Rencana
"Paskal" papar kisah sebenar wira tak didendang


Tarikh disiarkan: 12 Ogos 2018


Berdasarkan treler rasmi "Paskal", ramai yang tidak sabar mahu menonton filem ini.

Filem yang mengetengahkan mengenai pasukan beruniform, terutamanya mengenai tentera sememangnya agak popular terutamanya di Hollywood, yang mana banyak filem-filem ketenteraan dihasilkan untuk memperlihatkan kehebatan tentera Amerika Syarikat.

Di Malaysia juga sebenarnya kita mempunyai banyak juga filem-filem ketenteraan, antaranya "Bravo 5", "Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior" dan banyak lagi.

Namun kebanyakkan filem ketenteraan moden ini tidak mendapat sambutan seperti filem-filem tentera terdahulu, antaranya "Leftenan Adnan", "Sarjan Hassan" dan "Bukit Kepong", yang mana ia masih lagi menjadi sebutan penonton sehingga kini.

Tetapi ia sedikit pun tidak melemahkan semangat pembikin filem yang mahu mengetengahkan filem bertemakan ketenteraan.


Terbaru, filem "Paskal" bakal menemui penonton pada 27 September ini yang mana ia berkisarkan tentang pasukan komando Tentera Laut Diraja Malaysia atau lebih dikenali sebagai Paskal.

Jadi kali ini Cinema Online ingin memberikan beberapa sebab mengapa anda perlu tonton filem ini nanti.

Diarahkan oleh Adrian Teh

Mungkin ramai peminat filem tempatan tidak mengenali sutradara bernama Adrian Teh ini, kerana dia sebelum ini banyak mengarah dan menerbitkan filem-filem Cina tempatan yang mana antara filem terbitan dan arahannya yang mendapat sambutan adalah seperti "Ice Kacang Puppy Love", "Lelio Popo" dan banyak lagi. Dengan pengalaman yang ada pada Adrian, dia merupakan individu yang tepat untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah untuk filem aksi "Paskal" ini.

Untuk pengetahuan pembaca semua, Adrian merupakan nama besar dalam industri filem Cina tempatan yang mana dia merupakan Pengerusi kepada Chinese Film Association of Malaysia (CFAM) yang turut menganjurkan anugerah filem Cina pertama iaitu Golden Wau Awards pada tahun 2013.

Diangkat dari kisah sebenar

Seperti filem-filem ketenteraan tempatan yang lain, filem "Paskal" juga adalah sebuah naskhah yang diangkat dari kisah sebenar, yang mana ia mengisahkan tentang Leftenan Komander Arman Anwar yang mana dia kembali diserap semula dalam pasukan Paskal bagi mengetuai misi khas menyelamat MV Bunga Laurel yang telah dirampas oleh lanun Somalia di Gulf of Aden tujuh tahun lalu.

"Paskal" menjanjikan filem padat dengan aksi

Pengarah Adrian mahukan filem ini padat dengan aksi, oleh itu dia memerlukan bajet besar untuk merealisasikannya dan usahanya itu berjaya apabila filem ini bakal menjadi salah sebuah filem aksi yang menelan belanja besar iaitu sekitar RM10 juta.

Menurut Adrian, jumlah kos besar yang diperlukan adalah untuk menjayakan babak-babak aksi yang mana ia dikatakakan merangkumi 90 peratus daripada keseluruhan filem. Selain itu, kos sebanyak RM10 juta itu turut membabitkan latihan yang perlu dijalani oleh setiap pelakon sebelum masuk ke set penggambaran "Paskal".

Dibintangi barisan pelakon sedang meningkat naik

Walaupun barisan pelakon yang ditampilkan rata-ratanya masih baru dan sedang meningkat naik, namun Adrian percaya dengan dengan skrip yang bagus dan latihan yang dijalani oleh setiap pelakon, mereka mampu memberikan lakonan mantap. Setiap pelakon memberikan komitmen yang cukup tinggi sepanjang penggambaran berlangsung termasuk teraju utama iaitu Hairul yang sanggup meneruskan penggambaran walaupun mengalami kecederaan patah jari ketika penggambaran berlangsung.

Filem ini diterajui oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin. Turut membintangi filem ini adalah pelakon berbakat besar iaitu Ameerul Affendi yang membawa watak antagonis sebagai lanun.

Menonton sambil beramal

Filem ini dihasilkan bukan sekadar hiburan sahaja, tetapi ia juga adalah sebahagian daripada usaha 'beri balik' yang mana sejumlah kutipan filem ini akan didermakan kepada veteran Paskal menerusi Tabung Pahlawan. Oleh itu, diharap seluruh rakyat Malaysia dapat memberi sokongan terhadap filem ini apabila ia mula ditayangkan di seluruh negara pada 27 September ini bersempena dengan bulan Hari Malaysia.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Paskal The Movie (Melayu) (27 September 2018)





Ticket Pricing Guide