Rencana
5 Filem tempatan terbaik sepanjang zaman


Tarikh disiarkan: 30 Jun 2019


Jika tonton filem-filem ini beberapa kali pun pasti tidak akan berasa jemu.

Tahun demi tahun, industri filem tempatan telah berjaya menerbitkan pelbagai filem berbeza genre. Karya-karya pembikin filem menunjukkan bahawa Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam menghasilkan naskhah-naskhah hebat yang penuh makna.

Selain berjaya merangkul pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa serta mencapai kutipan panggung yang tinggi, ternyata terdapat beberapa naskhah yang tidak lekang dek zaman walaupun telah lama ditayangkan.


Bermula dari genre komedi hinggalah ke genre aksi, jalan cerita filem-filem ini berjaya membuatkan para penonton tidak berasa jemu biarpun setelah berpuluh-puluh kali menontonnya. Malah filem-filem lama ini juga sesuai untuk ditonton oleh generasi muda masa kini kerana ia penuh dengan mesej-mesej mendalam untuk dijadikan teladan.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem terbaik sepanjang zaman yang masih digemari penonton.

"Bukit Kepong"

Peristiwa hitam mengayat hati pada 23 Februari 1950 yang tercatat dalam sejarah negara ini telah di angkat ke dalam sebuah filem ditayangkan pada 1981. Ia berdasarkan kisah benar serangan Komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Johor. Anggota polis yang diketuai Sarjan Jamil berjuang mati-matian dan menyebabkan ramai yang meninggal dunia.

Menariknya pengarah yang juga pelakon filem ini, Allahyarham Tan Sri Dr Jins Shamsuddin berkata beliau telah mendapat kerjasama daripada penduduk kampung Bukit Kepong, PDRM serta bekas pengganas Komunis yang menyerah diri turut melakonkan watak masing-masing.

Filem bergenre patriotik ini berjaya merangkul lapan anugerah termasuk anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3 1982. Syarikat KRU kemudiannya menyunting semula filem ini dengan kos sebanyak RM100,000. Kerja teknikal dilakukan oleh Prodigital Lab dan United Studios.

Antara barisan pelakon veteran yang turut menjayakan filem ini ialah Hussein Abu Hassan, Dato' Yusof Haslam, A. Rahim, Dali Abdullah dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 1981, 27 Ogos 2015 (versi digital)

"Lagi-Lagi Senario"

Siapa saja yang tidak kenal dengan kumpulan pelawak terkenal Malaysia, Senario? Lima orang yang terdiri daripada Wahid, Azlee, Yassin, Saiful Apek dan Mazlan (Lan Pet Pet) kembali dalam sekuel kepada dua filem berjudul "Senario The Movie" dan "Senario Lagi".

Filem arahan Osman Ali ini adalah salah satu filem tempatan yang berjaya mendapat kutipan tertinggi pada tahun (2001-2009) dengan kutipan sebanyak RM6.33 juta sebelum diatasi oleh filem "Adnan Sempit" dengan kutipan RM7.66 juta pada 2010.

Ia mengisahkan Wahid yang bekerja di sebuah restoran eksklusif menjadi mangsa kegawatan ekonomi, perlu mencari kerja baru. Dia akhirnya menjadi pelayan di warung Azlee bersama Yassin dan Saiful yang terkenal dengan roti canai buatannya. Segalanya berubah apabila Mazlan membuka sebuah warung baru bersebelahan warung Azlee dan menjadi persaingan bisnes mereka.

Babak yang paling ikonik dalam filem ini pastinya semasa Wahid menebar baju dalam bilik air rumahnya sebagai latihan menebar roti canai. Dia turut memperkenalkan Roti Canai Terbang Rock and Roll yang berjaya menarik lebih ramai pelanggan ke warung Azlee.

Selain ahli-ahli asal kumpulan Senario, barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Wardina Safiyyah, Ani Maiyuni, Accapan, Syanie, Robert Kong, Nabila Huda, Allahyarham Nasir Ali, dan Allahyarham Osman Kering.

Tarikh tayangan: 2001

"Sepet"

Mengapa judulnya dinamakan "Sepet"? Jawapannya ialah kerana ia merujuk kepada perkataan Melayu yang menggambarkan mata orang Cina. Sebuah karya pertama lagenda pembikin filem tempatan, Allahyarham Yasmin Ahmad ini mengisahkan percintaan yang mekar di antara seorang pemuda Cina dan seorang gadis Melayu.

Filem komedi romantik ini berjaya merangkul beberapa anugerah di festival filem tempatan dan antarabangsa. Malah filem ini turut menjadi subjek kajian untuk pelajar yang mana naskhah itu dikaji dalam pelbagai konteks.

Terdapat kajian yang menyatakan filem "Sepet" layak diangkat sebagai sebuah filem nasional Malaysia berikutan terdapat pelbagai keistimewaan budaya yang ditonjolkan dalam filem ini. Sebagai contoh ialah kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia.

Sambungan kepada filem "Sepet" diceritakan menerusi filem "Gubra" yang turut difilemkan di Bandaraya Ipoh, Perak. Siri ketiga francais ini adalah "Mukhsin" yang mengisahkan hidup Orked sebelum "Sepet".

Peneraju utama filem ini ialah Ng Choo Seong dan Sharifah Amani sebagai Lee Seow Loong/Jason dan Orked. Selain itu, ia turut dibarisi pelakon seperti Linus Chung, Ida Nerina, Harith Iskander, Adibah Noor dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 24 Februari 2005

"PapaDom"

Judul filem yang unik ini mempunyai dua maksud atau 'double meaning' iaitu nama sejenis keropok nipis dan rangup berasal dari India serta nama kepada watak utama dalam filem ini iaitu Saadom yang merupakan seorang peniaga nasi kandar di Pulau Pinang.

Sebelum meninggal dunia, isteri Saadom memintanya untuk menjaga anak mereka Miasara, dengan baik. Kehidupan Saadom mula berubah dari seorang ahli perniagaan yang sibuk kepada seorang bapa yang terlalu mengambil berat soal anaknya.

Sikap 'over protective' bapanya itu membuatkan Miasara berasa segan dan terasa terganggu apabila Saadom sering mengekorinya ke mana sahaja dia pergi. Saadom akhirnya terpaksa berdepan dilema apabila Miasara ingin melanjutkan pelajaran di IPTA jauh dari bapanya.

"PapaDom" telah berjaya memenangi beberapa anugerah festival filem tempatan dan mendapat tempat ketiga bagi anugerah Filem Terbaik Pilihan Penonton di Festival Filem Asia Osaka, Jepun. Kesinambungan filem ini adalah menerusi sekuelnya, "PapaDom 2" yang ditayangkan pada 14 Disember 2013.

Filem komedi ini dijayakan oleh barisan pelakon seperti Afdlin Shauki yang turut menjadi pengarah filem, Liyana Jasmay, Vanidah Imran, Noorkhiriah, Scha Alyahya, Que Haidar, Farid Kamil, Chelsia Ng dan Allahyarham Harun Salim Bachik.

Tarikh tayangan:
8 Oktober 2009

"Bunohan"

Mungkin ada dari kalangan penonton yang tidak tahu bahawa judul filem ini diambil dari sebuah nama kampung di sempadan selatan Thailand dan Malaysia iaitu Kampung Bunohan. Ia juga dikenali dengan nama 'tanah jahat' kerana berlaku banyak pertelingkahan rakyat Thailand yang menyebabkan pembunuhan.

Ia mengisahkan kisah tragik antara tiga adik-beradik tiri iaitu Ilham, Bakar dan Adil 'Bunga Lalang' di samping bapanya yang uzur, Pok Eng. Mereka bergelut untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu bapa, namun semuanya kian berubah ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan. Kru dan para pelakon turut berkongsi kisah misteri apabila mereka mendakwa diganggu makhluk halus ketika menjalankan penggambaran di kawasan tersebut.

Lebih menarik lagi apabila filem arahan Dain Said ini mendapat pujian dari pengkritik-pengkritik filem di Amerika Syarikat yang rata-rata memberi komen positif. Filem ini juga telah dicalonkan serta memenangi beberapa anugerah berprestij di festival filem tempatan dan antarabangsa termasuk Anugerah NETPAC pada Festival Filem Taipei Golden Horse.

Filem aksi yang penuh metafora ini dibintangi Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su, Pekin Ibrahim, Bront Palarae, Nam Ron, Soffi Jikan, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 8 Mac 2012

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Bukit Kepong (Digital Version) (Melayu) (27 Ogos 2015)
SEPET (24 Februari 2005)
PAPADOM (Melayu) (8 Oktober 2009)
Bunohan (Melayu) (8 Mac 2012)





Ticket Pricing Guide