Rencana
Prestasi industri filem tempatan pada suku pertama 2017 merosot!


Tarikh disiarkan: 26 Mac 2017


Diharap suku kedua akan menunjukkan perkembangan positif dan seterusnya.

Apa sudah jadi! Nampaknya momentum kecemerlangan industri perfileman pada tahun 2016 tidak berjaya diteruskan pada awal tahun 2017 ini apabila kutipan filem tempatan pada suku pertama merosot teruk berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Tahun lalu, industri perfileman tempatan dilihat seperti sudah menunjukkan perningkatan mendadak selepas kemerosotan teruk beberapa tahun sebelum itu apabila berjaya mengutip lebih RM39 juta dengan beberapa buah filem seperti "Munafik" dan "Boboiboy The Movie" yang masing-masing berjaya mengutip lebih RM15 juta.

Untuk suku pertama tahun 2017, jumlah kutipan hanyalah sekitar RM6.1 juta sahaja dan jumlah ini kurang 20 peratus dari kutipan pada tempoh sama tahun lalu. Apa sebenarnya yang berlaku? Adakah industri perfilem tempatan kembali terjerumus dalam masalah sama lagi?

Tidak dapat dinafikan dengan keadaan ekonomi sekarang, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat, mungkin menjadi punca kepada kemerosotan atau jualan tiket filem tempatan.

Jika dilihat secara kasarnya ada betulnya juga, tetapi cuba anda fikir sekiranya isu ekonomi dan kos sara hidup menjadi punca kemerosotan filem, mengapa setiap tahun semakin banyak pawagam dibuka selain pawagam sedia ada dinaik taraf dan sebagainya?

Jawapan kepada persoalan ini adalah satu sahaja, filem tempatan masih lagi tidak berkualiti! Tetapi perlu diingatkan bukan semua filem tempatan tidak berkualiti, tetapi hanya sedikit sahaja filem yang berkualiti dihasilkan, selebihnya anda sendiri tahu macam mana.

Cinema Online pernah menemubual salah seorang pengarah operasi sebuah rangkaian pawagam tempatan yang mana beliau memberitahu industri pawagam di Malaysia menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun sekaligus menafikan dakwaan kononnya masalah ekonomi dan kos sara tinggi menjadi punca kepada kemerosotan kutipan filem.

Kualiti filem masih di takuk lama

Rasanya masalah ini adalah satu-satu masalah yang membelungu industri perfileman sejak lama dan sehingga kini tidak banyak perubahan yang berlaku. Tidak dapat dinafikan sudah ada pembikin filem yang berani berfikir di luar kotak dan menghasilkan karya-karya hebat bertaraf antarabangsa, namun jumlah tersebut hanyalah sedikit dan selebihnya masih lagi sama. Kami masih lagi menghasilkan filem-filem klise dengan kualiti yang sangat mengecewakan. Kita sudah berada pada tahun 2017 yang mana teknologi semakin hari canggih dan mudah diakses, oleh itu gunalah sebaik mungkin. Jangan hanya memikirkan soal keuntungan sahaja daripada menghasilkan sebuah naskhah berkualiti.

Seperti diperkatakan, masih ada naskhah berkualiti dan salah satunya adalah filem "Adiwiraku" yang kini sedang ditayangkan di pawagam. Rata-rata pihak media dan pengkritik filem memuji filem ini yang dikatakan mempunyai pakej lengkap sebagai sebuah nashkah bagus, biarpun tidak dibintangi oleh barisan pelakon terkenal. Namun yang menyedihkan adalah filem ini tidak mendapat sambutan kerana kekurangan bajet untuk melakukan promosi. Filem sebagus ini memerlukan promosi untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

Berbeza pula dengan sebuah lagi filem yang mana ia sebuah filem aksi dengan bajet besar dan dibintangi oleh barisan pelakon iaitu, "J Revolusi", yang kini menjadi penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 80 peratus kutipan suku pertama dengan kutipan lebih RM4 juta setakat ini. Jika dilihat dari maklum balas pihak media dan pengkritik filem, rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan hasil akhir filem ini yang mana mereka merasakan jalan cerita yang dipaparkan longgar dan kemampuan pelakon tidak digunakan sebaik-baiknya. Walaubagaimanapun, filem ini tetap berjaya, mengapa? Kerana promosi berteruskan yang dibuat oleh pihak penerbit telah menimbulkan perasaan keterujaan penonton untuk ke pawagam menonton filem tersebut.

Penerbit filem juga perlu berfikiran seperti seorang usahawan

Dalam zaman yang sedang membangun dengan pesat ini, masih ada lagi penerbit-penerbit filem yang bergantung kepada bantuan kerajaan atau dana dari Lembaga Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menghasilkan filem. Bukan hendak mengatakan penerbit filem perlu berhenti dari meminta dari FINAS, sebaliknya cuba berfikir seperti seorang usahawan dalam menghasilkan filem seperti pembikin-pembikin filem di luar negara terutamanya di Hollywood.

Perkara itu disuarakan oleh mantan Ketua Pengarah FINAS, Dato' Kamil Othman ketika bertemu dengan Cinema Online baru-baru ini. Menurut beliau, industri perfileman tempatan masih lagi berada pada takuk lama iaitu menghasilkan filem untuk pasaran tempatan sahaja dan ini menyebabkan jumlah keuntungan terhad. Kamil menggesa pihak penerbit berusaha untuk mencari pelabur-pelabur supaya dapat membantu dari segi kos pembikinan sekaligus dapat menghasilkan sebuah filem yang lebih berkualiti.

Kamil turut mencadangkan agar rumah produksi tempatan mengorak langkah dengan berkolaborasi dengan rumah produksi dari luar negara supaya filem tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa dan secara tidak langsung memperkenalkan filem Malaysia di seluruh dunia.

Selain itu, dengan kolaborasi antara produksi dengan negara lain, ia juga dapat menghasilkan sebuah naskhah 'universal', sekaligus mampu menarik penonton dari negara lain untuk menonton filem Malaysia.

Harap suku kedua dan seterusnya akan berubah

Mungkin terlalu awal untuk kita memperkatakan situasi sebenar industri perfileman tempatan jika dinilai pada suku pertama untuk tahun ini. Jadi apa yang boleh kita lakukan adalah tunggu dan lihat pada suku kedua nanti dan seterusnya sehingga hujung tahun ini. Diharap kita mampu meneruskan momentum cemerlang tahun lalu, atau pun mengatasi kutipan pada tahun lalu, barulah kita boleh cakap industri filem tempatan semakin berkembang.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide