Rencana
5 Selebriti wanita Bollywood dengan pendapatan tertinggi


Tarikh disiarkan: 18 Ogos 2019


Siapakah antara mereka yang menjadi idola Bollywood anda?

Sejak dahulu lagi, industri filem Bollywood diserikan dengan bintang-bintang wanita berbakat besar yang terdiri daripada latar belakang berbeza. Tahun demi tahun, industri Bollywood dilihat telah melahirkan bakat-bakat wanita yang baru walaupun ada di antara mereka hanya berusia awal 20-an.

Biarpun diskriminasi jantina jelas dilihat dalam pembayaran gaji aktor dan aktres dalam industri Bollywood, namun aktres-aktres ini masih dibayar dengan kadar yang agak tinggi. Ternyata mereka telah membuktikan bahawa wanita juga mampu bekerja keras dan berjaya dalam karier masing-masing dengan sifat berdikari yang tinggi.


Jika sebelum ini Cinema Online telah menyenaraikan 5 Selebriti lelaki Bollywood dengan pendapatan tertinggi, menerusi artikel kali ini pula penulis akan menyenaraikan lima orang selebriti wanita Bollywood dengan pendapatan paling tinggi sepanjang karier mereka.

Kangana Ranaut

Kangana Ranaut telah membuktikan dirinya adalah salah seorang aktres, penari dan model paling berbakat dan terkenal dalam industri filem Hindi. Aktres kelahiran Surajpur ini melangkah ke dunia lakonan Bollywood menerusi filem thriller "Gangster" 2006 di mana filem itu berjaya melayakkannya memenangi anugerah Filmfare dalam kategori Debut Wanita Terbaik.

Kangana, yang juga pemenang tiga Anugerah Filem Kebangsaan India, telah dilatih berlakon oleh pengarah teater Arvind Gaur sejak dia terlibat dengan pementasan teater. Biarpun pernah dihalau dari rumah kerana keluarganya tidak bersetuju dengan penglibatannya dalam bidang lakonan, namun perkara itu tidak menghalang Kangana untuk terus menceburi bidang tersebut.

Filem yang dibintanginya juga berjaya mencecah kutipan yang tinggi, contohnya filem "Krrish 3" sebanyak 292 Crores (sekitar RM173 juta). Selain itu, filem "Tanu Weds Manu Returns" telah mendapat kutipan 258 Crores (sekitar RM153 juta) dan filem "Queen" sebanyak 108 Crores (sekitar RM64 juta).

Antara filem terbaru yang bakal dan telah dibintangi oleh aktres berusia 32 tahun ini ialah "Dhaakad", "Panga", "Imali", "Judgemental Hai Kya", "Manikarnika The Queen Of Jhansi" dan "Dhamaal 2". Namanya terletak di tangga teratas carta ini kerana dia telah mendapat jumlah bayaran paling tinggi bagi sebuah filem biopik yang bakal dibintanginya di mana dia perlu membawa watak bekas ketua menteri J Jayalalithaa.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 24 Crores (sekitar RM14.2 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM50.5 juta

Deepika Padukone

Gelaran Deepika Padukone sebagai selebriti wanita dengan pendapatan tinggi di Bollywood akhirnya berjaya 'dirampas' oleh Kangana Ranaut. Dia telah membuat debut lakonan menerusi filem Kannada "Aishwarya" dan kemudian berpeluang membintangi filem "Om Shanti Om" bersama bintang terkenal Shah Rukh Khan pada 2007.

Sejak itu, dia telah meneruskan kerjaya dalam industri filem sehingga bergelar jutawan selebriti wanita Bollywood sehingga ke hari ini. Nama Deepika juga telah dikenali di industri Hollywood apabila dia dipilih untuk membintangi filem aksi lakonan Vin Diesel berjudul "XXX: Return of Xander Cage" yang telah ditayangkan pada 2017.

Menarik lagi, dia pernah mencipta rekod apabila tersenarai sebagai satu-satunya wanita dalam carta 10 selebriti India terkaya. Pada 2018, dia telah tercalon dalam senarai 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time. Deepika juga mempunyai sejumlah anugerah besar yang dimenangi sepanjang terlibat dengan kariernya.

Aktres kelahiran Denmark ini telah membintangi beberapa buah filem pecah panggung seperti "Padmaavat" dengan kutipan 239.5 Crores (sekitar RM141.9 juta), "Chennai Express" 227 Crores (sekitar RM134 juta), "Happy New Year" 203 Crores (sekitar RM120 juta) dan "Yeh Jawaani Hai Deewani" 188.6 Crores (sekitar RM111.6 juta).

Anggaran pendapatan sebuah filem: 21 Crores (sekitar RM12.4 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM105 juta

Priyanka Chopra Jonas

Priyanka Chopra merupakan seorang aktres, model, penyanyi, penerbit filem dan juga pemenang anugerah Miss World 2000. Hampir dua dekad berkecimpung dalam industri hiburan antarabangsa, nama Priyanka tercatat sebagai salah seorang aktres India yang mendapat bayaran tertinggi selepas Deepika Padukone.

Selepas berjaya mengorak langkah ke dunia Hollywood menerusi filem debut "Baywatch" 2017, nama Priyanka Chopra semakin terkenal di industri filem itu. Dia juga membuat keputusan untuk berehat dari dunia Bollywood buat sementara kerana komitmennya lebih ke filem Hollywood. Filem Hollywood keduanya ditayangkan pada 2018 iaitu "A Kid Like Jake".

Dikenali sebagai 'Desi Girl of Bollywood', Priyanka telah membintangi beberapa filem Bollywood yang berjaya pecah panggung seperti "Bajirao Mastani" dengan kutipan 356 Crores (sekitar RM211 juta), "Krrish 3" sebanyak 292 Crores (sekitar RM173 juta) dan "Don 2" sebanyak 210 Crores (sekitar RM125 juta).

Selain berlakon, Priyanka turut menerima sumber pendapatan dengan menjadi duta jenama-jenama terkenal seperti Pantene, GAP, Lux dan banyak lagi. Pada 2016, dia telah diangkat sebagai duta Goodwill UNICEF.

Walaupun Priyanka dilihat sama-sama berjaya dengan suaminya, Nick Jonas dari kumpulan Jonas Brothers, namun nilai bersih kekayaan Priyanka sebenarnya lebih tinggi daripada Nick. Tidak hairanlah sifat berdikari Priyanka dikagumi ramai peminat dan rakan selebriti lain.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 18 Crores (sekitar RM10.6 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM67.3 juta

Kareena Kapoor Khan

Sama seperti Priyanka Chopra, Kareena Kapoor juga sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan Bollywood iaitu hampir dua dekad. Kareena sering memberi persembahan yang terbaik dalam setiap filem yang dibintanginya dari dulu hingga kini sekaligus membuktikan mengapa dia adalah antara selebriti wanita yang paling diminati dalam industri filem Hindi.

Isteri kepada penerbit dan aktor Saif Ali Khan ini telah membuat debut lakonan menerusi filem perang arahan JP Dutta berjudul "Refugee" bersama Abhishek Bachchan pada tahun 2000. Antara filem pecah panggung yang dibintanginya ialah "Bajrangi Bhaijaan" dengan kutipan 970 Crores (sekitar RM576 juta), "3 Idiots" 460 Crores (sekitar RM273 juta), "Bodyguard" sebanyak 260 Crores (sekitar RM154.4 juta) dan "Singham Returns" sebanyak 216.56 Crores (sekitar RM128.3 juta).

Di samping berlakon, Kareena juga menceburi bidang seni yang lain seperti program realiti, menjadi pengacara program radio dan merupakan seorang penolong penulis kepada tiga buah buku. Dia juga mempunyai jenama pakaian dan kosmetik wanita sendiri serta bekerja dengan UNICEF sejak 2014 untuk membaik pulih kualiti pendidikan di India.

Walaupun dilihat kurang aktif selepas berkahwin, namun Kareena bakal membintangi dua buah filem terbaru iaitu "Good News" arahan Raj Mehta yang kini dalam proses pra produksi dan filem komedi "Angrezi Medium" yang akan ditayangkan pada 2020.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 17 Crores (sekitar RM10.1 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM63 juta

Shraddha Kapoor

Karier Shraddha Kapoor sebagai bintang Bollywood bermula selepas dia berhenti menyambung pelajaran dalam bidang teater untuk membuat debut menerusi filem "Teen Patti" bersama aktor veteran Amitabh Bachchan pada 2010. Menerusi filem itu, dia telah tercalon untuk anugerah Debut Wanita Terbaik Filmfare.

Ibu bapanya juga terdiri daripada aktor India terkenal, iaitu Shakti Kapoor dan aktres Shivangi Kapoor manakala abangnya adalah aktor Siddhanth Kapoor. Jadi tidak hairanlah Shraddha digelar aktres versatil dan sentiasa mendapat komen positif daripada pengkritik filem memandangkan dia datang dari latar belakang keluarga yang berbakat dalam industri seni dan lakonan.

Jika disingkap semula, Shraddha telah membintangi lebih dari sepuluh buah filem. Antara filemnya yang berjaya meraih kutipan tinggi ialah "Stree" dengan jumlah 129.67 Crores (sekitar RM76.9 juta), "ABCD 2" sebanyak 106.6 Crores (sekitar RM63.2 juta) serta filem "Ek Villain" yang mencecah 105.6 Crores (sekitar RM62.6 juta).

Seperti selebriti yang lain, Shraddha menambah sumber pendapatan menerusi kariernya sebagai seorang penyanyi. Di samping itu, dia juga merupakan duta kepada jenama-jenama terkenal antarabangsa seperti Vogue Eyewear, 2Bme, Lipton, Vaseline dan banyak lagi. Pada 2015, dia telah melancarkan jenama pakaian miliknya sendiri iaitu IMARA sekaligus membuat debut sebagai seorang pereka fesyen bagi jenama tersebut.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 15 Crores (sekitar RM8.9 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM50.4 juta

Penulis: Nisa Irina