Rencana
5 Filem terbaru Salman Khan wajib tonton


Tarikh disiarkan: 23 Jun 2019


Mana satukah filem Salman Khan yang anda tidak sabar untuk tonton?

Salman Khan adalah nama bintang terkenal yang tidak asing dari industri filem Bollywood. Pemilik nama sebenar Abdul Rashid Salim Salman Khan ini telah memenangi hati ramai peminat dengan ketampanan rupa paras serta bakat lakonannya.

Bintang ini mula menempa nama di dunia lakonan sejak muncul dalam filem "Biwi Ho To Aisi" 1988 sebagai pelakon sampingan dan semakin menyinar sebagai bintang Bollywood menerusi "Maine Pyar Kiya" pada 1989.

Sejak itu, Salman telah membintangi lebih dari 80 buah filem. Jika dilihat dari segi pecah panggung, tiada aktor Bollywood yang mampu menandingi beliau buat masa ini.


Salman merupakan salah seorang bintang paling besar dalam sejarah filem India. Beliau juga mempunyai syarikat produksi sendiri iaitu Salman Khan Films yang ditubuhkan pada tahun 2014 terletak di Mumbai.

Baru-baru ini, filem baru Salman, "Bharat" telah mendapat sambutan luar biasa sekaligus menjadi filem pecah panggung merupakan salah satu filem yang dinanti-nantikan para peminat. Tayangan filem itu bermula pada hari pertama hari raya Aidilfitri.

Kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem terbaru Salman Khan yang akan datang termasuk filem "Bharat".

"Bharat"

Filem "Bharat" merupakan filem yang paling dinanti-nantikan oleh semua peminat Salman Khan. Ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri, filem ini mula mencapai kutipan yang tinggi sejak ia ditayangkan di pawagam.

Pada yang tidak tahu, filem aksi ini sebenarnya adalah sebuah adaptasi versi Hindi dari drama Korea "Ode To My Father" yang popular pada tahun 2014.

Ia mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Bharat yang baru berusia lapan tahun berjanji kepada bapanya yang dia akan melakukan apa sahaja demi sentiasa menyatukan keluarga mereka.

Selepas 60 tahun, Bharat masih berpegang pada janjinya walaupun mereka sekeluarga perlu menempuh pelbagai cabaran.

Diarahkan oleh Ali Abbas Zafar, filem pecah panggung ini turut diterajui oleh Katrina Kaif, Tabu, Sunil Grover, Disha Patani dan Jackie Shroff.

Tarikh tayangan: 5 Jun 2019

"Dabangg 3"

"Dabangg 3" adalah sekuel kepada "Dabangg 2" 2012 dan merupakan filem ketiga dari francais filem bersiri "Dabangg". Sama seperti "Bharat", filem ini turut dinantikan oleh para peminat.

Salman Khan dikekalkan untuk menerajui watak Inspektor Chulbul Pandey dan ada laporan mengatakan bahawa tenaga produksi menggunakan teknologi CGI bagi membuatkan aktor itu kelihatan lebih muda untuk babak 'flashback' Chulbul.

Sebelum ini tenaga produksi filem telah dilanda kontroversi apabila diberikan amaran daripada Tinjauan Arkeologi India (ASI) akibat melanggar Akta Monumen Purba dan Tapak Arkeologi dan Akta Kekal 1958.

Pengarah bagi filem ini adalah Prabhu Deva dan menampilkan pelakon lain seperti Sonakshi Sinha, Sudeep, Mahie Gill, Arbaaz Khan dan Nikitin Dheer.

Tarikh tayangan: 20 Disember 2019

"Inshallah"

Menerusi filem ini, Salman akan digandingkan bersama aktres Alia Bhatt. Jarak usia kedua-dua aktor ini menimbulkan sedikit isu dan pelbagai spekulasi di laman media sebelum ini.

Namun laporan mengesahkan bahawa mereka akan membawa watak sebagai pasangan kekasih. Salman akan memegang watak seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun manakala Alia seorang pelakon bercita-cita tinggi berusia pertengahan 20-an.

Filem romantik komedi ini akan diarahkan oleh Sanjay Leela Bhansali dan setakat ini butiran mengenai barisan pelakon lain filem masih belum didedahkan lagi.

Tarikh tayangan: 24 Mei 2020

"Kick 2"

Filem aksi komedi "Kick" yang pertama telah ditayangkan pada 2014, diterbit dan diarahkan oleh Sajid Nadiadwala. Ia adalah sebuah 'remake' filem Telugu 2009 yang sama judul.

Ia menampilkan Salman Khan bersama barisan pelakon seperti Jacqueline Fernandez dan Randeep Hooda sebagai peneraju utama serta Nawazuddin Siddiqui sebagai watak antagonis dalam filem ini.

Salman dan Sajid telah mengesahkan pembikinan sekuel yang akan ditayangkan pada 2020. Jacqueline Fernandez, Amy Jackson dan Amyra Dastur ialah tiga peneraju wanita utama.

Tarikh tayangan: Disember 2020

"Dancing Dad"

Walaupun tiada butiran lanjut mengenai filem arahan Remo D'Souza, namun sebelumnya laporan telah mengesahkan Salman akan menerajui filem ini dan digandingkan dengan Jacqueline Fernandez.

Drama ini berkisar mengenai seorang bapa yang juga merupakan seorang penari cuba mengimbangkan kerjaya dan kehidupannya dalam menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan anak perempuannya.

Tarikh tayangan:
Belum diketahui

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Bharat (Hindi) (5 Jun 2019)