"One Two Jaga" sebuah naskhah wajib tonton | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

"One Two Jaga" sebuah naskhah wajib tonton

Penulis: Ashraf Nasser


"One Two Jaga" filem paling dinanti-nanti oleh peminat filem tegar tempatan.

Tahun 2018 menyaksikan sejumlah filem tempatan yang dikategori sebagai filem besar, sudah dan bakal ditayangkan pada suku ketiga dan suku keempat tahun ini.

Selepas dua suku pertama tahun ini menyaksikan prestasi industri filem tempatan merosot, suku ketiga dan keempat dilihat mampu menstabilkan semula prestasi, dan salah sebuah filem yang menjadi harapan untuk mencipta kejayaan adalah filem "One Two Jaga".

Filem yang mengetengahkan isu kontroversi ini sudah mula menjadi buah mulut ramai sejak tahun lalu lagi selepas ia diumumkan.

Jadi bagi anda yang masih ragu-ragu untuk menonton filem ini apabila ia ditayangkan pada 6 September ini, jom baca sebab-sebab mengapa anda perlu tonton filem "One Two Jaga".

Diarahkan oleh Namron

Pertama sekali sudah semesti setiap peminat filem akan melihat kepada nama pengarah terlebih dahulu. Nama Namron ini bukanlah asing kerana dia bukan sahaja seorang pengarah yang berbakat besar, malah dia juga salah seorang pelakon terhebat tanah air yang mana dia memenangi anugerah sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-16 (FFM 16). Dengan portfolio yang hebat, filem arahannya menjadi tumpuan ramai termasuklah penggiat seni antarabangsa.

Mengetengahkan isu kontroversi badan beruniform

Jika anda sudah membaca synopsis atau sudah menonton treler filem ini, anda pasti sudah mengetahui isu yang diketengahkan dalam filem ini iaitu permasalahan yang berlaku dalam pasukan Polis Diraja Malaysia dengan memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah.

Menariknya penerbit filem ini iaitu Pixel Play Sdn Bhd milik Bront Palarae dan Namron berjaya mendapat kerjasama daripada pihak PDRM sendiri untuk menjayakan naskhah ini. Jalan cerita yang ditampilkan cukup menarik dan merupakan antara yang pertama memaparkan sisi gelap pihak berkuasa di layar perak.

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air dan Indonesia

Perkara paling utama dan penting dalam sesebuah naskhah adalah barisan pelakon yang bakal menjayakan filem ini dan apa yang penulis boleh katakan mengenai barisan pelakon dalam "One Two Jaga" ini adalah yang terhebat di tanah air. Antara pelakon yang terlibat adalah Zahiril Adzim, Namron sendiri, Chew Kin Wah, Amerul Affendi, Vanidah Imran, Sabri Yunos, Iedil Putra, Azman Hassan dan ramai lagi. Selain itu, pengarah turut menampilkan beberapa pelakon Indonesia seperti Ario Bayu dan Asmara Abigail.

Dengan barisan pelakon seperti ini penonton dijamin tidak akan kecewa dengan lakonan setiap pelakon yang mana mereka ini sudah membuktikan diri mereka merupakan antara pelakon terbaik ketika ini.

Ditayangkan dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa

Jika anda tidak mengikuti perkembangan filem "One Two Jaga", anda mungkin tidak tahu bahawa filem arahan Namron ini sudah pun ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa, antaranya mengadakan Tayangan Perdana Dunia di Festival Filem Udine East di Itali pada Mac lalu. Ia kemudian mencipta kejayaan apabila tercalon di Festival Filem Asia ke-17 di New York (NYAFF) pada Jun lalu.

Malah filem ini juga mengadakan siri jelajah bagi mempromosikan filem tersebut di Festival Filem Antarabangsa Shanghai Ke-21 (SIFF) di China yang mana rata-rata amat kagum dengan naskhah ini. Oleh itu, tiada sebab untuk peminat filem tempatan untuk tidak menyokong sebuah naskhah berkualiti seperti ini.

Cinema Online, 19 Ogos 2018

Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan