Studio animasi tempatan: Giggle Garage | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Studio animasi tempatan: Giggle Garage

Penulis: Ashraf Nasser


Giggle Garage mempunyai 'keluarga' yang besar, iaitu lebih 100 pekerja.

Sebelum ini kami pernah menyiarkan artikel mengenai Studio animasi tempatan cipta kejayaan di peringkat antarabangsa yang mana kami ada menyatakan yang kami akan tampil dengan siri rencana mengenai studio animasi tempatan.

Oleh itu, untuk siri pertama ini Cinema Online ingin memperkenalkan studio animasi Giggle Garage Sdn Bhd. Pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah mereka ini? Kenapa tidak pernah dengar langsung mengenai mereka bukan?

Untuk pengetahuan pembaca, Giggle Garage sebenarnya bakal menyambut ulang tahun ke-11 mereka tidak lama lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa studio animasi mereka kurang mendapat pendedahan di negara ini, sebaliknya mereka lebih dikenali di persada antarabangsa.

Ini kerana Giggle Garage terkenal dengan menghasilkan kandungan animasi berkualiti tinggi sendiri atau bersama rakan kongsi untuk kanak-kanak dan hiburan keluarga.

Selain animasi, mereka turut menawarkan perkhidmatan seperti animasi Imej Janaan Komputer (CGI), pengiklanan, VFX atau 'content commissioning' untuk beberapa platform digital.

Animasi terbitan Giggle Garage

Sehingga tahun 2016, Giggle Garage telah mempunyai lima siri animasi yang sudah ditayangkan dan ada yang masih dalam pembikinan. Antara siri animasi tersebut adalah "Origimals", "Boing", "The Kazoops", "Katuri" dan "Chameleon". Sebagai contoh, siri animasi "Boing" bakal memasuki musim kedua yang mana ia adalah sebuah siri animasi paling berjaya pernah dihasilkan oleh Giggle Garage yang mana ia diterbitkan bersama studio animasi dari Korea Selatan, CrazyBird Studio Inc dan Synergy Media Inc. Ia ditayangkan di 60 buah negara termasuk Canal+ Group, PixelTV, Animax, EBS, BTV, Mediacorp dan banyak lagi.


Salah satu animasi yang dihasilkan oleh Giggle Garage.

Terbaru, mereka telah mencapai persetujuan bersama Astro (Malaysia) untuk menerbitkan siri animasi berjudul "Chameleon" yang dijangka akan mula ditayangkan pada suku pertama 2017. Menurut Pengarah Eksekutif Giggle Garage, Zeno Gabing, ia adalah satu petanda positif yang mana pihak penyiar tempatan mula memberi tumpuan kepada siri animasi tempatan, dan berharap lebih banyak pihak penyiar tempatan mengambil tindakan sama seperti Astro.


Siri animasi popular di Korea Selatan, "Boing" yang turut ditayangkan di 60 buah negara.

 Skim Wajib Tayang khas untuk animasi

Perkara ini telah disuarakan sendiri oleh Zeno Gabing yang mana melihat siri animasi tempatan masih lagi di ketinggalan atau tidak diberi pendedahan secukupnya di Malaysia. Oleh itu, beliau meminta agar pihak Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mencari mekanisme yang mampu membantu studio-studio animasi tempatan untuk menyiarkan siri animasi mereka di stesen-stesen televisyen tempatan.


Pengarah Eksekutif Giggle Garage, Zeno Gabing ketika ditemubual oleh Cinema Online.

Zeno mencadangkan agar pihak MDeC dan FINAS mengadaptasi skim Syarat Wajib Tayang yang diperkenalkan untuk filem tempatan, yang mana membantu filem-filem tempatan ditayangkan di pawagam tempatan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu, namun skim tersebut diperkenalkan untuk siri animasi ditayangkan di stesen-stesen televisyen tempatan.

Menurut Zeno, jika skim ini dapat diperkenalkan, secara tidak langsung ia dapat memberikan pendedahan kepada animasi-animasi tempatan yang tidak pernah diberi peluang dan ruang untuk ditayangkan di negara ini serta kepada masyarakat umumnya yang mana Malaysia juga mempunyai animasi-animasi hebat.

Artis animasi masih kurang

Dalam pada itu, Zeno juga mendedahkan bahawa industri animasi tempatan kini mempunyai masalah kekurangan artis animasi tempatan. Perkara itu akan dijangka akan berterusan dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang. Oleh itu, beliau menyeru anak-anak muda terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mempertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran ke dalam bidang animasi kerana peluang pekerjaan untuk bidang ini akan sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.

Anugerah & Pengiktirafan

Segala usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh Giggle Garage membuahkan hasil, apabila mereka menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah sepanjang pembabitan mereka di dalam industri animasi atas kejayaan mereka menghasilkan animasi-animasi bertaraf antarabangsa.


Antara trofi dan pengiktirafan yang diterima oleh Giggle Garage.

Antara anugerah yang dimenangi mereka termasuk, Golden Prize "Digital Contents Animation & Movie" 14th Tokyo Broadcast Systems (2012), Best Planning, Seoul Promotion Plan/Seoul International Cartoon & Animation Festival (2012), Merit Awards, Best Media and Entertainment, Asia Pacific ICT Awards 2013 (Malaysia), Best Animation 2013 NEF-AWANI Award (Malaysia), Highly Commended, Best 3D Animated TV Programme, 18th Asian Television Awards (2013) dan Most Admired Animation Company/ Best Animation Technology in Malaysia by Top10 Malaysia & Top10Asia Media.

Jika dilihat dari pencapaian yang berjaya dikecapi oleh Giggle Garage, nyata memperlihatkan bahawa mereka merupakan salah satu studio animasi yang mempunyai masa depan yang cukup cerah dan diharap karya-karya animasi terbaru yang akan diterbitkan oleh mereka kelak akan ditayangkan di Malaysia terlebih dahulu sebelum ia menembusi pasaran antarabangsa.


Ini adalah salah satu siri animasi terbitan Giggle Garage yang telah mendapat banyak pengiktirafan.

Cinema Online, 07 Mac 2016


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan