Rencana
Studio animasi tempatan cipta kejayaan di peringkat antarabangsa


Tarikh disiarkan: 1 Mac 2016


Studio animasi tempatan mempunyai karya-karya bertaraf antarabangsa.

Percayakah anda kami katakan yang animasi terbitan tempatan bertaraf antarabangsa? Mungkin ramai yang tidak sedar atau tidak tahu di Malaysia sebenarnya kita mempunyai studio-studio animasi yang mampu menghasilkan animasi berkelas dunia.

Jika bertaraf antarabangsa, mengapa ia tidak ditayangkan di Malaysia? Ini salah satu persoalan sehingga kini masih menjadi tanda tanya bukan sahaja dari orang ramai, malah turut menjadi persoalan di kalangan studio-studio animasi tempatan.

Ini kerana ada di kalangan studio ini yang tidak diberi ruang dan peluang oleh pihak penyiar untuk menayangkan hasil kerja anak tempatan di negara sendiri, oleh itu mereka mengambil inisiatif sendiri dengan menayangkan animasi mereka di luar negara.

Malah studio-studio tempatan ini mendapat banyak pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa di atas kejayaan menghasilkan animasi yang bagus.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang hanya mengetahui studio animasi Les' Copaque menerusi siri televisyen popular, "Upin & Ipin" atau Animonsta Studios menerusi siri televisyen, "BoBoiBoy".

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin mengupas di sebalik industri animasi tempatan dengan menyenaraikan beberapa studio animasi tempatan yang mungkin anda tidak tahu akan kewujudan mereka, tetapi telah berjaya memahat nama mereka di persada antarabangsa.

Bagaimanapun, artikel ini hanya ringkasan setiap studio animasi tempatan, dan kami akan terus membawakan artikel bersiri untuk setiap studio animasi tempatan. Jadi nantikan rencana seterusnya!

Giggle Garage

Studio animasi Giggle Garage ini adalah seratus peratus milik rakyat tempatan, yang mana mereka menyediakan perkhidmatan menghasilkan kandungan animasi berkualiti tinggi untuk kanak-kanak dan hiburan keluarga. Selain itu, mereka juga menerbitkan siri animasi bersama rakan kongsi dari luar negara seperti Korea Selatan, Australia, United Kingdom dan beberapa lagi. Antara siri animasi popular Giggle Garage adalah "Boing The Play Ranger" dan "Origimals", selain beberapa siri animasi lagi yang masih dalam proses pembikinan. Mereka juga berjaya meraih pelbagai anugerah menerusi siri animasi termasuk anugerah Most Admired Animation Company/ Best Animation Technology in Malaysia by Top 10 Malaysia & Top 10 Asia Media (2014), Merit Awards, Best Media and Entertainment, Asia Pacific ICT Awards (2013) dan banyak lagi.

Animonsta Studios

Ketika ini mungkin semakin ramai yang mula mengenali Animonsta Studios ini berikutan filem animasi pertama mereka yang diangkat dari siri televisyen popular, "BoBoiBoy" iaitu "BoBoiBoy: The Movie" yang akan menemui penonton pada 3 Mac ini. Namun untuk pengetahuan anda, siri animasi "BoBoiBoy" terbitan mereka ini bukan sahaja popular di Malaysia, malah di luar negara juga iaitu di 44 negara di Asia Tenggara dan Timur Tengah. Ia merupakan pencapaian yang cukup membanggakan. Antara anugerah yang pernah dirangkul oleh mereka adalah 12th TBS DigiCon6: BoBoiBoy – 1st Place Regional Award (2010), NEF-AWANI: Animonsta Studios – Best Start-up Company (2011) dan banyak lagi.

Vision Animation

Sebelum ini Vision Animation dikenali sebagai Fat Lizard and POV (Persistence of Vision) yang mana kemudian telah ditukar. Mereka adalah salah satu studio animasi tempatan yang menerajui animasi 2D. Antara siri animasi popular mereka adalah "Transformers: Rescue Bot", "Cloe's Close", "Shezow" dan banyak lagi. Mereka yang menerbit, mengarah dan menghasilkan animasi lebih 10 tahun ini juga berkolaborasi dengan syarikat besar antarabangsa seperti Hasbro Studios, Moonscoop, Kapow Pictures dan banyak lagi.

Mirayi Animation

Sudah pasti ramai yang tidak tahu akan kewujudan studio animas Mirayi Animation ini bukan? Ia bukan studio baru kerana tahun ini Mirayi Animation bakal menyambut ulang tahun ke-11 mereka. Mereka telah berjaya menghasilkan animasi untuk pasaran antarabangsa antaranya "Megabear", "Mask Masters" musim pertama dan kedua dan kini dalam perancangan untuk menghasilkan filem animasi berjudul "Flying Tiger, Running Chicken".

Lil Critter Workshop

Studio animasi Lil Critter Workshop mempunyai kepakaran dalam menghasilkan dan membangun kandungan untuk rancangan televisyen, pendidikan media, pengiklanan dan infotainment. Antara animasi yang mereka pernah hasilkan adalah "Hogie the GlobeHopper", "Dimension Ed", "Outlaw Dark" dan "The ToyBox".

KRU Studios

Rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi dengan KRU Studios ini kerana ia sememangnya sudah terkenal di Malaysia. Ia merupakan salah sebuah studio animasi pertama di Malaysia yang menggunakan imej janaan komputer (CGI) menerusi filem "Cicakman", "Magika" dan beberapa lagi. Mereka kemudian tampil dengan filem penuh animasi berjudul "Ribbit" yang mana diarahkan oleh pengarah dari luar negara. Selain dipasarkan di luar negara, ia turut dialih suara ke Bahasa Malaysia untuk pasaran tempatan. Kejayaan filem animasi ini diterjemahkan apabila berjaya merangkul anugerah Filem Cereka Animasi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27.

Tripod Entertainment

Tripod Entertainment merupakan salah sebuah studio animasi tempatan yang mempunyai potensi besar dalam industri animasi tempatan. Anak syarikat kepada Elemental Ventures Sdn Bhd ini pernah tampil dengan filem cereka animasi berjudul "War of The World: Goliath" yang mana telah berjaya merangkul dua trofi di anugerah Asia Image Appolo Awards 2013, malah mereka juga pernah dinobat sebagai Best 3D Animated Feature Film di Festival Filem 3D Los Angeles sekaligus menidakkan filem animasi Hollywood seperti "Madagascar 3", "ParaNorman" dan "Tinker Bell: Secret of the Wings". Ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan Malaysia.

NetCarbon

Studio animasi ini juga pastinya ramai yang tidak tahu. Tetapi jika anda pernah menonton siri televisyen popular "Supertots", inilah studio yang bertanggungjawab dalam menghasilkan animasi ini. Selain itu, mereka juga mempunyai siri animasi lain seperti "Dragonlord", malah juga pernah muncul dengan filem animasi berjudul "Supersquad: The Movie" pada tahun 2014 yang mana telah berjaya merangkul anugerah Animasi 3D Terbaik di Anugerah NEF-AWANI pada tahun 2010 dan juga merupakan filem animasi pertama di Malaysia menggunakan teknik 'Hybrid Motion-Capture' seperti yang telah digunakan dalam filem "Avatar" dan "The Adventures of Tin-Tin".



Les' Copaque

 

Rasanya nama Les' Copaque tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ia adalah studio animasi paling terkenal di Malaysia menerusi siri animasi televisyen popular "Upin & Ipin" yang mana telah menjadi penanda aras baru kepada industri animasi tempatan ketika ia mula disiarkan sekaligus tidak keterlaluan jika hendak dikatakan bahawa Les' Copaque telah memberi inspirasi kepada ramai orang untuk menceburi dalam industri yang sebelum ini kurang digemari ramai.

Menerusi siri animasi televisyen, Les' Copaque terus mengorak langkah dengan menghasilkan filem "Geng Pengembaraan Bermula" yang mana mendapat sambutan cukup memberangsangkan dari penonton tempatan. Selain "Upin & Ipin", Les' Copaque juga mempunyai beberapa siri animasi lain seperti "Puteri", "Pada Zaman Dahulu" dan beberapa lagi. Kejayaan membanggakan ini turut diterjemah menerusi anugerah dan pengikirafan yang diterima seperti International Quality ERA Award, Geneva (2013), Festival Filem Malaysia ke-22, Lolipop Award, Kids Film Festival dan banyak lagi.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: