Rencana
Filem menarik sepanjang Julai ini!


Tarikh disiarkan: 30 Jun 2019


Filem manakah yang anda tidak sabar mahu tonton?

Hari Raya Aidilfitri bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi dan pastinya ramai akan kembali menjalani rutin harian seperti biasa termasuklah meluangkan masa untuk menonton filem dan bulan Julai akan menyaksikan banyak filem-filem menarik bakal ditayangkan.

Setakat ini sebanyak 18 buah filem akan ditayangkan dari pelbagai genre yang boleh dipilih. Jadi pasti ada filem untuk setiap peminat genre tertentu.


Jika hendak disenaraikan dalam artikel ini sudah pasti akan membuatkan anda bosan kerana terlalu panjang, oleh itu Cinema Online telah membuat senarai pendek untuk filem-filem menarik sepanjang bulan Julai.

"Spider-man: Far From Home"

Pasti ramai peminat filem adiwira terutamanya Spiderman tidak sabar untuk menanti tayangan filem terbaru "Spider-man: Far From Home". Dalam filem terbaru kali ini akan menyaksikan Peter Parker a.k.a Spiderman sekali lagi perlu menyelamatkan dunia.

Peter telah menyertai rombangan sekolahnya bersama rakan-rakan ke Eropah. Dia yang sedang berseronok bersama rakan kemudian bertemu dengan Nick Fury yang telah memintanya untuk turut serta dalam misi yang memerlukannya bekerjasama dengan Quetin Beck, juga dikenali sebagai Mysterio, seorang pakar muslihat yang mendakwa dirinya dari Bumi 'parallel' dalam Multiverse. Kedua-dua mereka perlu berlawan dengan manusia-manusia dimensi lain dikenali sebagai Elementals.

Filem arahan Jon Watts ini akan menyaksikan Tom Holland kembali dengan watak asalnya iaitu sebagai Peter Parker dan Spiderman. Ia turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Michael Keaton, Jon Favreau, Zendaya, Marisa Tomei, Jake Gyllenhaal, Samuel L. Jackson dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 3 Julai 2019

"Crawl"

Bagi anda yang meminat filem yang membabitkan haiwan ganas, filem "Crawl" adalah filem untuk anda. Ia berkisarkan mengenai seorang wanita yang cuba menyelamatkan bapanya yang terperangkap ketika ribut taufan Kategori 5 berlaku. Bagaimanapun dia telah terperangkap dalam sebuah rumah yang dinaiki air dan lebih parah apabila beberapa ekor buaya ganas turut berada dalam rumah itu. Kini dia perlu mencari jalan keluar dan perlu melawan buaya-buaya itu.

Filem arahan Alexandre Aja ini dibintangi oleh Kaya Scodelario, Barry Pepper, Ross Anderson, Anson Boon dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 11 Julai 2019

Dilan 1991

Filem "Dilan 1991" adalah sebuah filem yang diangkat dari novel dengan judul "Dilan Bagian Kedua: Dia adalah Dilanku 1991". Ia sebuah naskhah romantik terbesar di Indonesia yang mana sebanyak 5 juta tiket terjual sejak ia mula ditayangkan pada 17 Mac lalu.

Ia berkisarkan mengenai Milea, kekasih Dilan yang bimbang dengan masa depan mereka lebih-lebih lagi selepas Dilan bergaduh dengan Anhar dan berkemungkinan akan dibuang sekolah. Milea kemudian meminta Dilan pilih kumpulan motorsikalnya atau hubungan mereka. Pada masa sama, Milea berkenalan dengan Yugo, anak kepada sepupu jauh ayahnya. Yugo baru pulang dari Belgium dan mereka menghabiskan banyak masa bersama. Yugo menaruh hati padanya, tetapi Milea masih mencintai Dilan.

Filem arahan Fajar Bustomi dan Pidi Baiq ini dibintangi barisan pelakon popular seperti Iqbaal Ramadhan, Vanesha Prescilla, Jerome Kurnia, Adhisty Zara dan ramai lagi. Mampukah filem mendapat sambutan seperti di Indonesia? Sama-sama kita tunggu.

Tarikh tayangan: 11 Julai 2019

"Escape Plan: The Extractors"

Selepas dua filem terdahulu mendapat sambutan memberangsangkan, Sylvester Stallone kembali dengan filem ketiga "Escape Plan: The Extractors". Kali ini Ray Breslin berdepan satu lagi masalah besar apabila salah seorang pekerjanya yang juga teman wanitanya Abigail telah diculik dan diletakkan di sebuah penjara yang dikenali sebagai Devil's Station yang mana tiada seorang pun pernah berjaya meloloskan diri dari situ. Susulan itu, Ray dan Trent kembali bekerjasama untuk misi menyelamat yang cukup berbahaya.

Selain Sylvester, filem arahan John Herzfeld ini turut dibintangi pelakon asal lain seperti Dave Bautista, Max Zhang Jin, 50 Cent, Malese Jow, Jaime King dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 11 Julai 2019

"The Lion King"

Ketika kali pertama ia diperkenalkan pada tahun 1994, filem animasi "The Lion King" dengan pantas mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada penonton. Ia bukan sahaja menarik minat penonton kanak-kanak sahaja, tetapi juga dewasa. Kini selepas 25 tahun, filem "The Lion King" kembali dihasilkan tetapi dalam versi terbaru ini ia dihasilkan dalam bentuk 'live action'.

Bagi anda yang tidak pernah menonton filem asal ini, ia berkisarkan mengenai seekor singa bernama Simba dan pengembaraannya menjadi raja. Ia bukanlah mudah berikutan pak ciknya mempunyai rancangan sendiri untuk mengambil alih tahkta. Pertarungan untuk Pride Rock menyebabkan Simba telah dibuang tetapi dengan bantuan dua rakan baru, dia kembali untuk mengambil haknya.

Menerusi treler rasmi filem itu yang diriliskan baru-baru ini, ternyata filem arahan Jon Favreau ini dijangka bakal menjadi salah sebuah filem terbesar untuk tahun ini. Ia dibarisi oleh pelakon-pelakon hebat yang akan menyumbang suara untuk setiap watak dalam filem "The Lion King" ini seperti Donal Glover, Beyonce Knowles, James Earl Jones, Chiwetel Ejiofor, Alfre Woodard, John Oliver, John Kani, Seth Rogen dan Billy Eichner.

Tarikh tayangan: 18 Julai 2019

"Ma"

Kepada peminat filem thriller, filem "Ma" adalah filem anda. Ia berkisarkan mengenai seorang wanita bernama Sue Ann yang hidup bersendirian. Pada satu hari, dia telah didekati oleh seorang remaja bernama Maggie yang meminta tolongnya untuk membelikan minuman keras untuk dia dan rakan-rakan. Sue Ann melihat ini sebagai peluang untuk mendapatkan rakan dari kalangan pemuda dan bersetuju untuk membenarkan mereka melepak dan minum di rumahnya.

Bagaimanapun, peraturan dikenakan kepada mereka iaitu salah seorang daripada mereka tidak boleh mabuk, mereka juga tidak boleh melontarkan kata-kata kesat, tidak boleh naik ke tingkat atas dan semua orang perlu memanggilnya Ma. Tanpa diketahui, Sue Ann sebenarnya menyimpan niat jahat.

Filem arahan Tate Taylor ini dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Octavia Spencer, Luke Evans, Juliette Lewis, Missi Pyle, Allison Janney dan ramai lagi. Jadi jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem ini di pawagam nanti.

Tarikah tayangan: 25 Julai 2019

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Spider-Man: Far From Home (3 Julai 2019)
Dilan 1991 (Indonesia) (11 Julai 2019)
Crawl (11 Julai 2019)
Escape Plan: The Extractors (11 Julai 2019)
The Lion King (17 Julai 2019)
Ma (25 Julai 2019)