Rencana
"Suatu Ketika" sebuah karya inspirasi & perpaduan


Tarikh disiarkan: 3 September 2017


Barisan pelakon ketika penggambaran berlangsung.

Industri filem tempatan tidak pernah kekurangan filem biarpun keadaan semasa menunjukkan sebaliknya, namun masih terdapat pembikin filem yang masih lagi mempunyai nilai 'passion' untuk terus berjuang dengan menghasilkan karya-karya bermutu untuk tontonan penonton tempatan.

Terbaru, seorang pengarah berbakat besar Prakash Murugiah bakal tampil dengan sebuah filem berjudul "Suatu Ketika" dan tidak dapat dinafikan ia merupakan percubaan yang berani buat pengarah untuk tampil dengan sebuah karya seperti ini.

Jika ramai pembikin filem lain lebih memberi tumpuan kepada filem-filem bergenre komersial seperti aksi, seram, komedi, romantik, namun Prakash mempunyai falsafahnya tersendiri iaitu tampil dengan sebuah naskhah yang mengangkat tema inspirasi dan perpaduan di kalangan masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa.

Mungkin ramai yang kurang gemar dengan naskhah dengan tema seperti itu, namun ia sudah terbukti mampu menarik minat penonton seperti filem "Ola Bola" yang telah berjaya mendapat kutipan belasan juta apabila tampil dengan filem yang diinspirasikan daripada kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan pada tahun 70an.

Namun untuk filem "Suatu Ketika", ia bukanlah seperti filem "Ola Bola" sebaliknya hanya menggunakan bola sepak sebagai medium atau sebagai penggerak jalan cerita ini.

Ia berkisarkan tentang sekumpulan pelajar sekolah tempatan berlainan bangsa melalui detik-detik susah dan senang bersama ketika berlatih dalam sukan bola sepak untuk menentang pasukan yang lebih kuat daripada mereka. Biarpun ada kalanya mereka berasa seperti mahu berputus asa, namun ada insan yang sentiasa ada untuk memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan.


Pengarah Prakash Murugiah gembira apabila penggambaran berjalan dengan lancar.

Tercetusnya idea untuk hasilkan "Suatu Ketika"

Menurut pengarahnya, Prakash berkata idea untuk menghasilkan filem "Suatu Ketika" sudah lama iaitu sejak tahun 2011 di mana dia bersama penerbitnya Prabakar Murugiah telah mengembangkan idea tersebut ke dalam skrip untuk mengangkat naskhah ini ke layar perak.

Ia bukanlah satu proses yang mudah kerana ia mengambil tempoh lebih enam tahun sebelum skrip "Suatu Ketika" akhirnya berjaya disiapkan selepas lebih 20 kali membuat rombakan terhadap skrip. Namun ia bukanlah mudah untuk merealisasikan filem tersebut sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pelabur.

Setelah bersusah payah turun naik membentangkan idea filem, pihak Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) akhirnya tampil membantu untuk menghasilkan treler sebelum mereka membentangkan kepada FINAS yang mana mereka kemudian telah mendapat sokongan dana daripadanya.


Kru produksi bekerja keras bagi memastikan setiap babak berjalan dengan lancar.

Tambah Prakash lagi, di awal pembikinan skrip ini dia mahu menghasilkan sebuah filem menggunakan latar belakang zaman semasa, namun selepas perbincangan di buat mereka mengambil keputusan untuk menggunakan latar belakang pada tahun 50an iaitu ketika zaman sebelum Merdeka.

"Kami ambil keputusan untuk mengubah latar belakang filem ini kepada tahun 50an kerana ketika zaman ini bangsa Melayu, Cina dan India masing-masing membuat haluan sendiri seperti Melayu lebih kepada pertanian dan bercucuk tanam di kampung, manakala Cina pula lebih tertumpu pada perniagaan dan India pula hanya menorah getah.

"Jadi dalam filem ini anda akan dapat menyaksikan walaupun kita berlainan kaum atau pun bangsa, namun kita masih boleh hidup aman dan harmoni dalam sebuah negara dan saling hormat menghormati antara satu sama lain."

Bola sepak sebagai penggerak jalan cerita

Prakash memberitahu dia tujuan dia memilih untuk menggunakan bola sepak sebagai penggerak jalan cerita dalam "Suatu Ketika" adalah kerana sukan bola sepak merupakan sukan nombor satu di dunia dan ia sudah terbukti ia dapat menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, ideologi mahu pun politik.

Tambahnya, menggunakan latar belakang pada tahun 50an adalah sangat tepat kerana ketika ini hubungan di antara bangsa-bangsa lain tidaklah rapat dan dengan sukan bola sepak ini sahaja mampu mengeratkan hubungan masyarakat.


Produksi menghasilkan bola mengikut era zaman 50an.

Dalam pasukan bola sepak ini mempunyai pelbagai pemain dari bangsa dan latar belakang berbeza, namun mereka perlu mengenepikan semua itu dan bekerjasama sebagai sebagai sebuah pasukan untuk mencipta kejayaan.

Selain memberi inspirasi kepada penonton terutamanya kanak-kanak mengenai 'anda mampu mencapai impian anda sekiranya anda berusaha', ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silatulrahim antara masyarakat sebagai contoh seluruh penduduk kampung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum berkumpul di satu tempat untuk memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak mereka ketika perlawanan.

Pemilihan barisan pelakon

Dalam filem "Suatu Ketika" pengarah mempertaruhkan kanak-kanak sebagai pelakon utama iaitu kesemua pemain bola sepak sekolah. Namun ia dibantu oleh dua pelakon tersohor tanah air iaitu Namron dan Pekin Ibrahim.

Pengarah nyata teruja apabila kedua-dua pelakon hebat itu bersetuju untuk berlakon dalam filem arahannya kerana merasakan "Suatu Ketika" merupakan sebuah naskhah yang baik dan mempunyai nilainya tersendiri.


Lebih mengharukan pengarah apabila Namron menawarkan diri untuk mengadakan kelas lakonan terhadap kesemua pelakon-pelakon dalam filem sambil dibantu oleh Pekin.

"Rasanya semua orang tahu Namron merupakan seorang pelakon hebat bukan sahaja di layar perak, tetapi juga dalam dunia teater. Malah dia merupakan seorang guru lakonan yang hebat dan tidak semua pelakon yang dapat belajar dengannya, tetapi kanak-kanak ini bertuah apabila dapat berguru dengan seorang pelakon handal secara percuma."

Mampukah filem ini menambat hati penonton

Persoalan ini ditanya oleh Cinema Online kepada Penerbit Eksekutif, Prabakar mengenai kemampuan filem terbitannya untuk menarik penonton ke pawagam berikutan situasi industri filem tempatan ketika ini berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Prabakar dengan nada yakin berkata dia percaya naskhah "Suatu Ketika" mampu menjadi salah sebuah filem 'box office' kerana mereka telah melakukan terbaik sejak hari pertama idea untuk menghasilkan filem ini tercetus.

"Kami tidak mengambil jalan pintas dalam menghasilkan filem ini sebaliknya kami mengambil masa untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar dari semua aspek.

"Malah, sebelum penggambaran bermula kami telah melakukan latihan berlakon selama enam bulan untuk pelakon. Manakala untuk produksi pula kami telah merancang segala-galanya dengan teliti supaya apabila masuk ke set penggambaran setiap orang sudah tahu peranan masing-masing."

Dia juga bersyukur apabila sepanjang penggambaran berlangsung hampir sebulan mereka tidak berdepan sebarang masalah besar, malah keadaan cuaca yang baik juga membantu melancarkan penggambaran yang sentiasa mengikut jadual yang ditetapkan.

Penggambaran filem yang bermula pada 22 Julai lalu baru sahaja selesai penggambaran yang di buat di beberapa lokasi di sekitar Lembah Kelang dan Kuala Kangsar, Perak.

Filem yang akan diedarkan oleh GSC Movies ini dijangka akan menemui penonton di seluruh negara pada awal tahun 2018.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide