Studio Animasi Tempatan: Animonsta Studios | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Studio Animasi Tempatan: Animonsta Studios

Penulis: Ashraf Nasser


Nizam Razak mempunyai wawasan dalam mengembangkan Animonsta Studios.

Jika sebelum ini anda pernah membaca artikel mengenai studio animasi tempatan yang cipta kejayaan di peringkat antarabangsa dan artikel rencana bersiri mengenai studio animasi tempatan Giggle Garage, pastinya anda akan ternanti-nantikan artikel baru.

Penantian anda sudah berakhir kerana kali ini Cinema Online akan membawa pembaca-pembaca untuk mengenali dengan lebih lanjut dengan Animonsta Studios.

Animonsta Studios ini adalah hasil idea dari seorang anak tempatan bernama Mohd Nizam Abdul Razak, yang mana kemudian dibantu beberapa rakannya seperti Kee Yong Pin, Mohd Safwan Abd Karim dan Muhammad Anas Abdul Aziz pada tahun 2009.

Untuk pengetahuan pembaca semua, sebelum penubuhan Animonsta Studios, Nizam pernah bekerja dengan sebuah studio animasi tempatan Les' Copaque, di mana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mengarah filem animasi "Geng: Pengembaraan Bermula" yang mana telah mencetus fenomena ketika itu.

Animasi terbitan Animonsta Studios

Nizam bersama rakan-rakan seperjuangan di Animonsta Studios mengorak langkah dengan menghasilkan siri animasi pertama mereka iaitu "BoBoiBoy" pada tahun 2011. Ia mengisahkan tentang pengembaraan BoBoiBoy dan rakan-rakannya menentang makhluk asing yang menakluk bumi untuk benih koko.


Siri animasi televisyen "BoBoiBoy" telah menjadi fenomena di banyak negara.

Siri animasi ini diterbitkan dalam dua Bahasa, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang mana percaturan rapi mereka telah membuahkan hasil apabila ia bukan sahaja popular di kalangan penonton tempatan, malah ia turut terkenal di beberapa negara lain seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Hong Kong, Myanmar, Laos, Vietnam dan Kemboja, dan secara keseluruhan ditayangkan di 45 buah negara.


Filem animasi pertama Animonsta Studios kini telah mencipta kejayaan
sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah tanah air.

Berikutan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap siri animasi televisyen "BoBoiBoy", Animonsta Studios kemudian telah menghasilkan filem pertama mereka berjudul "BoBoiBoy The Movie" yang sudah pun ditayangkan sejak 3 Mac lalu, yang mana ia telah mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya mendapat kutipan sebanyak RM10 juta selepas dua minggu tayangannya. Angka kutipan tiket ini dijangka akan terus meningkat berikutan ia masih ditayangkan di pawagam di seluruh negara.

Kejayaan itu telah mengangkat filem animasi "BoBoiBoy The Movie" menjadi filem animasi tempatan yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tanah air. Selain Malaysia, filem animasi ini turut akan ditayangkan di negara jiran Indonesia pada April depan. Malah beberapa negara jiran lain turut ada menyuarakan minat untuk menayangkan filem ini di negara mereka.


Sekitar ruang pejabat Animonsta Studios.

Animonsta Studios juga sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan trilogi dari filem animasi "BoBoiBoy The Movie" yang mana ia akan didedahkan secara umum pada suku ketiga tahun ini.

Dalam pada itu, Animonsta Studios juga mempunyai perancangan lain iaitu untuk menghasilkan animasi terbaru, kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada satu animasi sahaja yang mana mereka akan memperkenalkan animasi terbaru berjudul, "Mekamato".

Bagaimanapun, untuk animasi terbaru ini, mereka mengambil pendekatan berbeza dari "BoBoiBoy" yang mana "Mekamato" akan terus di bawa ke layar perak sebelum ia dijadikan siri animasi televisyen.

Mahu takluk pasaran Asia

Ini merupakan misi dan harapan Animonsta Studios untuk melebarkan lagi sayap mereka di peringkat antarabangsa, oleh itu mereka telah mensasarkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi untuk menakluk pasaran di Asia sebelum terus mengorak langkah ke peringkat seterusnya.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Animonsta Studios kini akan giat dalam memberi penekanan terhadap jalan cerita setiap animasi yang dihasilkan supaya ia bukan sahaja berkualiti dan dapat menghiburkan kanak-kanak, tetapi juga mahu memastikan karya-karya animasi mereka boleh ditonton oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.


Lukisan animasi ini adalah lukisan awal (draf) animasi terbaru yang bakal dihasilkan
Animonsta Studios yang didedahkan secara eksklusif kepada Cinema Online.

Selain animasi, Animonsta Studios juga kini meluaskan bidang perniagaan mereka dengan menghasilkan produk-produk "BoBoiBoy" menerusi kolaborasi menghasilkan patung permainan, pakaian, kasut, dan bermacam-macam lagi.

Pandangan mengenai cadangan Syarat Wajib Tayang animasi

Sementara itu, ketika ditanya mengenai komen atau pandangannya terhadap cadangan memperkenalkan Syarat Wajib Tayang untuk animasi-animasi tempatan, Nizam menyambut baik jika cadangan itu dilaksanakan, kerana ia bukan sahaja dapat membantu menaikkan industri animasi tempatan, malah memberi peluang kepada studio animasi tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada penonton tempatan.

Nizam bagaimanapun, menekankan jika cadangan itu dilaksanakan, ia bukan bermakna studio animasi boleh mengambil remeh mengenai kualiti animasi yang bakal ditayangkan kerana mahu animasi-animasi yang berkualiti sahaja yang layak ditayangkan. Dengan ini, secara tidak langsung ia dapat melonjak industri animasi tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi.

Anugerah dan Pengiktirafan

Setelah bekerja keras untuk beberapa tahun, Animonsta berjaya mendapat ganjaran setimpal apabila mereka menerima anugerah Best Start-up Company Award di NEF-AWANI ICT Awards 2011 selain beberapa anugerah serta pengiktirafan yang lain.


Antara anugerah dan pengiktirafan yang diterima oleh Animonsta Studios.

 

Cinema Online, 19 Mac 2016


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan