ImagineX Studios, hero audio di sebalik "Jailbreak" dan banyak lagi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

ImagineX Studios, hero audio di sebalik "Jailbreak" dan banyak lagi

Penulis: Erny Suzira


Ketua Studio ImagineX Studio, Boon (Kiri) dan Pengurus Besar, Jazzlyn (Kanan).

Sebagai salah sebuah studio muzik, rekaan bunyi dan 'mixing' terhebat di Asia, ImagineX Studios terus cemerlang menghasikan kerja audio yang hebat untuk 'live-action' dan filem animasi, siri televisyen, permainan video di semua platform, kandungan untuk dalam talian atau telefon pintar, beribu iklan radio dan tv di seluruh dunia.

Diasaskan oleh Mike Bloemendal dan Leon Tan yang mempunyai gabungan pengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan media digital dalam rantau ini, ImagineX Studios telah memberikan hasil audio yang cukup hebat dalam setiap projek mereka selama 19 tahun sehingga kini.

Antara hasil kerja hebat yang pernah dilakukan mereka adalah dalam filem "Polis Evo", "Munafik", "Harry and Bunnie", "Saving Mr Wu", "War of the Worlds: Goliath", "Bunohan" dan "Seefood".

Terbaru projek filem aksi seperti "Prison Break", yang dibintangi oleh pelakon lagak ngeri antarabangsa Jean-Paul Ly, yang pernah terlibat dengan beberapa buah filem pecah panggung termasuk "Marvel's Doctor Strange", "Lucy", "24 Live Another Day", "Now You See Me 2", "Grimsby", "The Girl with all the Gifts" dan banyak lagi.


Jean-Paul Ly dan Dara Our adalah watak utama dalam filem ini.

Filem ini dibintangi oleh Dara Our, pelakon filem Khmer berjudul "Hanuman", Savin Philip, Celine Tran, Tharoth Sam dan juga Sisowath Siriwudd.

Telah ditayangkan di Kemboja pada 31 Januari 2017, "Jailbreak" berkisarkan tentang Playboy, seorang ketua kumpulan yang mengkhianati kumpulan demi mengurangkan hukumannya. Bagaimanapun ketika diiringi ke sebuah penjara, rusuhan besar telah berlaku di mana dia menjadi sasaran banduan.

Ketua Studio, Raja Ahmad Shaidaley atau lebih dikenali dengan Boon, dan juga Pengurus Besar, Jazzlyn Loh berkongsi mengenai ImagineX Studios dan bagaimana bekerja dengan audio boleh menjadi sesuatu yang memberi inspirasi.

Bagaimana ImagineX Studios beroperasi

Seperti biasa, pasukan ImagineX akan duduk bersama pengarah dan penerbit sebelum memulakan projek.

"Pendekatan untuk pengiklanan dan filem hampir sama. Tetapi untuk filem, sebelum semuanya bermula, kami sentiasa ada sesi bersama pengarah dan penerbit. Mereka akan memberitahu kami 'feel' apa yang mereka mahu untuk filem mereka, kerana jika anda perasan ada filem yang sangat minimalis – maksudnya kurang bunyi sementara ada filem yang banyak bunyi seperti filem aksi," ujar Raja Ahmad Shaidaley a.k.a Boon.

Sesi taklimat dilakukan supaya mereka tidak akan membuat perkara sama dua kali. Jadi selepas sesi, mereka akan melakukan perkara kecil dari filem itu terlebih dahulu dan menunjukkan kepada pengarah supaya semuanya seperti yang dimahukannya.

Dengan "Jailbreak" menampilkan filem aksi tanpa henti, jadi bayangkan kerja audio yang perlu dibuat untuk memastikan bunyi setiap tumbukan, tendangan dan tamparan kedengaran seperti yang sebenar.


Bilik mesyuarat di mana pasukan studio akan mengadakan sesi taklimat bersama pengarah dan penerbit.

Sebagai pereka kreatif

Ada kalanya mereka (pereka kreatif) perlu membuat keputusan untuk memasukkan bunyi atau muzik apa kerana ada segelintir pengarah tidak ada idea. Oleh itu, mereka sentiasa melakukan perbincangan dan ketengahkan beberapa idea yang sesuai dengan visi pengarah.

"Jadi pada masa sama, kami juga pereka kreatif sebagai mana kami kadang-kala yang mereka bunyi untuk mereka dan selalunya mereka sukakannya. Kami sering melakukan rekaan bunyi sehingga kami sangat mahir. Jadi kebanyakkan masa, kami akan membantu mereka ketika proses menghasilkan bunyi, ujarnya Pengurus Besar, Jazzlyn Loh.


Bilik merakam audio.

Bahagian proses paling sukar

Menurut orang kuat dari ImagineX Studios, bahagian paling sukar dalam proses audio adalah bagaimana untuk menyakinkan pelanggan mengapa ia mengambil masa, mengapa proses itu menelan belanja untuk sekian jumlah, dan mengapa perlu banyak orang untuk menyiapkan kerja.

"Secara jujurnya, walaupun seorang boleh melakukan untuk sebuah filem, tetapi kualiti tidak akan bagus, namun jika dia diberi masa sepanjang tahun untuk menyiapkan kualitinya pasti berbeza. Jadi jika mereka mahu filem itu disiapkan dalam tempoh dua bulan dengan bunyi yang hebat pada masa sama, jadi kami perlukan pasukan untuk bahagian berbeza seperti suntingan dialog, efek bunyo, rekaan bunyi, kerja 'foley' dan 'mixing'. Jadi ia perlukan ramai orang dan ini akan meningkatkan kos, tetapi apa yang penting kualitinya juga akan bagus," jelas Boon.


Jazzlyn dan tenaga kerja di produksi audio.

Persepsi salah terhadap produksi audio

Menurut Jazzlyn, terdapat persepsi salah apabila berkaitan dengan produksi audio yang mana mereka merasakan ia satu kerja yang senang, tetapi realitinya sebalik.

"Apabila anda menonton filem bagus, semua bunyi-bunyinya sempurna dan dengar semulajadi. Tetapi jika anda lihat di belakang tabir, banyak bunyi yang di buat semula dan ditambah untuk membuatkan bunyi kedengaran realistik."

"Saya tidak terkejut apabila orang merasakan prosesnya mudah kerana tujuan utama adalah untuk membuatkan filem mempunyai bunyi yang semulajadi seperti orang normal dengar dalam kehidupan sebenar," ujar Boon.

Boon juga menjelaskan yang tidak semua akan dirakam ketika di lokasi sebagai mana ada beberapa babak yang mungkin dirakam di dalam studio yang sangat sunyi dan banyak bunyi perlu dimasukkan dalam babak itu untuk membuatkan bunyi persekitaran, kerana sekiranya anda rakam di lokasi babak terdapat beberapa faktor yang anda tidak boleh kawal sebagai bunyi dan cuaca, berbeza di studio anda boleh mengawal masa, pencahayaan dan perkara lain.

Persamaan dengan efek visual

Produksi audia lebih kurang sama dengan produksi efek visual di mana ia mempunyai banyak lapisan untuk menghasilkan babak. Sama juga dengan audio di mana perlu membuat banyak lapisan audio untuk setiap babak.

"Kerja kami lebih kepada memberi kehidupan kepada keseluruhan filem. Itu sebab mengapa orang berhenti menonton filem senyap, dan mengapa pihak pawagam sentiasa melabur untuk mendapatkan sistem bunyi terkini, dan mengapa lebih banyak kelengkapan audio semakin bagus banyak dicipta," tambah Boon.


Salah satu studio.

Hasil kerja yang membanggakan

Apabila ditanya mengenai hasil kerja paling mereka puas hati dan bangga, pakar audio ini memberitahu filem "Hungry Ghost Ritual" kolaborasi produksi Malaysia-Hong Kong yang dibintangi oleh Nick Cheung yang telah memenangi Penataan Bunyi Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM 27).

Bagaimanapun, Boon dan Jazzlyn juga berkata antara sebab mereka suka bekerja dalam filem bukan kerana dapat menang anugerah, tetapi proses kolaborasi antara pengarah yang sangat positif sebagaimana diberi banyak lesen kreatif untuk projek tersebut.

Selain dari itu, antara projek lain yang membanggakan adalah siri animasi TV berjudul "Insectibles".

"Kami telah banyak melakukan siri TV sebelum ini, tetapi siri ini mempunyai skrip yang cukup bagus dan mereka bunyi untuk animasi ini sangat seronok," jelas Jazzlyn.

Siri animasi ini adalah kolaborasi antarabangsa kerana bunyi dilakukan di Malaysia, animasi pula dibuat di Singapura dan Indonesia, manakala bakat pula dari Amerika, Kanada dan Malaysia juga.


Treler "Insectibles".

Tak cukup pengiktirafan?

Menjadi orang yang bekerja di belakang tabir filem dan siri, Jazzlyn dan Boon akui kadang kala mereka tidak mendapat cukup pengiktirafan dari industri walaupun kerja mereka sangat penting dalam penghasilan filem.

"Ia agak sedih walaupun kami mendapat pengiktirafan, ia selalu disisihkan. Majlis kami selalu diasingkan daripada acara utama," ujar Jazzlyn.

"Kami berharap orang akan mula mengiktiraf kerja keras semua orang di belakang tabir, dan sedar betapa sukarnya. Bukan sekadar audio, tetapi visual juga. Lihat filem "Life of Pi", orang yang mendapat pengiktirafan adalah pengarah dan pelakon, tetapi adakah anda tahu betapa sukarnya untuk menghasilkan babak CGI dan efek dalam "Life of Pi"?, tambahnya.

"Kami hanya berharap yang penerbit dan pengarah akan sedar kerja keras dan dedikasi kami. Kami tidak perlu pengiktirafan di layar lebar, kami cuma perlu pengiktirafan daripada penerbit dan pengarah sahaja, dan berharap mereka akan terus menyokong kami di masa depan kerana kerjasama berterusan merupakan salah satu pengiktirafan."


ImagineX Studios menang Penataan Bunyi terbaik di FFM27 menerusi filem "Hungry Ghost Ritual".

Beri peluang kepada bakat di Malaysia!

Sehingga hari ini, ramai orang masih percaya yang kerjaya antarabangsa lagi bagus dari hasil kerja tempatan. Sementara ramai yang mula mengubah persepsi dengan kehadiran beberapa buah filem hebat tempatan, namun masih ada yang dengan pemikiran kolot.

"Ada segelintir penerbit yang mempunyai pemikiran seperti ini iaitu mendapatkan tenaga pakar di luar Malaysia, tetapi tidak perlu pun kerana kita sudah melihat beberapa hasil kerja luar negara pun tidaklah bagus mana," ujar Jazzlyn.

Perkara ini berlaku kerana Malaysia masih lagi dianggap sebagai negara yang baru dalam pos-produksi tetapi industri ini telah berkembang pesat sejak beberapa tahun.

"Terdapat ramai orang berpengalaman jadi tidak perlu pergi luar Malaysia apabila anda boleh menyiapkan filem di sini. Tetapi tidak ramai yang diberi peluang untuk membuktikan diri mereka kerana kerja selalu diberi kepada orang luar. Pembikin filem tempatan sepatutnya memberi peluang kepada orang tempatan untuk membuatnya."

Projek terkini

ImagineX Studios baru sahaja selesai dengan filem "Jailbreak" apabila melakukan keseluruhan produksi audio termasuk rekaan bunyi dan adunan terakhir untuk filem terbitan dari Kemboja ini.

Pos-produksi visual filem itu pula dibuat oleh rumah produksi Malaysia iaitu Basecamp Films yang sering bekerjasama dengan ImagineX Studios.

Selain itu, ImagineX juga sedang dalam proses menyiapkan filem berjudul "Destruction LA", yang mana melakukan penggambaran di Los Angeles, dan sebanyak 80 peratus pos-produksi dilakukan di Malaysia.


Treler "Jailbreak".

Nasihat kepada mereka yang ingin ceburi bidang produksi audio

"Pertama, mereka perlu memastikan mereka berada dalam kerja ini kerana mereka sukakan dan sanggup mengorbankan banyak masa untuk berada dalam industri ini, kerana berada dalam kerjaya ini kerja sangat memenatkan dan selalunya perlu bekerja lebih masa, sehingga lewat malam malahan sehingga hujung minggu juga. Jadi sangat penting untuk ada semangat kerana ia adalah faktor utama yang akan membawa anda maju.

"Kerana berdasarkan pengalaman sama, ada sesetengah orang bekerja dalam bidang ini kerana glamor dengan jawatan sebagai Pereka Bunyi atau Jurutera Bunyi, mereka ini tidak boleh pergi jauh kerana mereka bukan mempunyai minat mendapat, tetapi lebih kepada persekitaran kerja yang nampak seperti relek," tambahnya.

"Jadi nasihat saya kepada mereka yang ingin masuk ke industri ini, tanya diri anda dahulu 'Adakah anda betul-betul mahu berada dalam industri ini?' atau hanya sekadar suka-suka?"


Boon dan Jazzlyn di hadapan pejabat ImagineX Studios.

Cinema Online, 21 Okt 2017

Filem Berkaitan:
Jailbreak (Khmer) (02 Nov 2017)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan