Studio Animasi Tempatan: Lil Critter Workshop | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Studio Animasi Tempatan: Lil Critter Workshop

Penulis: Ashraf Nasser


Lil Critter Workshop mempunyai misi untuk menembusi pasaran Barat.

Pembaca yang pernah membaca artikel rencana mengenai Studio animasi tempatan cipta kejayaan di peringkat antarabangsa dan artikel rencana bersiri mengenai studio animasi tempatan Giggle Garage, Animonsta Studios dan Les' Copaque baru-baru ini sudah semestinya menantikan artikel rencana terbaru.

Oleh itu, kali ini Cinema Online akan memperkenalkan studio animasi tempatan baru kepada pembaca-pembaca semua iaitu Lil Critter Workshop untuk mengenali mereka ini dengan lebih lanjut.

Lil Critter Wokrshop ditubuhkan oleh dua orang pemuda iaitu Walid Omar (Pengarah Pengurusan) dan Brian Chong Ian Fung (Pengarah Animasi & Rekaan) pada tahun 2013 yang mana mereka mempunyai misi dan visi untuk menghasilkan animasi-animasi bertaraf global.

Mereka mempunyai kepakaran dalam pembikinan dan membangun kandungan kreatif untuk program televisyen, media pendidikan, pengiklanan, hiburan interaktif dan banyak lagi.

Sehingga kini, Lil Critter Workshop telah bekerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh dunia dalam menghasilkan kandungan.


Tulang belakang Lil Critter Workshop, Brian Chong Ian Fung dan Walid Omar.

Animasi terbitan Lil Critter Workshop

Ketika ini mereka mempunyai beberapa siri animasi seperti "Hogie the Globehopper", "Dimension Ed", "Outlaw Dark" dan "The Toy Box". Bagaimanapun, kebanyakkan animasi ini masih lagi dalam proses pembikinan.

Menurut Walid, pihaknya mempunyai misi iaitu mahu memasarkan produk mereka ke pasaran Barat, oleh itu mereka banyak melabur dalam pembangunan awal, konsep dan kertas kerja untuk bersedia dengan pihak-pihak yang berminat dengan animasi yang mereka bentangkan, dan jika mereka berpuas hati dan mahu melabur baru mereka akan meneruskan produksi.

Bagaimanapun, mereka juga mempunyai siri animasi yang sudah ditayangkan seperti "Hogie the Globehopper" yang mana mempunyai 52 episod yang mengisahkan tentang seekor katak bernama Hogie dan rakan baiknya Bernie the Dragonfly dan Lorna the Duck mengembara ke seluruh dunia bersama, dan bertemu dengan kanak-kanak dari pelbagai budaya.

Selain itu, mereka juga mempunyai siri animasi "The Toy Box" yang mana kedua-dua siri animasi ini adalah untuk kanak-kanak berusia lingkungan 4-6 tahun.

Manakala, siri animasi "Dimension Ed" lebih kepada kanak-kanak berusia antara 6 – 12 tahun yang mana ia mengisahkan tentang seorang budak yang berharap dapat keluar dari kehidupannya yang bosan.

Tidak mahu dilabel sebagai animasi kanak-kanak sahaja, Lil Critter Workshop juga mempunyai siri animasi untuk golongan dewasa berjudul "Outlaw Dark" yang lebih terarah kepada komedi gelap.

Skim Wajib Tayang khas untuk animasi

Apabila ditanya mengenai pandangan mereka jika Skim Wajib Tayang khas untuk animasi ini diperkenalkan, kedua-dua Walid dan Brian menyambut baik cadangan itu. Ini kerana dengan skim tersebut, ia mampu membantu studio-studio animasi tempatan memperkenalkan produk masing-masing untuk penonton tempatan.

Mereka bagaimanapun berkata jika skim ini dilaksanakan, ia perlu mempunyai garis panduan yang perlu ditetapkan iaitu hanya animasi berkualiti sahaja akan diberi peluang. Dengan garis panduan ini, ia mampu melonjakkan industri animasi tempatan yang dilihat masih kurang mendapat pendedahan di negara sendiri.


Sekitar studio Lil Critter Workshop.

Pandangan mengenai industri animasi tempatan

Dalam pada itu, Walid berkata industri animasi tempatan kini semakin berkembang dan menunjukkan tanda-tanda positif apabila mendapat sokongan padu oleh pihak kerajaan seperti MDeC dan FINAS. Disebalik kemajuan yang memberangsangkan ini, Walid menyuarakan kebimbangannya terhadap 'orang kreatif' dalam industri animasi iaitu penulis skrip yang mana negara masih lagi kurang dari aspek itu. Oleh itu dia berharap pada masa akan datang akan lahir lebih ramai 'orang kreatif' yang akan membawa idea-idea segar dan baru untuk penonton.

Anugerah & pengiktirafan


Walid Omar ketika menerima anugerah di Korea Selatan (Sumber Foto: Animationxpress).

Walaupun usia mereka baru setahun jagung dalam industri animasi, namun mereka telah berjaya mencipta kejayaan sendiri apabila memenangi Best Planning Award untuk siri animasi "Hogie the Globehopper" di Seoul Promotion Plan-(SPP) 2015.

Cinema Online, 10 Apr 2016


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan