Rencana
Sebab anda perlu tonton "Kampung Drift"


Tarikh disiarkan: 19 Julai 2016


Adakah anda sudah bersedia untuk menonton filem "Kampung Drift?

Filem aksi yang berkisarkan tentang sukan permotoran sememangnya menjadi kegemaran ramai tidak mengira jantina, bangsa, muda atau tua.

Sebelum ini penonton disajikan dengan filem sukan permotoran seperti lumba kereta atau motorsikal sahaja, namun pada tahun 2005 bermulanya fenomena filem sukan permotoran drift yang mana filem "Initial D" yang diangkat dari siri manga popular di Jepun telah dihasilkan yang mana menampilkan pelakon terkenal Jay Chou sebagai watak utama, Takumi Fujiwara.

Selepas tayangan filem tersebut, semakin ramai pembikin-pembikin filem di seluruh dunia cuba mengetengahkan filem sukan drift ini dan ia dapat dilihat setahun kemudiannya apabila francais Hollywood popular, "Fast & Furious", telah muncul dengan filem "The Fast and The Furious: Tokyo Drift".

Trend tersebut turut menjadi ikutan di Malaysia sendiri apabila pengarah muda, Syamsul Yusof turut menghasilkan filem yang mengetengahkan sukan permotoran drift menerusi dua buah filem iaitu "Evolusi KL Drift 1 & 2" yang mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Terbaru, sebuah lagi filem sukan drift bakal menemui penonton pada 4 Ogos depan berjudul "Kampung Drift".

Ia mengisahkan tentang, Johan, seorang remaja yang mencari erti kejayaan dan kehidupan menerusi sukan drift walaupun ditentang keras oleh ayahnya. Minatnya terhadap sukan itu tidak pernah pudar dan bersama-sama kawan baiknya, Bojeng, pakciknya, Ajoi, dan saintis `gila', Pak Idon, dia menggunakan apa sahaja cara untuk melibatkan diri dalam sukan drift selepas mendapat tahu sejarah hitam ayahnya berkait rapat dengan sukan itu.

Johan bagaimanapun berdepan kesukaran apabila terlibat dalam pelbagai konflik diri, masalah cinta dan persaingan. Semua ini membawa kepada kematian orang yang disayanginya. Johan mahu mengubah sejarah dengan menggunakan mesin merentas masa untuk kembali ke masa silam.

Oleh itu, Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa sebab untuk anda pergi ke pawagam berdekatan anda untuk menonton filem ini!

Ketengahkan sukan drift

Ya, ini merupakan sebab utama untuk pergi ke pawagam tonton filem ini. Siapa yang tidak minat dengan kereta bukan? Rasanya kita sudah lama tidak disajikan dengan filem yang memberi fokus kepada sukan drift memandangkan sejak beberapa tahun lalu industri filem tempatan didominasi dengan filem-filem yang mengetengahkan rempit, seram dan gangsterism. Tidak keterlalu sekiranya hendak dikatakan filem ini datang tepat pada masanya kerana penonton sudah mula bosan asyik disuap dengan naskhah-naskhah sama.

Filem sulung arahan Nevin Hiong

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, siapa Nevin Hiong ini? Tak pernah dengar pun nama pengarah ini. Jangan risau, kerana Nevin bukanlah orang baru dalam industri perfileman ini. Sebelum ini dia pernah terlibat banyak filem seperti "Kasut Ku Kusut", "Cerita Kita", "Mukasurat Cinta", "1 Lawan Satu", "Strawberi Cinta" dan banyak lagi sebagai pengarah fotografi dan sinematografi. Walaupun ini adalah debut-nya sebagai pengarah, namun pengalaman yang ada padanya pastinya tidak akan mengecewakan penonton.

Dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat

Sehebat manapun sesebuah naskhah itu, sekiranya pelakon tidak dapat menjiwai watak yang diberikan sudah pasti filem itu akan menjadi bosan dan tidak 'hidup'. Oleh itu pelakon yang bagus amatlah penting bagi menjayakan sesebuah filem itu. Jadi untuk bahagian ini, penonton tidak perlu bimbang kerana ia dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Syafie Naswip, Pablo Amirul, Fatin Afeefa dan ramai lagi. Rasa tidak perlu nak ulas panjang mengenai kesemua barisan pelakon ini kerana masing-masing mempunyai kelas mereka tersendiri.

Jalan cerita yang berbeza dengan filem drift lain

Pasti ada yang tertanya-tanya apa yang lainnya dengan filem ini. Nama pun filem drift sudah semestinya memaparkan kereta berlumba sahaja atau disuntik dengan elemen percintaan sahaja. Tetapi dalam filem ini tidak, kerana ia menyuntik genre sci-fi yang mana dalam filem ini pelakon utama akan kembali ke masa lampau menggunakan mesin merentas masa untuk cuba menyelamatkan orang yang disayanginya.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide