Studio Animasi Tempatan: Wau Animation | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Studio Animasi Tempatan: Wau Animation

Penulis: Ashraf Nasser


Pengasas Wau Animation, Mohd Faiz, Muhammad Usamah Zaid dan Fuad Md Din.

Minggu ini, pembaca akan diperkenalkan dengan sebuah lagi studio animasi tempatan yang masih baru. Ini adalah artikel rencana bersiri dan jika sebelum ini anda belum pernah membaca artikel terdahulu, boleh klik di sini untuk membaca rencana-rencana sebelum ini; Studio animasi tempatan cipta kejayaan di peringkat antarabangsa, Giggle Garage, Animonsta Studios, Les' Copaque dan Lil Critter Workshop.

Studio animasi tempatan yang akan diperkenalkan kali ini adalah Wau Animation untuk pembaca kenali mereka dengan lebih lanjut.

Wau Animation ditubuhkan oleh lima anak muda Muhammad Usamah Zaid bin Yasin, Mohd Faiz bin Mohd Hanafiah, Fuad bin Md Din, Mohd Nazmi Yatim dan Mohd Syafiq bin Mohd Isa selepas menimba pengalaman lebih 10 tahun dalam menghasilkan beberapa siri animasi dan filem yang berjaya mendapat anugerah.


Ketika pelancaran siri animasi televisyen "Ejen Ali" baru-baru ini.

Menurut ketiga-tiga anak muda ini, mereka pada mulanya tidak pernah terfikir satu hari mereka akan menubuhkan sebuah studio animasi memandangkan masing-masing mempunyai jawatan selesa di salah sebuah studio animasi besar di sini.

Percaturan ketiga-tiga anak muda ini mula menampakkan hasil apabila mereka berjaya mendapat rakan kongsi (kolaborasi) bersama Primeworks Studios untuk menghasilkan Intellectual Properties (IP) pertama mereka, "Ejen Ali", yang merupakan siri animasi televisyen yang kini ditayangkan.

Animasi terbitan Wau Animation

Ketika ini Wau Animation hanya mempunyai satu siri animasi berjudul "Ejen Ali" yang baru sahaja mula disiarkan. Animasi ini mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah biasa yang mempunyai rakan setugas (sidekick), iaitu seekor kucing bernama Comot. Walaupun Ali merupakan seorang pelajar sekolah, tetapi di luar waktu persekolahan dia merupakan seorang ejen rahsia yang mempunyai misi untuk menghalang serangan penceroboh.


"Ejen Ali" kisah seorang budak sekolah a.k.a ejen rahsia menentang kejahatan.

Walaupun siri animasi ini baru sahaja ditayangkan, ia telah berjaya membuka mata masyarakat terhadap animasi tempatan yang bukan sahaja berkualiti dari segi teknikalnya, malah turut mempunyai penceritaan yang bukan sahaja mampu menarik perhatian penonton di kalangan kanak-kanak, malah orang dewasa juga tertarik untuk menontonnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Usamah Zaid bin Yasin sebagai permulaan pihaknya telah menandatangani kontrak siri animasi "Ejen Ali" ini selama dua musim dahulu sebelum perbincangan menyambung kontrak dilakukan.


Antara barangan eksklusif "Ejen Ali".

Sementara itu, salah seorang daripada pengasas Wau Animation, Mohd Faiz pula berkata kolaborasi dengan Primeworks Studios ini adalah satu langkah yang baik kerana mereka boleh memberi tumpuan seratus peratus terhadap penghasilan animasi berkualiti tinggi tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk memasarkannya berikutan bahagian tersebut akan dilakukan oleh pihak Primeworks Studios.

Dalam pada itu, bercerita mengenai jalan cerita siri animasi "Ejen Ali", Fuad sekali pengarah kreatif memberitahu mereka sentiasa berbincang yang mana masing-masing dapat melontarkan idea sekaligus dapat menghasilkan jalan cerita yang menarik untuk setiap episod yang bakal ditayangkan.

Perancangan dalam tempoh 10 tahun Wau Animation

Setiap studio animasi pastinya mempunyai perancangan mereka tersendiri dalam memastikan produk keluaran mereka akan kekal relevan dari semasa ke semasa, dan melakukan perancangan adalah perkara yang penting.

Oleh itu, ketika ditanya apakah perancangan Wau Animation dalam tempoh lima tahun ini, Usamah berkata dalam tempoh lima tahun ini mereka akan memberi tumpuan kepada menghasilkan siri animasi "Ejen Ali" untuk lima musim dan akan muncul dengan dua buah filem animasi


Ketiga-tiga anak muda ini mahu membawa Wau Animation ke persada antarabangsa.

Pada masa sama, mereka juga akan mempertimbangkan untuk menamatkan siri animasi "Ejen Ali" untuk memberi laluan kepada siri animasi baru yang bakal dihasilkan kelak. Selain itu, Usamah juga memberitahu mereka akan mencari rakan kongsi dalam menghasilkan produk-produk keluaran mereka seperti permainan video, permainan patung dan lain-lain.

Wau Animation juga mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan pihak luar dalam memasarkan produk mereka ke serata dunia sekaligus melonjakkan nama studio animasi tempatan ini ke persada antarabangsa.

Pandangan terhadap industri animasi tempatan


Sementara itu, Usamah yang ditanya mengenai pandangan peribadinya terhadap industri animasi kini berkata industri animasi tempatan telah menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, dia juga memuji pihak kerajaan yang terdiri daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang tidak putus-putus memberi sokongan dan dorangan dari segi dana, nasihat dan juga kepakaran.

Mengakui kualiti animasi tempatan dengan animasi seperti Disney atau Pixar masih lagi mempunyai jurang yang agak jauh dari segi pengalaman, namun kandungan yang dihasilkan oleh studio animasi tempatan ternyata setanding dengan animasi-animasi luar negara.

Cinema Online, 26 Apr 2016


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan