Rencana
Prestasi industri filem tempatan 2018


Tarikh disiarkan: 30 Disember 2018


Sudahkah anda menonton kesemua filem-filem pecah panggung untuk tahun ini?

Kita sudah pun berada di penghujung tahun dan bakal mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2018 dan bakal menyambut kedatangan tahun baru 2019.

Tidak seperti tahun 2017, tahun ini merupakan tahun paling bermakna buat industri filem tempatan apabila rekod baru kutipan filem dicatatkan oleh beberapa filem tempatan, sekaligus melonjakkan jumlah kutipan filem pada tahun ini.

Tidak keterlaluan sekiranya hendak dikatakan tahun ini merupakan tahun paling cemerlang industri filem tempatan sepanjang masa.


Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, Cinema Online akan membuat rumusan mengenai prestasi industri perfileman tempatan sepanjang tahun 2018.

Untuk pengetahuan pembaca, sebelum ini Cinema Online sudah menyiarkan dua artikel berkaitan dengan filem tempatan iaitu 5 Filem tempatan dengan kutipan tertinggi 2018 dan 5 Filem tempatan untuk tahun 2018 dengan kutipan terendah, jadi bagi anda yang belum baca artikel tersebut boleh klik kedua-dua pautan itu.

Filem tempatan berjaya dapat kutipan lebih RM20 juta

Mamat Khalid sekali lagi mencetuskan fenomena menerusi karya terbarunya "Hantu Kak Limah".

Pada suku pertama dan kedua tahun ini, penulis agak kecewa kerana kutipan filem tempatan cukup membimbangkan dan merosot teruk sehingga menimbulkan persoalan; "adakah tahun ini akan teruk dari tahun 2017"; memandangkan hanya sebuah filem sahaja yang cemerlang, iaitu "KL Special Force" arahan Syafiq Yusof. Filem ini sememangnya sudah dijangkakan mampu dapat kutipan pecah panggung, tetapi filem lain sepanjang setengah tahun pertama agak mengecewakan.

Lebih mengecewakan adalah filem bajet besar mengenai lagenda badminton negara iaitu filem "Lee Chong Wei: Rise of The Legend" menelan belanja kos lebih RM6 juta yang dijangka mampu dapat kutipan pecah panggung, gagal apabila hanya mengutip sekitar RM4.7 juta sahaja.

Namun penulis masih menaruh harapan supaya ia dapat mengubah pada suku ketiga dan ia ternyata berlaku. Fenomena menonton filem tempatan kembali semula menerusi filem seram komedi "Hantu Kak Limah" arahan pengarah tersohor tanah air iaitu Mamat Khalid yang ditayangkan pada 9 Ogos.

Filem dari francais popular Kampung Pisang ini cemerlang sejak hari pertama dengan mencipta rekod hari pembukaan dan terus cemerlang sehingga mendapat kutipan lebih RM36 juta. Fenomena luar biasa ini diteruskan lagi dengan filem seram "Munafik 2" arahan Syamsul Yusof.


"Munafik 2" masih lagi memegang rekod filem tempatan dengan
kutipan tertinggi sepanjang zaman.

Filem yang paling ditunggu-tunggu pada tahun ini tidak mengecewakan apabila berjaya menewaskan setiap rekod yang dipegang oleh "Hantu Kak Limah" sejak hari pertama lagi. Ternyata aura dari filem pertama "Munafik" masih lagi kekal sehingga kini dan tidak hairan apabila filem itu berjaya kutip lebih RM43 juta di Malaysia.

Apa yang lebih membanggakan adalah filem ini turut mengutip lebih RM4 juta di negara seberang iaitu Indonesia, selepas filem itu ditayangkan di sana berikutan permintaan ramai.

Filem ketenteraan tempatan pertama dapat kutipan pecah panggung

"Paskal The Movie" menjadi filem wajib tonton dan paling banyak
diperkatakan di media sosial pada tahun ini.

Jika sebelum ini filem-filem berkisarkan ketenteraan yang dihasilkan gagal, namun zaman itu sudah berakhir menerusi filem "Paskal The Movie" apabila ia bukan sahaja mendapat kutipan pecah panggung iaitu melebihi RM30 juta, malah ia juga menjadi antara filem ketenteraan terbaik pernah dihasilkan, selain termasuk dalam filem terhebat untuk tahun 2018.

Filem arahan Adrian Teh yang diangkat dari kisah sebenar mengenai Pasukan Laut Khas Tentera Laut Diraja Malaysia (PASKAL TLDM) ini menelan belanja sebanyak RM12 juta untuk dihasilkan. Walaupun pada mulanya penulis agak bimbang filem ini berkemungkinan gagal berikutan filem ketenteraan sering dipinggirkan walaupun dibintangi pelakon hebat, namun selepas menontonnya penulis merasakan "Paskal The Movie" telah menjadi penanda aras untuk filem ketenteraan tempatan.

Malah ramai penonton yang merasakan filem yang dibintangi oleh Hairul Azreen, Namron, Ammar Alfian, Gambit Saifullah, Jasmine Chin dan ramai lagi ini setanding dengan filem antarabangsa. Penulis juga berasa sedemikian apabila setiap babak yang ditampilkan dalam filem ini dibuat dengan begitu teliti, ditambah dengan penggunaan aset TLDM seperti kapal selam, helikopter dan beberapa lagi menjadikan filem hebat.

Tak semua filem bagus dapat kutipan pecah panggung

Walaupun tidak berjaya dapat kutipan pecah panggung, filem "One Two Jaga"
kini boleh ditonton oleh penonton di seluruh dunia selepas ia ditayangkan
di platform penstriman video Netflix.

Tahun ini penulis berasa cukup gembira apabila semakin banyak filem-filem berkualiti dihasilkan, namun berasa sedikit sedih apabila ia tidak mendapat sambutan daripada penonton. Salah satunya adalah filem "One Two Jaga" arahan Namron.

Filem kontroversi itu mengetengahkan masalah dalaman pasukan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu segelintir anggota yang mengamalkan jenayah rasuah untuk kepentingan diri sendiri. Sebelum ia ditayangkan di Malaysia, filem terbitan Pixel Play ini telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa dan mendapat pujian daripada penonton antarabangsa, tetapi ia gagal di negara sendiri apabila filem yang dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Bront Palarae dan ramai lagi ini tidak mendapat kutipan pecah panggung.

Bagaimanapun, kepada mereka tidak berkesempatan untuk menonton filem ini di pawagam, jangan bimbang kerana anda kini boleh menontonnya di platform penstriman video terkenal Netflix. Apa yang lebih mengujakan adalah versi Netflix tidak ada sebarang tapisan dan pengakhiran filem ini juga dikatakan sedikit berbeza. Jadi jangan ketinggalan untuk menonton filem ini.

Masih ada filem 'asal boleh' dihasilkan

Filem "Qhaliq" dibintangi oleh barisan pelakon popular dan baru,
namun kurang mendapat sambutan.

Rasanya tak perlu penulis dedahkan filem-filem ini kerana penonton pasti sudah tahu filem apa yang penulis maksudkan. Kita kini bakal memasuki tahun 2019 dan tidak lama lagi 2020. Jadi harapan penulis mahu penerbit-penerbit filem tempatan buka mata dan berfikiran terbuka. Jangan berada di takuk lama dan terus menghasilkan filem-filem 'asal boleh' ini yang nyata tidak akan menguntungkan mereka sendiri.

Bagi pengarah dan penerbit yang 'veteran', janganlah bersikap angkuh atau tidak mahu terima teguran dan berubah mengikut peredaran zaman dalam pembikinan filem. Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir pengarah dan penerbit yang masih terbuai dengan kejayaan filem sebelum ini yang pernah menghasilkan filem-filem pecah panggung. Mereka terus menghasilkan filem-filem klise yang tidak lagi mendapat permintaan penonton dan apabila filem gagal, mereka mula menuding jari kepada pihak lain.

Bersempena dengan tahun baru 2019 yang bakal disambut tidak lama lagi, diharap penerbit veteran mahu pun penerbit baru akan berubah ke arah kecemerlangan dan terus menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan menepati cita rasa. Dunia perfileman kini tiada lagi jalan pintas untuk mencapai kejayaan, jadi laburkan wang secukupnya dan ambil masa sepanjang proses pembikinan filem supaya hasil akhir filem itu berkualiti dan memuaskan hati penonton.

Ramalan untuk tahun 2019

Tidak seperti tahun ini, tahun 2019 tidak banyak filem-filem besar yang akan ditayangkan jadi tidak hairan sekiranya jumlah kutipan untuk tahun 2019 tidak dapat menandingi kutipan tahun ini. Namun penulis agak tertarik untuk melihat filem terbaru arahan Aziz M. Osman iaitu "XX Ray 3" yang bakal ditayangkan pada Januari depan, yang mana ia sebuah naskhah ketiga dari francais "XX Ray" lebih 20 tahun yang lalu.


Filem animasi "Upin & Ipin" akan ditayangkan pada musim cuti sekolah tahun depan.

Dengan mempunyai peminatnya yang tersendiri, diharap filem ini mampu membuka tirai 2019 dengan cemerlang, sekaligus mengukuhkan lagi industri filem tempatan. Selain itu terdapat beberapa buah filem lagi yang akan ditayangkan seperti "Bella & Jamie" serta filem animasi terbesar tanah air iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal".

Jadi akhir kata daripada penulis adalah diharap tahun 2019 akan terus dilimpahkan dengan kejayaan yang lebih besar, sekaligus dapat membawa filem-filem tempatan ke persada antarabangsa.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide