Rencana
Prestasi industri filem tempatan suku pertama 2018


Tarikh disiarkan: 1 April 2018


Filem arahan Syafiq Yusof sekali lagi tampil dengan filem pecah panggung.

Kita sudah pun melepasi suku pertama untuk tahun 2018 dan boleh dikatakan ia sedikit positif buat industri filem tempatan berbanding tahu lalu, apabila ia berjaya mengutip sekitar RM13,221,575.96 menerusi 14 buah filem yang ditayangkan.

Pada suku pertama tahun 2017, sebanyak 15 buah filem ditayangkan dengan kutipan RM11,378,932.60.

Kutipan pada suku pertama tahun ini dijangka akan meningkat berikutan masih terdapat beberapa buah filem tempatan yang masih lagi ditayangkan di pawagam sehingga kini.


Namun angka kutipan positif ini bukanlah bermakna industri filem tempatan kita memperlihatkan peningkatan, tetapi ia masih kekal sama seperti tahun-tahun sebelumnya kerana ramai hanya mengharapkan beberapa buah filem sahaja untuk mendapat kutipan besar.

Untuk awal tahun ini, filem "KL Special Force" arahan Syafiq Yusof sekali lagi menjadi penyumbang utama. Hampir 80 peratus kutipan untuk suku pertama telah didapati oleh filemnya, iaitu sebanyak RM9,733,502.85.


Salah satu babak dalam filem "KL Special Force".

3 Buah filem sahaja dapat kutipan lebih RM1 juta

Apa yang mengecewakan ialah hanya tiga buah filem sahaja yang berjaya mendapat kutipan melebihi angka satu juta ringgit, iaitu "KL Special Force" (RM9,733,502.85), "A House Of Happiness" (RM1,565,639.25) dan "Lee Chong Wei: Rise Of The Legend" (RM1,140,924.27).

Tetapi jumlah kutipan filem biopik mengenai lagenda badminton negara ini mungkin akan meningkat sedikit berikutan ia masih lagi ditayangkan di pawagam, sama seperti filem "KL Special Force".

Jika dilihat dari segi sambutan terhadap dua filem besar ini, iaitu "Lee Chong Wei: Rise Of The Legend" dan "KL Special Force", nampaknya jumlah yang akan meningkat tidak akan ketara berikutan sambutan terhadap filem semakin berkurang selepas dua minggu tayangannya.


Walaupun promosi besar-besaran dibuat untuk filem "Lee Chong Wei", namun ia kelihatan seperti kurang mendapat sambutan.

Malah filem Syafiq Yusof berkemungkinan besar tidak akan berjaya mengatasi rekod kutipan filem arahannya pada tahun 2017, iaitu "Abang Long Fadil 2" yang berjaya mendapat kutipan lebih RM18 juta dan kini memegang rekod sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi.

Filem aksi Syafiq sudah pun mendapat pulangan modal apabila filem tersebut hanya menelan belanja sekitar RM4 juta, tetapi filem biopik arahan Teng Bee tampak sukar untuk 'break even' apabila perlu mendapat kutipan sekitar RM12 juta berikutan ia menelan belanja besar, iaitu lebih RM6 juta untuk pembikinan.

Filem tempatan masih lemah dan perlu diperbaiki secepat mungkin

Dalam 14 buah filem yang sudah ditayangkan, filem berjudul "Bidong The Boat People" adalah filem yang paling rendah mendapat kutipan apabila hanya berjaya mengutip RM3,536.00 sahaja. Kutipan ini sangat menduka citakan. Bagaimanapun, jalan cerita yang ditampilkan mendapat pujian penonton, cuma kurangnya promosi ditambah penonton tempatan kurang berminat filem bergenre seperti ini membuatkan filem ini gagal.


Salah satu babak dalam filem adiwira "Badang".

Namun suku pertama tahun ini menyaksikan filem adiwira "Badang" menjadi topik hangat sepanjang awal tahun ini. Filem arahan pengarah berkaliber Profesor Dato' Dr. A. Razak Mohaideen dikecam hebat oleh penonton dan netizen apabila ramai yang menggelar filem ini sebagai 'sampah'.

Filem yang dibintangi oleh usahawan kosmetik Dato' Seri Aliff Syukri dan Fasha Sandha sebagai peneraju ini hanya berjaya mengutip sekitar RM70,000 sahaja berbanding kos pembikinan yang mencecah RM2 juta. Ramai juga yang sudah mula mempersoal kredibiliti Razak Mohaideen yang dikatakan sudah hilang 'sentuhannya', kerana beliau sebelum ini merupakan antara pengarah yang sering menghasilkan filem-filem pecah panggung.

Bukan filem "Badang" sahaja menjadi mangsa, malah filem-filem lain yang ditayangkan seperti "Busker", "Surf This Love: Gelombang Juara", "Makrifat Cinta" dan beberapa lagi turut gagal mendapat kutipan pecah panggung biarpun dibintangi oleh pelakon-pelakon popular.

Ramalan untuk suku kedua 2018

Sekiranya dilihat dari senarai filem akan datang untuk suku kedua ini, hanya ada beberapa buah filem tempatan sahaja dan berkemungkinan suku kedua akan melihatkan prestasi filem tempatan merosot teruk sekiranya tiada filem yang mampu dapat kutipan melebihi RM13 juta.


Filem "Qhaliq" yang berkisarkan tentang dunia anggota bomba dibawa ke layar perak.

Namun semuanya masih boleh berubah, kerana ada kalanya filem tempatan sering disenaraikan untuk tayangan dalam tempoh sebulan atau dua bulan sebelum ia ditayangkan. Jadi kita sama-sama tunggu dan lihat. Bagaimanapun, penulis amat berharap agar suku kedua tahun ini akan memberi perkembangan positif supaya apabila menjelang suku keempat atau hujung tahun ini, jumlah kutipan tahun 2018 boleh meningkat dari tahun sebelumnya.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide