


Tarikh disiarkan: 25 Julai 2016


Sebuah filem yang dihasilkan dari bakat-bakat baru yang berkecimpung dalam pembikinan filem.

Tahun ini boleh dikatakan sebagai tahun yang baik untuk industri perfileman tempatan apabila penonton-penonton dilihat kembali memberi kepercayaan kepada naskhah-naskhah tempatan.

Ini diterjermahkan menerusi kutipan beberapa buah filem yang berjaya mencatat jutaan malah belasan juta, dan ini adalah petunjuk baik selepas industri perfileman tempatan sebelum ini boleh dikatakan umpama 'bagai telur di hujung tanduk'.

Tidak dapat dinafikan terdapat juga beberapa buah filem yang tidak menepati kualiti yang diharapkan, namun penonton masih mempunyai pilihan.

Terbaru, sebuah lagi filem tempatan berjudul "Temuan Takdir" bakal menemui penonton pada 11 Ogos depan.

Ia mengisahkan tentang dua pegawai polis adik-beradik yang dalam misi memburu dalang di sebalik satu rompakan sebuah van keselamatan. Penyiasatan mereka membawa mereka menemui rahsia aktiviti kumpulan yang dianggotai oleh tiga orang yang mempunyai agenda masing-masing.

Berikutan itu, Cinema Online kali ini akan menyenaraikan beberapa sebab untuk anda tonton filem "Temuan Takdir".

Diarahkan oleh Dhyan Vimal

Ini merupakan kali pertama Dhyan Vimal menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan penerbit filem. Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Sahabat Insan Malaysian (Friends To Mankind). Mungkin ramai yang merasakan kurang yakin, tetapi apa kata kita beri peluang kepada sutradara baru ini dan lihat keupayaannya menggarap sebelum membuat kesimpulan. Untuk pengetahuan pembaca semua, Dhyan Vimal bukanlah orang baru dalam industri ini kerana beliau mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam mengendali produksi dokumentari dan pengiklanan, jadi ini boleh dijadikan sebagai salah satu faktor yang anda boleh ambil kira.

Dihasilkan dari bakat-bakat baru

Tidak dapat dinafikan bakat-bakat baru kini lebih menonjol. Malah mereka ini mempunyai idea yang cukup kreatif dan bernas. Ini merupakan kunci utama dalam sesebuah industri termasuk perfileman sekiranya hendak maju ke hadapan. Oleh itu, menerusi 'Project Dignity' dibawah Pertubuhan Sahabat Insan Malaysia, ia memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk berkecimpung dalam pembikinan filem dari kru sehingga pelakon.

Dibarisi pelakon gabungan lama dan baru

Seperti yang diperkatakan, filem ini akan menampilkan gabungan pelakon lama dan baru. Antara nama besar yang membintangi filem ini adalah Vanidah Imran. Pelakon ini sudah lama tidak muncul di layar perak sejak beberapa tahun ini dan kemunculannya pastinya mampu menarik penonton. Ini kerana beliau merupakan seorang pelakon yang bersikap selektif dan hanya akan menerima tawaran berlakon sekiranya sesebuah naskhah itu bagus. Pelakon lain yang juga akan terlibat adalah Zahim Albakri, Ery Zukhairi, Azura Zainal dan bekas ratu cantik Malaysia, Thanuja Ananthan.

Gabungan beberapa genre dalam sebuah naskhah

Kebanyakan filem biasanya akan menampil satu atau dua genre sahaja dalam sesebuah naskhah. Jarang sekali kita melihat sebuah filem menampilkan beberapa genre. Bagaimanapun dalam filem "Temuan Takdir" ini beberapa genre digabungkan termasuk aksi, romantik, jenayah dan ngeri. Gabungan genre ini mungkin mampu memberi kelainan dari naskhah-naskhah lain. Mampukah filem ini menjadi salah sebuah filem hebat untuk tahun ini? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Temuan Takdir (Melayu) (11 Ogos 2016)