Rencana
"Wheely" bakal kembalikan kegemilangan KRU Studios?


Tarikh disiarkan: 15 Julai 2018


Kualiti animasi yang dihasilkan amat membanggakan dan setaraf dengan animasi antarabangsa.

Selepas lebih dua tahun menyepikan diri dari menghasilkan sebarang filem, KRU Studios akhirnya bakal kembali memeriahkan industri filem tempatan menerusi filem animasi terbaru mereka berjudul "Wheely".

Bagi filem animasi terbaru ini KRU Studios telah bekerjasama dengan Kartun Studios.

Ia merupakan filem animasi 3D kedua KRU Studios yang mana sebelum ini mereka pernah menghasilkan "Ribbit" pada tahun 2014. Filem tersebut telah berjaya mengutip lebih RM16 juta selepas ia ditayangkan di 70 buah negara.

Kemunculan filem animasi ini dijangka akan mengembalikan zaman kegemilangan KRU Studios yang pernah menghasilkan filem-filem pecah panggung sebelum menyepikan diri, sejak muncul dengan filem "Upin Ipin Jeng Jeng Jeng" kolaborasi dengan Les' Copaque Production.

KRU Studios mahu kembali cipta kejayaan

Tidak dapat dinafikan KRU Studios mengambil pendekatan untuk tidak menghasilkan sebarang risiko dengan menghasilkan filem sejak beberapa tahun ini berikutan prestasi industri filem tempatan yang merosot teruk.

Walaupun tidak menghasilkan filem, namun mereka tetap aktif dengan dunia penggambaran apabila mereka lebih memberi tumpuan kepada kerja-kerja lain seperti iklan korporat dan lain-lain. Pada masa sama, mereka juga mengatur perancangan untuk membuat kemunculan semula dan "Wheely" adalah buah tangan terbaru mereka.


"Wheely" mengambil inspirasi dari filem "Cars", tetapi ia diberi sentuhan berbeza dengan menyuntik elemen tempatan.

Mereka tidak menghasilkan filem ini bersendirian, sebaliknya berkolaborasi dengan sebuah syarikat produksi tempatan lain iaitu Kartun Studios bagi memastikan kualiti filem animasi ini bertaraf antarabangsa dan menerusi treler yang telah diriliskan, ia nyata memperlihatkan kematangan animasi tempatan yang sudah berada pada tahap tertinggi.

Oleh itu, tidak keterlaluan sekiranya penulis hendak mengatakan filem "Wheely" ini bakal mengembalikan zaman kegemilangan KRU Studios.

"Wheely" dapat sentuhan dari Yusry Abdul Halim

Filem animasi yang mengambil inspirasi dari filem animasi Hollywood "Cars" ini diarahkan oleh pengarah tersohor tanah air iaitu Yusry Abdul Halim yang sememangnya sudah tidak asing lagi dalam dunia animasi tempatan.

Yusry diberi tanggungjawab besar ini kerana dia mempunyai pengalaman yang cukup luas berikutan kebanyakan filem-filem arahannya banyak menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI).


Yusry Abdul Halim yakin filem ini mampu jadi penanda aras baru dalam industri animasi tempatan.

Apa yang membuatkan ia lebih menarik adalah Yusry menggunakan beberapa lokasi menarik di Malaysia seperti sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan beberapa destinasi pelancongan tempatan lain untuk memberikan 'selera' tempatan walaupun jalan ceritanya bersifat 'universal'.


Ianya mengisahkan watak "Wheely" sebagai teksi yang dipandang rendah oleh komunitinya dan terpaksa berdepan dengan sindiket jenayah yang menculik kenderaan-kenderaan mewah iaitu kenderaan import yang menjadi golongan elit di bandaraya tersebut.

Filem animasi tempatan bertaraf antarabangsa

Tidak dapat dinafikan KRU Studios sentiasa cuba mencari peluang untuk melebarkan sayap mereka dan tidak dapat dinafikan mereka antara pembikin filem tempatan yang maju ke hadapan berbanding pembikin filem lain.

Mereka cuba menghasilkan filem-filem yang boleh dipasarkan ke luar negara dan ini terbukti apabila mereka pernah menghasilkan filem yang ditayangkan di luar negara seperti "Vikingdom", "Merong Mahawangsa" dan "Ribbit". Pendekatan ini membuatkan mereka akan mendapat keuntungan dari kalangan negara yang menayangkan filem mereka tanpa perlu berharap kepada kutipan dalam negara sahaja.


Filem animasi ini menggunakan latar belakang di sekitar Malaysia.

Sebagai contoh, filem animasi "Ribbit" telah berjaya ditayangkan di berpuluh-puluh negara termasuk memenangi Filem Keluarga Terbaik di Niagara Integrated Film Festival di Kanada. Malah filem itu mendapat kutipan cukup memberangsangkan iaitu lebih RM20 juta.

Untuk filem terbaru mereka ini, ia bakal diedarkan di 94 buah negara yang mana ia pasti mampu mengatasi kutipan filem "Ribbit". Ia bukan sahaja menyumbang kepada negara tetapi juga membuka mata dunia terhadap kepakaran tempatan dalam menghasilkan naskhah yang bertaraf antarabangsa.

"Wheely" bakal ditayangkan di seluruh negara pada 16 Ogos ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Wheely (Melayu) (16 Ogos 2018)