Rencana
5 Filem biopik sukan Hindi yang telah dan bakal ditayangkan untuk 2019!


Tarikh disiarkan: 10 November 2019

Filem biopik sukan manakah yang anda nanti-nantikan untuk tonton?
Filem biopik sukan manakah yang anda nanti-nantikan untuk tonton?

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, industri filem Bollywood semakin rancak menghasilkan filem-filem berkonsepkan biopik memandangkan ia mendapat sambutan ramai sejak beberapa tahun yang lalu. Malah, jika diikutkan, setiap bulan mereka akan keluarkan sekurang-kurangnya satu filem biopik.

Ia menceritakan pelbagai kisah dibalik tabir mengenai individu-individu ternama dari pelbagai latar belakang seperti sukan, politik dan peperangan. Biarpun tidak semuanya dikategorikan sebagai biopik, namun boleh dikatakan kebanyakannya diinspirasikan dari kisah benar.


Antara filem biopik sukan Hindi terkenal pernah ditayangkan sebelum ini adalah "Sultan" 2016 yang diterajui oleh Salman Khan bersama aktres gandingannya Anushka Sharma. Filem mengenai ahli gusti itu merupakan filem India pertama yang berjaya mendapat kutipan tinggi dalam tempoh tiga hari tayangan.

Selain itu, filem "Soorma" 2018 yang menampilkan gandingan Diljit Dosanjh dan Taapsee Pannu, telah menerima pelbagai kritikan, namun berjaya mencapai kutipan tinggi secara global. Ia menceritakan mengenai pemain hoki India Timur, Sandeep Singh, yang kembali bermain sukan itu selepas ditimpa kemalangan.

Oleh itu, Cinema Online ingin menyenaraikan lima buah filem biopik Hindi terbaru yang sudah ditayangkan dan bakal dirilis tidak lama lagi.

"Saand Ki Aankh"

Berlatarbelakangkan kampung Johri di Uttar Pradesh, filem biopik ini mengisahkan dua orang atlet menembak tertua di dunia, Chandro Tomar dan Prakashi Tomar. Walaupun berusia lebih 60 tahun, kedua-dua wanita itu membuktikan mereka mampu menyerlahkan bakat serta mengejar impian mereka dalam sukan tersebut. Usaha mereka membuahkan hasil apabila mereka berjaya memenangi lebih 30 kejohanan peringkat kebangsaan.

Dibintangi oleh Bhumi Pednekar dan Taapsee Pannu, kedua-dua aktres ini telah menjalani latihan menembak selama tiga bulan. Taapsee turut mendedahkan bahawa pada mulanya dia tidak tahu cara memegang pistol dengan betul. Bagaimanapun, filem arahan Tushar Hiranandani ini berjaya mencapai kutipan pecah panggung serta menerima reaksi positif daripada para penonton.

Tarikh tayangan: 25 Oktober 2019

"Panga"

Filem "Panga" diinspirasikan dari kisah hidup seorang atlet sukan Kabaddi peringkat negara. Ia menyingkap kegemilangan, cabaran serta cara dia mengatasi masalah stereotaip yang dihadapi. Watak utama filem arahan Ashwiny Iyer Tiwari ini akan dijayakan oleh aktres berbakat Kangana Ranaut di samping aktor Jassie Gill.

Sudah diketahui umum bahawa Kangana merupakan seorang aktres yang sanggup pergi jauh demi wataknya, termasuk mempelajari kemahiran dan bahasa baru, mengubah penampilan serta banyak lagi. Untuk filem ini pula, dia perlu menjalani latihan di samping menaikkan berat badan sebanyak 10kg seperti seorang atlet Kabaddi profesional.

Tarikh tayangan: 24 Januari 2020

"83"

"83" merupakan sebuah filem yang istimewa buat pasangan aktor Ranveer Singh dan Deepika Padukone kerana ia merupakan gandingan pertama mereka sebagai suami isteri dalam filem. Menerusi filem itu juga, Deepika menggalas watak sebagai Romi Bhatia, iaitu isteri kepada atlet kriket lagenda serta bekas ketua Pasukan Kriket India, Kapil Dev, yang dilakonkan oleh Ranveer.

Diarahkan oleh Kabir Khan, filem ini mengembalikan kegemilangan Pasukan Kriket India yang memenangi Piala Dunia Kriket 1983. Sehubungan dengan itu, para pelakon termasuk Ranveer telah menjalani latihan bermain sukan tersebut di sebuah kem latihan di Dharamshala bersama Kapil Dev sendiri. Mereka turut dilatih oleh bekas atlet kriket Balwinder Sandhu dan Yashpal Sharma di Stadium Kriket Dharamshala.

Tarikh tayangan: 10 April 2020

"Jersey"

Pada asalnya filem ini dihasilkan dalam versi Telugu arahan Gowtham Tinnanuri dan diterajui oleh Nani dan Shraddha Srinath. Ia telah pun ditayangkan di pawagam pada April lalu. Baru-baru ini Tinnanuri mengesahkan dia bakal mengarah 'remake' filem "Jersey" versi Hindi yang akan diterajui oleh Shahid Kapoor.

"Jersey" mengisahkan tentang Arjun, seorang atlet kriket yang ingin mengejar impiannya dalam sukan kriket India. Menerusi kisah benar, atlet yang menjadi inspirasi filem ini adalah Raman Lamba, yang terkenal dengan mod menyerangnya ketika Liga Perdana Dhaka Bangladesh serta mewakili Ireland ke beberapa perlawanan antarabangsa tidak rasmi.

Tarikh tayangan: 28 Ogos 2020

"Saina"

Sukan badminton merupakan antara sukan paling terkenal di dunia, termasuk di India. Menerusi filem terbitan Bhushan Kumar ini, aktres Parineeti Chopra akan membawa watak sebagai juara badminton India, Saina Nehwal. Saina telah memenangi pingat gangsa ketika Sukan Olimpik 2012 di London dan menjadi wanita India kedua yang memenangi pingat sukan persendirian.

Sehubungan dengan itu, Parineeti telah berkongsi beberapa rakaman video dia sedang berlatih bermain badminton serta meluahkan rasa teruja kerana berpeluang untuk tinggal di kediaman Saina selama sehari. Selain itu, dia turut menginap di Kompleks Sukan Antarabangsa Ramsheth Thakur selama dua minggu untuk berlatih ketika penggambaran berlangsung.

Pada asalnya watak utama telah diberikan kepada Shraddha Kapoor, namun aktres tersebut kemudiannya menarik diri dari projek ini kerana konflik berkenaan jadual kerjanya serta menghidap demam denggi ketika penggambaran dijalankan pada September tahun lalu.

Tarikh tayangan: 2020

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide