Rencana
Sebab perlu tonton "Dukun Doktor Dani"


Tarikh disiarkan: 10 Julai 2016


Filem terbaru terbitan Astro Shaw ini bakal menemui penonton pada 28 Julai ini.
Nampaknya bulan Julai menyaksikan banyak filem-filem komedi yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara, yang mana ia amat sesuai berikutan kita akan berada dalam bulan Syawal selepas sebulan berpuasa.

Bulan Syawal juga merupakan bulan yang akan menyatukan seluruh keluarga yang sebelum ini tinggal berjauhan dan peluang berkumpul ini dapat mengeratkan lagi silatulrahim di antara ahli keluarga.

Jadi kesempatan ini boleh digunakan untuk membawa ahli keluarga untuk berhibur di pawagam dengan menonton filem komedi "Dukun Doktor Dani" yang boleh ditonton oleh setiap lapisan umur.

Ia mengisahkan tentang seorang doktor muda yang telah meletak jawatan apabila pembedahan pertamanya gagal dan menyebabkan pesakit itu meninggal dunia. Dia yang pulang ke kampung halamannya berpakat dengan Dukun Sudin yang mana Dani menjual barang-barang diperlukan pesakit yang datang ke rumah dukun itu.

Bagaimanapun, semuanya menjadi huru-hara untuk Dani apabila Dukun Sudin meninggal dunia dan dia terpaksa mengambil alih kerja dukun itu.

Nak tahu apa yang akan terjadi? Kena tunggu dan tonton filem ini pada 28 Julai nanti!

Oleh itu kali ini Cinema Online ingin memberi beberapa sebab kepada pembaca untuk menonton filem "Doktor Dukun Dani" ini.

Diarahkan oleh Sabri Yunus

Sabri Yunus bukanlah nama baru dalam dunia seni tempatan kerana dia merupakan seorang pelakon, pelawak, pengacara dan pengarah yang sudah 26 tahun bergelar sebagai anak seni. Sudah berpuluh-puluh sitcom, drama, filem dan teater pernah dibintanginya.

Drama arahannya "Sanggul Berdarah", "Parut Asyikin", "Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman" dan banyak lagi boleh dikatakan antara karya terhebat arahannya. Jadi, pastinya ramai yang tidak sabar untuk melihat garapan Sabri dalam filem "Dukun Doktor Dani".

Diterbitkan oleh Astro Shaw

Okay, mesti ramai yang tertanya-tanya mengapa perlu menyebut nama Astro Shaw yang hanya bertindak sebagai penerbit filem untuk menjadi sebab mengapa anda perlu tonton filem ini, bukan? Di sini apa yang ingin ditekankan adalah filem-filem terbitan Astro Shaw ini boleh dikatakan semuanya berkualiti dan tidak mengecewakan penonton.

Oleh itu, tidak rugi jika anda menonton filem ini di pawagam. Sekiranya anda kurang yakin lagi, berikut adalah senarai filem-filem yang pernah diterbitkan oleh Astro Shaw; "Lagenda Budak Setan 1, 2 & 3", "Manisnya Cinta Di Cappodocia", "Pilot Café", "Polis Evo", "The Journey", "Ola Bola" dan banyak lagi.

Menampilkan jalan cerita yang berbeza

 
Seperti yang penonton semua sedia maklum, filem-filem tempatan sebelum ini lebih terarah kepada aksi, seram, dan komedi romantik sahaja. Namun untuk filem ini, walaupun elemen komedi terdapat dalam filem ini, tetapi jalan cerita ini lebih memberi tumpuan kepada kerjaya seorang doktor dan dukun yang mana kedua-dua ini merupakan pengamal perubatan tetapi berbeza.

Dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat

 
Sesebuah filem yang mempunyai skrip sebaik mana pun - sekiranya pelakon gagal untuk menghidupkannya di hadapan kamera - naskhah tersebut akan menjadi sia-sia sahaja. Oleh itu, lakonan mantap adalah salah satu rahsia kejayaan sesebuah filem itu.

Untuk filem "Dukun Doktor Dani" ini, ia membariskan Fasha Sandha, Amerul Affendi, Khatijah Tan, Raysha Rizrose dan penyanyi terkenal dari Singapura, Taufik Batisah. Kita semua sedia maklum bahawa barisan pelakon yang ditampilkan dalam filem ini adalah antara pelakon-pelakon mempunyai kelas mereka tersendiri. Jadi, penonton sudah pastinya akan disajikan dengan lakonan mantap dari setiap pelakon.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide