Studio Animasi Tempatan: Les' Copaque | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Studio Animasi Tempatan: Les' Copaque

Penulis: Ashraf Nasser


Les' Copaque mahu terus menghasilkan animasi-animasi yang berkualiti.

Kepada pembaca yang pernah membaca artikel mengenai Studio animasi tempatan cipta kejayaan di peringkat antarabangsa dan artikel rencana bersiri mengenai studio animasi tempatan Giggle Garage dan Animonsta Studios, pastinya anda ternanti-nantikan artikel terbaru.

Untuk rencana bersiri kali ini, Cinema Online akan membawa pembaca-pembaca untuk mengenali dengan lebih lanjut mengenai Les' Copaque dan siapa tulang belakangnya yang berjaya melonjak nama studio animasi ini ke persada antarabangsa.

Les' Copaque telah ditubuhkan pada tahun 2006 oleh pasangan suami isteri Tuan Haji Burhanuddin dan isterinya Hajah Ainon yang mempunyai visi, iaitu menghasilkan cerita ringkas yang boleh dikaitkan kepada sesiapa tanpa mengira usia dan latar belakang menerusi animasi.


Artis-artis animasi Les' Copaque bekerja keras bagi menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa.

Selepas perbincangan dan perancangan rapi, maka lahir projek pertama Les' Copaque yang dilancarkan pada tahun 2007, dan sejak itu studio animasi tempatan ini tidak menoleh kebelakang lagi dan terus maju ke hadapan.

Les' Copaque kini bukan sahaja sebuah syarikat studio animasi sahaja, malah telah berkembang apabila mempunyai beberapa anak syarikat lain seperti LC Merchandising Sdn Bhd, LCP Animation Training Center Sdn Bhd, Geng's Corner, LC GDI .Inc dan Kedai Makan Upin & Ipin.

Animasi terbitan Les' Copaque


Filem dan siri animasi "Upin & Ipin" boleh dikatakan animasi tempatan paling terkenal di dalam dan di luar negara.

Animasi pertama mereka adalah "Geng Pengembaraan Bermula" yang dilancarkan bersama-sama siri animasi berjudul "Upin & Ipin" pada 11 September 2007. Bagaimanapun, siri animasi diriliskan terlebih dahulu bagi melihat dahulu respon penonton terhadap animasi tempatan.

Percubaan mereka telah berjaya apabila siri animasi "Upin & Ipin" telah mencetuskan fenomena dan kejayaan itu telah membuka peluang kepada Les' Copaque untuk meriliskan filem "Geng Pengembaraan Bermula" yang mana ia telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung iaitu lebih RM6.3 juta.

Selain siri animasi "Upin & Ipin", Les' Copaque juga mempunyai beberapa animasi lain terbitan mereka iaitu "Puteri" yang ditayangkan di TV3 sebagai percubaan, "Pada Zaman Dahulu" untuk saluran TV Al-Hijrah, "Ingat" (Iklan khidmat masyarakat), dan "Dadudido" yang ditayangkan di saluran YouTube Les' Copaque.


Siri animasi "Puteri" yang dihasilkan sebagai percubaan, namun mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Terbaru, Les' Copaque bakal muncul dengan filem 'live-action' pertama berjudul "Upin Ipin Jeng Jeng Jeng" hasil kolaborasi bersama KRU Studios. Menurut Hj Burhanuddin, kos pembikinan filem 'live-action' ini menelan sekitar RM5 juta dan dijangka akan ditayangkan pada hujung tahun 2016.


Filem 'live-action' "Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng" dijangka akan menemui penonton pada penghujung tahun 2016.

Selain itu, pengarah urusan Les' Copaque ini juga mendedahkan bahawa pihaknya sudah mempunyai perancangan untuk tampil dengan filem terbaru pada tahun 2017 yang mana ia akan didedahkan tidak lama lagi.

Pandangan terhadap industri animasi tempatan

Dalam pada itu, Hj Burhanuddin berpendapat bahawa studio animasi tempatan mempunyai kualiti dalam menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa, namun rata-rata tidak berani menghasilkan produk mereka sendiri atau IP (Intellectual Property) kerana bimbang tidak mendapat pulangan modal semula. Berikutan itu, banyak daripada mereka mengambil pendekatan untuk 'co-produce' atau kolaborasi dengan pihak-pihak stesen televisyen di luar negara seperti di Korea Selatan, Australia dan banyak lagi.


Tuan Hj Burhanuddin menyuarakan pandangannya terhadap industri animasi tempatan.

Selain itu, antara faktor lain yang menjadi punca kepada kekurangan animasi tempatan adalah bayaran stesen televisyen terhadap animasi yang dilihat masih lagi sedikit, sekaligus tidak dapat membantu studio-studio animasi ini berikutan kos pembikinan yang menelan belanja yang cukup besar. Walaupun industri animasi tempatan sokongan padu kerajaan dan MDeC menerusi suntikan dana yang diberikan kepada studio-studio animasi tempatan, namun pihak-pihak lain juga perlu memainkan peranan untuk melonjakkan lagi industri animasi tempatan.

Pada masa sama, Hj Burhanuddin turut menyentuh tentang kurangnya orang kreatif dalam industri animasi tempatan (penulis skrip) yang mana ramai ketandusan idea untuk menghasilkan sebuah naskhah yang mempunyai jalan cerita yang menarik. Oleh itu, beliau berharap agar masalah ini mampu diatasi dalam masa beberapa tahun akan datang ini.

Perancangan membina taman tema

Dalam pada itu, Hj Burhanuddin turut memberitahu bahawa pihak Les' Copaque mempunyai tanah seluas 200 ekar di Sepang, Selangor yang mana mereka mempunyai perancangan untuk membangunkan sebuah taman tema terbesar di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara. Menurut beliau, taman tema tersebut yang menampilkan karakter-karakter animasi terbitan Les' Copaque akan mempunyai pelbagai tarikan untuk semua lapisan umur.


Plan lakaran awal taman tema "Upin & Ipin" yang dirancang.

Hj Burhanuddin bagaimanapun berkata perancangan itu masih belum dapat direalisasikan berikutan pihaknya masih lagi mencari pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur dalam taman tema ini. Tambah beliau lagi, pihaknya memerlukan pelaburan sebanyak RM1 billion untuk merealisasikan taman tema ini.

Anugerah dan pengiktirafan


Antara trofi-trofi anugerah yang berjaya dirangkul oleh Les' Copaque.

Setiap usaha keras pastinya akan terbalas dengan sesuatu dan bagi Les' Copaque, mereka telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Antara anugerah dan pengiktirafan yang diterima mereka adalah International Quality ERA Award, Geneva (2013), Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012, Lolipop Award, Festival Filem Malaysia ke-22, Shout Awards (2009) dan banyak lagi.

Cinema Online, 02 Apr 2016

Filem Berkaitan:
GENG: PENGEMBARAAN BERMULA (Melayu) (12 Feb 2009)
Upin Dan Ipin: Jeng Jeng Jeng! (Melayu) (24 Nov 2016)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan