Rencana
5 Filem terbaik Fazura wajib tonton


Tarikh disiarkan: 9 September 2019


Filem lakonan Fazura yang manakah menjadi kegemaran anda?

Sebut sahaja nama Fazura, pasti ramai yang mengenali pelakon wanita tanah air berwajah jelita ini. Mula membuat debut dalam bidang seni sejak tahun 2002 sebagai pengacara, Fazura, atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, kemudiannya mengorak langkah ke dunia lakonan menerusi filem pertamanya berjudul "Bicara Hati".

Sejak itu, nama Fazura semakin melonjak naik dan telah membintangi 20 buah filem termasuk filem Indonesia, 14 buah drama dan enam buah telefilem selain terlibat dengan sebuah pementasan teater berjudul "Suzana" pada tahun 2006.


Ternyata isteri kepada pelakon Fattah Amin ini bukan hanya berbakat dalam bidang lakonan dan pengacaraan, tetapi dia turut berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, perniagaan, menjadi juri program realiti serta pernah mempunyai rancangan dokumentari sendiri iaitu "Facing Up To Fazura".

Terbaru, Fazura akan membintangi sebuah filem seram berjudul "Dendam Pontianak" di mana dia akan dilihat menggalas watak Mina yang juga Pontianak. Ia berkisar mengenai Pontianak yang kembali ke sebuah kampung untuk membalas dendam terhadap kematiannya suatu ketika dulu.

Kali ini, Cinema Online ingin menyingkap semula antara lima buah filem terbaik yang pernah dilakonkan oleh Fazura.

"J Revolusi"

Filem "J Revolusi" merupakan filem aksi yang berjaya menerima sambutan menggalakkan daripada para penonton dan mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM7 juta.

Filem ini berkisar mengenai seorang ketua pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Jay Zulkarnain (Zul Ariffin) yang terlibat dalam misi untuk menyelamatkan kakaknya, Dian (Fazura). Dian telah ditangkap oleh satu kumpulan pengganas yang diketuai Andra (Farid Kamil), yang telah memerangkap Jay dengan tuduhan membunuh unit pasukannya.

Tambah menarik lagi, sebuah aplikasi permainan video 'first person shooter' (FPS) berasaskan filem yang pertama di Malaysia juga telah dilancarkan oleh Media Prima Berhad atas hasil kerjasama dengan pembangun permainan video Australia, PlaySide Studios.

Suara Zul Ariffin dan Izara Aishah turut digunakan bagi watak Jay dan Eddie dalam permainan video yang mempunyai kesan grafik 3D canggih tersebut.

Fazura mengakui bahawa dia berasa teruja dapat menjayakan watak seperti itu dan teringin untuk berlakon dalam lebih banyak filem aksi pada masa akan datang.

Tarikh tayangan: 2 Mac 2017

"Manisnya Cinta Di Cappadoccia"

Filem ini merupakan buah tangan kelima oleh pengarah Bernard Chauly yang diadaptasi daripada novel karya Anis Ayuni. Ia mengetengahkan genre romantik komedi serta menyelitkan tema kekeluargaan supaya ia sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Fazura tampil sebagai watak Ifti Liyana, seorang wanita bekerjaya yang sentiasa ceria dalam hidup dan mempunyai sifat keibuan. Namun dalam diam dia berperang dengan diri sendiri demi mencari kebahagiaan selepas cinta lamanya tidak kesampaian.

Ia memaparkan kisah percintaan di antara tiga insan iaitu Ifti Liyana, Fredo dan Nazmi. Hubungan Liyana dan Fredo bagai retak menanti belah, kedua-duanya sudah tidak mempunyai perasaan sayang lagi dan akhirnya membuat keputusan membawa haluan masing-masing. Nazmi muncul dalam hidup Liyana, dan lama kelamaan perasaan cinta mula berputik di antara mereka berdua.

Penggambaran filem ini telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta dua bandar di Turki iaitu Capppadocia dan Anatolia. Ia turut menampilkan pelakon lain seperti Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Josiah Hogan, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud dan ramai lagi.

Tarikh tayangan:
11 Disember 2014

"Kami Histeria"

Menerusi filem komedi muzikal seram ini, buat julung kalinya Fazura telah diberi watak hantu langsuir bernama Cik Lang. Lebih menarik dan mencuit hati, Cik Lang boleh bertutur dalam loghat Kedah, meminati pelakon Afdlin Shauki dan mengikuti perkembangan semasa serta mempunyai makanan kegemaran sendiri iaitu coklat 'KitKat'. Lucu bukan?

Untuk pengetahuan umum, penerbit Rafidah Abdullah mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini selepas mendengar cerita seram dari penghuni pangsapuri di dalam filem tersebut mengenai suara pelik yang didengar dari hutan bersebelahan. Rata-rata pengkritik filem telah memberi ulasan yang positif mengenai filem ini serta memuji keserasian yang ditunjukkan oleh para pelakon.

"Kami Histeria" mengisahkan sebuah kumpulan muzik bernama Histeria yang dianggotai oleh lima orang sahabat yang mempunyai perwatakan yang berbeza iaitu Laila (Diana Danielle), Bad (Sara Ali), Airin (Mila Jirin), Jojo (Umie Omar) dan Peanut (Nad Zainal). Semasa membuat rakaman lagu di rumah baru mereka, terdapat suara langsuir sedang menyanyi turut dirakamkan sehinggakan lagu tersebut diminati ramai setelah dimuat naik ke laman YouTube.

Tarikh tayangan: 6 Februari 2014

"Lagenda Budak Setan"

Filem arahan Sharad Sharan ini diadaptasi dari sebuah novel hasil nukilan Ahadiat Akashah dengan judul yang sama. Ia telah berjaya mendapat kutipan tinggi sejak mula ditayangkan dengan anggaran kira-kira RM3 juta sekaligus menandakan filem pertama Sharad yang pecah panggung.

Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton, pihak produksi telah menerbitkan drama bagi filem tersebut yang disiarkan di saluran Astro Prima. Sebagai kesinambungan, sekuelnya juga telah diterbitkan dengan judul "Lagenda Budak Setan 2: Katerina", diikuti dengan filem ketiga dan terakhir iaitu "Lagenda Budak Setan 3: Kasyah".

Fazura hanya membawa watak Katerina dalam filem pertama sahaja dan kemudian digantikan dengan Maya Karin dalam filem kedua dan ketiga, yang pada asalnya ditetapkan untuk membawa watak itu. Bagaimanapun Maya terpaksa menolak tawaran pada filem pertama berikutan jadual kerjanya padat.

Selain Fazura dan Maya, "Lagenda Budak Setan" turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Farid Kamil sebagai Kasyah, Lisa Surihani sebagai Ayu, Que Haidar sebagai Azmi, Sheila Mambo dan Shiqin Kamal.

Tarikh tayangan: 3 Jun 2010

"Gol & Gincu"

Filem fenomena arahan Bernard Chauly "Gol & Gincu" menampilkan Fazura sebagai watak gadis ceria dan periang bernama Putri, yang ingin memenangi semula hati teman lelakinya, Eddy (Ashraf Sinclair) yang berubah hati kepada Shasha (Sazzy Falak), dengan menubuhkan sebuah pasukan futsal sendiri.

Dengan genre drama komedi romantik dan sukan, ternyata filem ini berjaya menambat hati ramai peminat sehingga pihak produksi telah menerbitkan siri televisyen dengan judul yang sama serta sekuel filem berjudul "Gol & Gincu Vol. 2" yang ditayangkan pada tahun 2018.

Penghayatan dalam menjayakan watak Putri membuahkan hasil apabila dia tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-19. Filem ini juga tercalon dalam beberapa kategori lain di FFM19 selain mendapat perhatian beberapa festival filem di luar negara termasuk Festival Filem Antarabangsa Tokyo.

Bagaimanapun, para peminat agak kecewa kerana watak Putri tidak ditampilkan dalam sekuel filem itu. Kata Fazura, dia ingin membuka peluang untuk pelakon-pelakon baru yang hebat dan berbakat seperti Diana Danielle dan Ummi Nazeera.

Tarikh tayangan: 11 Ogos 2005

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: