Rencana
"Bikers Kental 2" papar lebih aksi mendebarkan


Tarikh disiarkan: 17 Februari 2019


Adakah anda salah seorang peminat filem "Bikers Kental"?

Kali pertama filem "Bikers Kental" ditayangkan di pawagam sekitar tahun 2013, ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton yang memuji kelainan yang ditampilkan dalam naskhah ini.

Filem berkonsepkan 'road trip' sememangnya jarang dihasilkan, oleh sebab itu penonton teruja apabila ia ditayangkan ditambah dengan barisan pelakon hebat yang ditampilkan.

Naskhah pertama memperkenalkan watak utama iaitu Bidin Al Zaifa yang merupakan seorang peminat motorsikal berkuasa tinggi bekerja di garaj motorsikal milik saudaranya. Walaupun tiada wang, namun dia pasang impian untuk memiliki motorsikal berkuasa tinggi dan menjelajah ke negara jiran.


Bagaimanapun, nasibnya berubah apabila dia terjumpa sebuah beg berisi wang yang banyak lalu membeli sebuah motorsikal idamannya, sekaligus dapat menyertai konvoi motorsikal yang diketuai oleh Eddie ke Krabi. Sepanjang perjalanan dia berdepan dengan pelbagai insiden dan konflik. Malah dia juga jatuh cinta dengan seorang gadis Thailand.

Jadi bagi anda yang masih belum menonton filem pertama tetapi punya keinginan untuk tonton "Bikers Kental 2", jom baca sebab-sebab mengapa anda perlu tonton filem terbaru ini di pawagam.

Diarahkan oleh Helmi Yusof

Mungkin ramai yang tidak kenal dengan nama pengarah Helmi Yusof, tetapi dia sebenarnya merupakan salah seorang pengarah senior dalam industri perfileman tempatan. Selain filem, dia juga pernah mengarah banyak drama-drama televisyen. Malah bagi yang tidak tahu, Helmi merupakan individu yang bertanggungjawab menggarap filem pertama "Bikers Kental" jadi dia adalah calon yang paling sesuai untuk kembali mengarah filem kedua ini. Tanggungjawab Helmi untuk filem kedua ini lebih besar memandangkan filem pertama berjaya mendapat sambutan positif daripada penonton, dan penonton pastinya menaruh harapan tinggi untuk filem kedua ini.

Masih mengekalkan unsur 'brotherhood'

Mat motor sememangnya sinonim dengan semangat 'brotherhood' mereka yang cukup kuat, tidak kiranya dari kalangan motorsikal berkuasa kecil atau pun berkuasa tinggi. Elemen ini masih dikekalkan dalam "Bikers Kental 2". Namun untuk naskhah kedua ini, ia lebih memberi fokus kepada Bidin yang mahu 'ride' ke Thailand untuk bertemu dengan kekasihnya, sekaligus melamar wanita itu. Sepanjang perjalanannya dia berdepan pelbagai masalah termasuklah diburu oleh Al Buqerk yang mahu wangnya semula selepas diambil oleh Bidin dalam filem pertama. Dengan bantuan rakan baiknya Eddy dan Aidil, Bidin cuba menyelesaikan kedua-dua masalah cinta dan musuhnya.

Dibarisi pelakon hebat tanah air

Dalam filem pertama, pengarah menampilkan barisan pelakon-pelakon lelaki hebat tanah air, dan untuk filem kedua perkara sama dikekalkan. Dengan Zizan Razak kembali membawa watak utama sebagai Bidin, pelakon asal lain seperti Dato' Awie, Bront Palarae dan Amerul Affendi turut membintangi filem kedua ini termasuk Dato' Afdlin Shauki. Selain pelakon tempatan, filem ini akan turut dibintangi oleh beberapa pelakon dari negara seberang Thailand termasuk Julangtip Sukkasem yang pernah membintangi filem pertama. Dengan barisan pelakon yang mantap ini, penonton pasti akan disajikan dengan lakonan yang cukup hebat daripada setiap pelakon.

"Bikers Kental 2" mampu dapat kutipan pecah panggung?

Berdasarkan sambutan memberangsangkan filem pertama, penulis merasakan filem "Bikers Kental 2" ini mempunyai harapan untuk dapat kutipan pecah panggung memandangkan ramai peminat filem pertama yang tidak sabar untuk menonton sekuel ini. Dengan keadaan industri filem tempatan yang kini berada dalam keadaan cukup positif, tidak mustahil filem ini mampu cipta kejayaan. Sama-sama kita tunggu dan lihat nanti.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: