Rencana
"KL Wangan" filem wajib tonton Disember ini!


Tarikh disiarkan: 17 Disember 2017


Salah satu babak dalam "KL Wangan" ketika dalam pembikinan.

Rasanya sejak filem "KL Wangan: Bikin Gempak" dilancarkan, ia sudah mula menimbulkan keterujaan daripada peminat yang rata-rata tidak sabar untuk menunggu filem ini ditayangkan di pawagam kerana dikatakan bakal menjadi penanda aras baru bagi filem yang mengetengahkan mengenai perlumbaan kereta.

Tidak dapat dinafikan majoriti penonton di Malaysia kini lebih gemarkan filem aksi, oleh itu tidak hairanlah semakin ramai pembikin filem cuba mengikut jejak langkah filem aksi yang berjaya mendapat kutipan belasan juta termasuklah filem "KL Wangan".


Ia berkisarkan tentang dua sahabat Hong dan Yudi yang merupakan bekas pelumba kereta jalanan. Selepas bertahun membawa haluan masing-masing, kedua-dua mereka secara tidak sengaja telah bertemu semula dalam satu perlumbaan.

Berdasarkan treler yang diriliskan baru-baru ini, ia tampak cukup hebat dan membuatkan penonton semakin tidak sabar untuk menontonnya.

Jadi kali ini Cinema Online ingin senaraikan beberapa sebab mengapa anda perlu tonton filem "KL Wangan: Bikin Gempak" apabila ia mula ditayangkan pada 21 Disember ini.

Diarahkan oleh Pekin Ibrahim

Nama Pekin Ibrahim tidak asing lagi dalam dunia filem tempatan kerana dia bukan sahaja seorang pelakon yang berkebolehan, tetapi juga seorang pengarah muda yang berbakat besar. Filem "KL Wangan" merupakan filem kedua arahannya dan yang pertama terbitannya. Pekin membuat kemunculan dalam bidang pengarahan menerusi filem "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit" dan ia telah berjaya mendapat sambutan daripada penonton.

Filem arahan bersama Syafiq Yusof itu telah berjaya mendapat kutipan lebih RM4 juta. Jika dalam filem "Mat Moto" Pekin memberi fokus kepada dunia motorsikal, namun dalam "KL Wangan" dia mengetengahkan budaya 'Wangan' di kalangan penduduk Jepun atau lebih dikenali sebagai perlumbaan waktu malam.

Dapat penajaan daripada Volkswagen

Percaya atau tidak, filem "KL Wangan" merupakan yang pertama dan satu-satunya filem tempatan yang mendapat penajaan daripada syarikat pengeluar kereta terkemuka dunia iaitu Volkswagen. Jumlah penajaan terhadap filem ini bernilai jutaan ringgit yang mana sebanyak beberapa buah kereta berkuasa tinggi Volkswagen seperti Golf R, Golf GTI dan Beetle akan digunakan untuk filem ini.

Selain penajaan kereta, "KL Wangan" turut menerima penajaan dari segi wang untuk melancarkan penghasilkan filem ini yang merupakan sebuah filem bajet besar yang dianggarkan sekitar lebih RM6 juta. Sekiranya filem ini berjaya mendapat sambutan hangat daripada penonton, tidak mustahil sekuel filem ini akan dihasilkan.

Tampil dengan jalan cerita yang menarik

Sekiranya anda mengikuti Pekin Ibrahim, pasti anda tahu bahawa dia sentiasa selektif dalam setiap naskhah yang dibintangi atau diarahkan olehnya. Ini kerana dia tidak suka dilabel 'klise' dan mahu sentiasa tampil berbeza dan yang paling utama: kualiti. Kualiti merupakan elemen yang cukup penting bagi memastikan sesebuah naskhah itu berjaya.

Ya, memang sebelum ini kita pernah disajikan dengan filem yang berkisarkan tentang perlumbaan kereta seperti "Impak Maksima" dan "KL Drift" tetapi dalam filem ini Pekin cuba mengetengahkan budaya lumba kereta Jepun dan ini sesuatu yang menarik, yang mana tidak ramai yang tahu dengan dunia lumba kereta jalanan di Jepun. Oleh itu, ia mengundang perasaan ingin tahu yang menebal di kalangan penonton.

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat

Seperti yang kita ketahui, pengarah Pekin Ibrahim akan turut membintangi filem ini sebagai teraju utama bersama pelakon senior Faizal Hussein. Walaupun sudah berusia setengah abad, namun masih ramai yang percaya dengan kemampuan Faizal untuk membawa watak aksi yang mana boleh dikatakan hampir kesemua babak aksi dilakukan sendiri.

Selain itu, pengarah turut menampilkan pelakon aksi terkenal Indonesia, Donny Alamsyah yang pernah membintangi filem aksi pecah panggung seperti "The Raid", "Merantau Warrior" dan banyak lagi. Antara pelakon lain yang turut terlibat adalam Kazuto Soon, Emily Lin dan Jasmine Suraya serta ramai lagi.

Filem berbajet besar

Cinema Online sebelum ini pernah berpeluang menemubual Pekin bagi berkongsi dengan lanjut mengenai pembikinan filem "KL Wangan" ini dan Pekin tidak berselindung apabila bercakap mengenai bajet yang dikeluarkan dalam filem ini. Menurutnya, filem "KL Wangan" menelan belanja lebih RM7 juta. Ia satu jumlah yang cukup tinggi namun Pekin enggan menganggap ia sebagai kerugian, sebaliknya mahu memastikan filem arahannya itu berkualiti. Oleh sebab itu dia sanggup mengeluarkan belanja besar.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: