Rencana
Mampukah industri filem tempatan tahun ini atasi prestasi 2016?


Tarikh disiarkan: 7 Januari 2017


Apa pandangan anda mengenai filem sepanjang tahun 2016?

Kita baru sahaja memasuki tahun baru iaitu tahun 2017 beberapa hari yang lepas, dan ia merupakan satu lagi tahun mencabar buat industri perfileman tempatan dek masalah kejatuhan duit ringgit ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

Sebelum itu, Cinema Online ingin mengucapkan tahniah kepada beberapa buah filem tahun 2016 yang mana telah mencipta rekod dan sejarah baru dalam industri perfileman tempatan apabila filem "OlaBola" (Chiu Keng Guan), "BoBoiBoy The Movie" (Nizam Razak) dan "Munafik" (Syamsul Yusof) telah berjaya mendapat kutipan lebih RM15 juta.

Kejayaan tiga buah filem ini sekaligus telah memberi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang dilihat semakin tenat apabila kebanyakkan filem tempatan sudah tidak lagi mendapat sambutan daripada penonton tempatan.

Jika dikira kutipan keseluruhan dalam tempoh tiga tahun iaitu dari tahun 2014, 2015 dan 2016, sememangnya tahun lalu memperlihatkan kutipan filem keseluruhan sebanyak RM78, 637,389.80.

Kutipan ini adalah adalah tinggi berbanding dua tahun sebelumnya yang mana pada tahun 2015 memperolehi kutipan sebanyak RM52,800,912.65, manakala pada tahun 2014 pula mengutip sebanyak RM74,611,454.02.

Apa yang membuatkan tahun 2016 sangat meningkat biarpun filem yang dihasilkan hampir kurang separuh dari dua tahun sebelumnya - iaitu hanya 46 buah filem berbanding 80 buah filem (2015) dan 81 buah filem (2014) - hanyalah kerana tiga buah filem yang disebut di atas yang mana jumlah kutipan ketiga-tiga filem ini sahaja sudah lebih RM48 juta, iaitu lebih 50 peratus daripada kutipan keseluruhan.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa bahawa prestasi industri perfileman pada tahun 2016 amat membanggakan kerana berjaya menarik penonton ke pawagam semula, namun secara peribadinya penulis tidak berasa sedemikian.

Tidak dapat dinafikan tahun lalu kita dapat melihat peningkatan mendadak apabila penonton kembali ke pawagam, tetapi realitinya mereka hanya menonton filem tertentu sahaja, selebihnya masih lagi sama dan malah semakin teruk.

Apa yang boleh dirumuskan sepanjang tahun 2016 adalah penonton kini sudah bijak menilai kualiti sesebuah filem itu sebelum mereka ambil keputusan untuk menontonnya di pawagam agar berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.

Percaya atau tidak tahun lalu ada filem yang hanya berjaya mengutip RM1,900 sahaja (nak tahu filem apa baca artikel Filem Tempatan Dapat Kutipan Hambar 2016), dan rata-rata filem lain turut mendapat kutipan yang agak mengecewakan.

Oleh itu timbul persoalan adakah tahun ini momentum 'membanggakan' tahun lalu akan berterusan? Mungkin juga kerana tahun ini terdapat beberapa buah filem besar yang bakal ditayangkan (baca artikel Filem Tempatan Yang Dijangka Pecah Panggung 2017), tetapi apa sekali pun kita kena tunggu dan lihat nanti.


Filem "Dorm Melati" dan "Love From Kampung" bakal membuka tirai tahun 2017.

 

Filem tahun 2017


Jika Januari tahun lalu sebanyak empat buah filem ditayangkan yang mana dua daripadanya mendapat kutipan masing-masing lebih RM4 juta dan RM16 juta, namun untuk Januari tahun ini hanya duah buah filem tempatan sahaja yang akan ditayangkan, iaitu filem seram "Dorm Melati" dan filem Kantonis "Love From Kampung" yang mana harapan untuk mengulang kejayaan bulan sama tahun lalu tampak mustahil dan tipis.

Tidak mengapa, mungkin tahun ini permulaannya sedikit perlahan dan akan mula meningkat dari semasa ke semasa. Jika itu berlaku, ia adalah petanda positif buat industri perfileman tempatan. Tetapi jika sebaliknya berlaku, ia adalah perkara yang sangat membimbangkan bukan sahaja kepada industri filem itu sendiri, tetapi juga kepada produser dan pembikin filem yang berkemungkinan akan gulung tikar.


Beberapa buah filem tempatan tahun ini yang dijangka bakal meletup
dan mendapat kutipan pecah panggung.


Kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bekerja keras dan mengambil langkah proaktif dalam gerak kerja bagi membangunkan industri perfileman tempatan.

Antaranya adalah dengan memberi Insentif Tayangan Filem Cereka (ITF) kepada pembikin filem dan juga menjalankan program promosi dengan pawagam, sekaligus menyediakan maklumat statistik kepada pembikin filem untuk rujukan mereka.

Dengan segala usaha dan bantuan daripada pihak FINAS, ia sepatutnya dapat memberi suntikan semangat buat pembikin filem tempatan untuk menghasilkan sebuah karya berkualiti dan bertaraf antarabangsa, dan bukannya hanya buat filem 'tangkap muat' sahaja atau sekadar mahukan keuntungan tanpa memikirkan soal kualiti.

Harapan penonton tempatan


Setiap tahun sudah pastinya harapan terhadap filem tempatan semakin meningkat seperti filem-filem luar negara yang semakin hari semakin maju dengan penggunaan teknologi dan gadjet canggih untuk menghasilkan kualiti filem yang terbaik.

Ya, mungkin kita tidak mampu dari segi penggunaan teknologi dan bajet yang besar, tetapi kita boleh menggunakan daya kreativiti untuk menghasilkan filem-filem bertaraf antarabangsa seperti filem "Bunohan", "Redha" dan "Lelaki Harapan Dunia" yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dengan beberapa buah filem yang dijangka akan mendapat sambutan seperti "KL Special Force", "JRevolusi", "Tombiruo: Penunggu Rimba" dan beberapa lagi, ia dapat dijadikan sebagai penanda aras buat pembikin-pembikin filem lain untuk menghasilkan sebuah filem berkualiti dan juga membuat keuntungan pada masa yang sama. Jika ini berlaku, ia akan menimbulkan situasi menang-menang di antara penonton dan juga pembikin filem.

Diharap tahun ini industri perfileman tempatan akan terus mengorak langkah ke hadapan dan berkembang!

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide