"Polis Evo 2" tampil lebih aksi & mendebarkan! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

"Polis Evo 2" tampil lebih aksi & mendebarkan!

Penulis: Ashraf Nasser


"Polis Evo 2" temui penonton di seluruh negara bermula 22 November ini.

Selepas mencipta kejayaan pada filem pertama "Polis Evo" yang menjadi filem nombor satu kutipan pecah panggung pada tahun 2015 dengan jumlah kutipan lebih RM17 juta, ternyata penonton sememangnya tidak sabar menanti filem sekuelnya.

Selepas hampir tiga tahun filem sekuel iaitu "Polis Evo 2" (PE2) akhirnya bakal menggegarkan pawagam tanah air bermula 22 November ini.

Bagi memastikan filem sekuel ini lebih hebat dari filem pertama pihak penerbit iaitu Astro Shaw dan Surya Citra Media (SCM) penggambaran filem PE2 menjadi antara filem yang lama menjalani penggambaran iaitu selama 85 hari di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah.

Jadi sebelum anda ke pawagam nanti, jom baca sebab mengapa anda perlu tonton filem hebat ini.

Diarahkan oleh dua pengarah baru

Jika filem pertama diarahkan oleh pengarah tersohor tanah air iaitu Ghaz Abu Bakar, untuk filem sekuel ini penerbit mempertaruhkan dua nama pengarah berbeza iaitu Joel Soh dan Andre Chiew untuk menggarap naskhah kali ini bagi memberi sentuhan baru. Joel Soh juga merupakan salah seorang penulis skrip untuk PE2 bersama Anwari Ashraf dan Kyle Goonting.

Berdasarkan treler rasmi yang sudah diriliskan baru-baru ini, ternyata ia mendapat respon cukup positif daripada penonton, namun apa-apa pun perlu tonton terlebih dahulu filem ini sebelum dapat mengatakan filem hebat atau tidak. Tidak dapat dinafikan kedua-dua pengarah ini berdepan dengan cabaran besar apabila penonton meletak harapan cukup tinggi untuk filem ini.

Tampil jalan cerita lebih hebat & besar

Filem pertama jalan cerita yang ditampilkan tidaklah seberat mana berikutan ia mahu memperkenalkan dua watak utama iaitu Inspektor Hasani dan Inspektor Khai yang mempunyai dua personaliti berbeza perlu bekerjasama bagi menumpaskan sindiket dadah. Namun untuk filem kedua ini isu yang diketengahkan lebih besar dan yang penting berkaitan dengan isu semasa iaitu membabitkan pengganas ekstrimis.

Kedua-dua mereka perlu mengendalikan sebuah kes besar yang mana mereka perlu bekerjasama dengan pegawai polis dari negara Indonesia untuk operasi bersama membanteras kumpulan pengganas yang diketui oleh Hafsyam yang telah menjadi penduduk sebuah kampung sebagai tebusan.

Gabungan pelakon Malaysia-Indonesia-Singapura

Seperti jalan cerita yang lebih besar, maknanya barisan pelakonya juga daripada nama-nama besar dari Malaysia dan Indonesia. Selain Shaheizy Sam dan Zizan Razak sebagai pelakon utama dalam PE2, pelakon hebat tanah air lain yang turut terlibat adalah Erra Fazira, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Hairie Othman, Rusdi Ramli, manakala pelakon Singapura pula Hasnul Rahmat, Fir Rahman, Jeff Catz serta Indonesia pula dibintangi oleh Raline Shah, Mike Lucock, Tanta Ginting dan ramai lagi.

Menyaksikan barisan pelakon yang membintangi filem ini, penonton sudah dijamin dengan lakonan yang cukup mantap berikutan kesemua pelakon ini merupakan antara pelakon terhebat ketika ini di negara masing-masing.

Diramal bakal jadi filem terbesar untuk tahun 2018

Selepas dua suku pertama tahun ini suram, industri perfileman tempatan cemerlang pada suku ketiga yang mana beberapa filem tempatan berjaya mendapat kutipan puluhan juta sekaligus mencipta sejarah baru dalam dunia filem tempatan.

Antara filem yang dimaksudkan adalah "Hantu Kak Limah", "Munafik 2" dan "Paskal The Movie", dan filem PE2 dijangka akan mengikut jejak langkah filem-filem ini dan diramalkan mampu mengatasi kutipan filem "Munafik 2" yang berjaya mengutip lebih RM40 juta yang juga pemegang rekod filem tempatan dengan kutipan tertinggi.

Terus beri sokongan padu pada filem tempatan

Tidak dapat dinafikan penonton tempatan sudah kembali mula mempercayai filem-filem tempatan yang dihasilkan dan ini dibuktikan dengan jumlah kutipan besar. Faktor utama kejayaan kesemua filem yang mendapat kutipan pecah panggung ini adalah kualiti. Sekiranya pembikin filem terus menghasilkan filem-filem berkualiti dan bertaraf antarabangsa tidak mustahil filem tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih luas.

Cinema Online, 05 Nov 2018

Filem Berkaitan:
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)
Polis Evo 2 (Malay) (22 Nov 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan